Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di Cameron Highlands, di sini, akibat hujan lebat malam tadi, menyebabkan banyak kenderaan yang melalui jalan itu terkandas sehingga jam 1.34 pagi tadi.
Kejadian di laluan FT185 Seksyen 45 sekitar jam 11.25 malam itu mengakibatkan kedua-dua arah terhalang.
Difahamkan, kejadian runtuhan tanah itu berlaku di lokasi yang pernah berlaku insiden sama sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, setakat ini, tiada kerosakan melibatkan pengguna jalan raya.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, jumlah aliran air permukaan yang tinggi akibat hujan lebat menyebabkan sisa tanah runtuh ke bahagian jalan.
“Runtuhan menyebabkan jalan tidak dapat dilalui oleh kenderaan.
“Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan, cerun sedia ada dalam proses pembaikan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, kerja pembersihan telah pun dilaksanakan di lokasi kejadian sebaik laporan kes itu diterima.
“Sekitar jam 1.34 pagi tadi, satu lorong telah dibersihkan dan dibuka untuk laluan kenderaan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian itu.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official