SUHANI YANG MEROTAN TANGAN SAYA

Team KepochiCoretan ZRA10 months ago2K Views

Merakamkan kenangan 46 tahun lalu.

Penggal Kedua Darjah Enam, saya berpindah ke Sekolah Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra.

Paling saya ingat — saya masuk ke kelas 6A (1979).

Bilik Darjah 6A. Banyak kenangan.

Saya baru datang dari Sekolah Rendah Iskandar yang semuanya murid lelaki. Kali pertama masuk bilik darjah dan duduk berselang-seli dengan pelajar perempuan — terasa sangat janggal.

Murid perempuan memang sukar difahami pada ketika kita hanya terbiasa bersama budak lelaki.

Saya ingat sampai sekarang — Suhani Hashim; gadis berambut panjang dan bertocang dua.

Tahun 70an — pelajar lelaki masih mengenakan seluar pendek; dan pelajar perempuan memakai pinafore biru.

Saya masuk dalam kelas yang majoriti pelajarnya memakai tali leher — ramai pengawas.

Saya kenal Mohd Sofi, Nurul Huda dan Haswadi.

Yeow Swee Lin ketua pengawas. Saya ingat nama Shahnaz dan Tigermala.

Tapi, saya takkan lupa nama Suhaini Hashim.

Bukan terpikat; walaupun Suhani cantik. Wajahnya mirip pelakon Latifah Omar; cuma — dia versi aktres zaman sekolahan.

Suhaini pengawas tegas. Masa belajar di Sekolah Iskandar; saya boleh saja ke tandas beberapa kali sehari.

Dua tiga hari baru masuk SSAT — satu hari, saya ke tandas dan lambat masuk kelas selepas waktu rehat.

“Hulur tangan,” katanya.

Saya pandang wajah Suhani — antara dua matanya dan dua tocangnya. Saya ingat sampai sekarang; tocang terdandan kemas dan sepasang matanya yang tajam.

Saya faham dan malas melawan. Saya angkat dan tadah tangan; Suhaini rotan dengan pembaris. Itu tanda hukuman kerana lewat masuk kelas walaupun pergi ke tandas.

“Adoi… kau ni….” rungut saya dalam hati.

(Saya tak pernah jumpa Suhani selepas sekolah rendah. Saya hanya tinggal di Jitra selama 2 tahun sebelum pindah balik ke Alor Setar).

Saya hulur tangan untuk dirotan Suhaini; dulu marah. Tetapi sekarang — ia jadi kenangan indah.

KENALI RAKAN BARU

Bersekolah di Sultan Ahmad Tajudin — saya baik dengan anak Ketua Polis Daerah (OCPD); namanya Azlan Zakaria.

Dia tinggal di rumah OCPD dan jarang keluar bermain. Selalunya, pada waktu petang, saya pergi bermain di rumahnya.

Saya terbiasa hidup ramah dengan budak lelaki. Walaupun rumah OCPD berpagar, saya selalu saja pergi bermain dengan Azlan.

Saya tak pernah jumpa ayahnya; tapi, ibunya sangat baik. Jadi, dapatlah saya bermain badminton menggunakan raket kayu Dunlop dengan Azlan.

BEREK MADA BATU 13

Di Jitra, kami tinggat di Berek Mada, sekitar 2 kilometer ke sekolah. Pada waktu itu, jarak begini dianggap dekat. Saya berjalan kaki — ulang-alik ke sekolah.

Ibu saya menghantar adik perempuan guna basikal. Sebagai anak lelaki — sewajarnya — pilihan yang munasabah adalah berjalan kaki.

BERLAKON DRAMA

Walaupun baru; saya berusaha bergaul pada tahun pertama di sekolah yang ada pelajar perempuan.

Menjelang Hari Guru; saya uji bakat menyertai persembahan drama. Kisah anak miskin yang bersedih tiada pakaian cantik.

Cuma… tekniknya “miming”. Pelajar lain bacakan dialog, saya hanya berlakon dengan gerak tubuh dan bibir. Ini logik teknologi.

Zaman itu belum ada mikrofon mudah alih.

Saya habiskan tahun pertama Darjah 6 dengan tetap tak begitu selesa dengan murid perempuan; dan berasa janggal ke sekolah.

Saya masih makan nasi bekal; dan berusaha mengatasi rasa rendah diri kerana ramai pelajar berkemampuan biasanya makan di kantin.

Cuma, selebihnya — saya gigih bersaing bermain bola di padang.

Selalu juga, saya pergi meredah kelebur dan selut di alor belakang sekolah.

Saya juga lebih banyak bergaul dengan budak-budak Kampung Hijrah dan Kampung Nyior.

Setiap hari waktu pergi sekolah — baju agak bersih; tetapi, apabila balik ke rumah — pastilah berkelarah dan penuh daki.

Itulah… budak lelaki.

Keluar dari tandas tepi kelas — saya lalui hari ngeri minggu pertama di SSAT.

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...