Stability AI, organisasi disebalik pembangunan beberapa produk kecerdasan buatan, termasuk Stable Diffusion, hari ini mengumumkan penyertaan mereka dalam arena muzik dan audio, melalui Stable Audio.
Stable Audio merupakan produk mereka yang pertama dengan fokus terhadap penjanaan muzik serta audio. Melaluinya, pengguna boleh melakukan beberapa input teks dan melalui sokongan kecerdasan buatan akan menjana audio yang bersesuaian.
Versi percuma Stable Audio menawarkan penjanaan selama 20 saat, sementara langganan Pro memberikan penjanaan selama 90 saat yang boleh digunakan untuk projek komersil.
Stable Audio dilatih menggunakan muzik dan metadata dari AudioSparx. Bagi anda yang berminat, boleh mencuba Stable Audio hari ini melalui laman rasminya hari ini.
Sebelumnya, syarikat ini juga telah melancarkan StableStudio versi sumber terbuka apl web DreamStudionya yang popular.
Ianya membolehkan pengguna mencipta imej realistik dan artistik daripada gesaan teks, menggunakan model penjanaan imej tercanggih Stability AI, Stable Diffusion.
Stable Diffusion ialah model AI generatif yang menggunakan proses resapan untuk mengubah secara beransur-ansur maklumat rawak kepada imej yang koheren. Ia boleh menjana imej pelbagai kategori, seperti haiwan, landskap, potret dan seni abstrak, serta imej yang menggabungkan berbilang kategori atau konsep.
Manakala DreamStudio pula merupakan aplikasi pengguna pertama yang mempamerkan keupayaan Stable Diffusion. Ia telah dilancarkan pada Ogos 2022 dan sejak itu telah menarik berjuta-juta pengguna yang telah mencipta dan berkongsi berjuta-juta imej menggunakan apl tersebut.
DreamStudio juga menampilkan galeri imej yang dipilih susun, forum komuniti dan pilihan langganan premium yang menawarkan resolusi lebih tinggi dan penjanaan lebih pantas.