Bekas anggota kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad, 43, dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru, Johor.
Suhaimi kini terpaksa ditidurkan dan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan.
Suhaimi dilaporkan mengalami jangkitan hingga berlaku kegagalan organ dalaman dan kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan sepenuhnya.
Terdahulu, tular di media sosial menerusi hantaran pemilik akaun, Akumaru yang berkongsi berita keadaan Suhaimi yang didakwa kini sakit teruk dan memohon didoakan kesembuhan buat bekas anggota kumpulan In-Team itu.
Isteri kepada Suhaimi, Nordiana Mohd. Naim, 39, bagaimanapun memberitahu Suhaimi yang kini masih ditidurkan bebas daripada penyakit tuberculosis (tibi).
“Setakat ini, doktor maklumkan suami alami jangkitan kuman pada paru-paru dan bebas tuberculosis (tibi) selepas melakukan hasil ujian pertama.
“Namun, untuk mengesahkan lagi hal itu, doktor akan lakukan ujian kedua dan kami menunggu keputusannya,” katanya lagi.
Malah, isterinya juga berkongsi mengenai Suhaimi mengalami penurunan berat badan mendadak iaitu sekitar 20 kilogram (kg) sekitar sebulan lalu.
“Selepas batuk semakin pulih, dia cirit-birit pula sehingga tak sanggup nak makan dan sebab itulah berat badannya tinggal 43kg.
“Kami sudah melakukan ikhtiar sehingga dia sendiri minta dihantar ke hospital yang dianggap sebagai usaha terakhir,” ujarnya.
Sejak semalam, tular dalam laman sosial mengenai keadaan kesihatan penyanyi sensasi itu yang dikatakan sudah dibawa keluarga mentuanya pulang ke Johor bagi mendapatkan rawatan.
Untuk rekod, Suhaimi berkahwin dengan penyanyi, Ina Naim pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.