
Selepas setahun (1980) saya belajar di Sekolah Menengah Seri Mahawangsa di Jitra, Kedah — ayah bertukar tempat kerja.
Maka, kami pun berpindah lagi dan menjadi generasi pertama mendiami Flat Mergong, Alor Setar.
Supaya dekat dengan sekolah, saya masuk Sekolah Tunku Abdul Rahman, hanya 200 meter dari rumah.
KELAS AKHIR
Semua kelas sudah penuh; jadi saya ditempatkan ke kelas terakhir Tingkatan 2 (2SP7)
Sepertiga pelajar tak boleh membaca; tapi, saya gembira kerana ada peranan untuk memudahkan pergaulan.
Sebagai pelajar baru — saya membina lingkungan dengan membantu kawan-kawan yang ‘struggle’ belajar.
Kalau ada ujian bulanan yang kawalannya longgar; saya bekalkan jawapan.
Caranya mudah; tulis saja nota atas kertas; gumpal kecil-kecil dan kawan-kawan tiru secara bergilir-gilir.
Bagi pelajar nakal — perbuatan begini dianggap biasa. Semacam ada satu prinsip: “Kita kena tolong, sebab bagi yang tak pandai membaca, kita anggap … mereka sedang berada dalam kesusahan.”
TINGKATAN TIGA
Untuk tahun (SRP), saya naik kelas terbaik balik aliran Seni Perusahaan Tingkatan 3.
Selain satu kemajuan kerana naik kelas; proses ini sesuai dengan persiapan peperiksaan penting. Tahun 80an, kalau gagal SRP — pelajar tidak akan layak naik ke Tingkatan 4.
Di kelas yang lebih baik; saya boleh bersaing dengan pelajar yang lebih cemerlang akademiknya.
Antaranya… Siew Ban Hann. Saya sangat berusaha untuk mendapat nombor 1. Dia persaingan terbaik.
Sayangnya, sebab hidup galau dan fikiran berbagi-bagi; antara ketekunan dan kenakalan — saya hanya mampu dapat nombor 4 atau 5.
“SECRET ADMIRER”
Tapi, sebenarnya — saya lebih cenderung berhempas-pulas ke sekolah kerana perkara lain.
Semangat belajar sudah memudar kerana isu disiplin. Tumpuan ke sekolah sebenarnya lebih terarah kerana adanya ‘secret admirer’. Selain saya juga sukakan sukan bolasepak.
Pada usia 16 tahun; selepas lulus SRP — saya mula melalui masa sukar.
Kemelut hidup kerana membesar sebagai remaja yang keliru dengan tujuan belajar — saya mula ada sikap sikap malas dan bosan ke sekolah.
Waktu itu, hidup mula terasa berat; kerana saya perlu membantu keluarga dengan bekerja sambilan di Pekan Rabu.
Secara fokusnya; saya selalu kurang tidur kerana balik lewat ke rumah selepas berniaga buah-buahan di pasar malam.
Kesannya — setiap pagi — saya selalu lewat bangun. Rasa letih dan lesu; seterusnya menyeret ke perangai malas.
Namun, semuanya lenyap begitu saja — apabila dalam fikiran — bergema bisikan:
“Kena pi sekolah… nanti boleh usha (lihat) bla bla bla… buah hatiku.”
Itu suara dalam fikiran yang sentiasa muncul setiap pagi; seterusnya merubah kemalasan diri.
(Saya tak pernah mencuba mendekati ‘secret admirer’. Alasannya mudah; disebabkan saya nakal dan bermasalah — saya sukar menampilkan keyakinan untuk mendekatinya).
Dia setahun lebih muda. Cuma — atas bantuan kawan, saya bertemu si dia.
Ringkas dan pendek: Kata si gadis: “Saya mahu belajar dulu.”
Saya pun faham; sebab bukan rahsia pun — dia pelajar cerdas dan sudah ada teman lelaki. Pelajar senior yang pintar).
Itu antara pengalaman penting pada usia remaja; satu rasa duka yang terseret selama 7 tahun. Selama waktu saya lalui hidup tanpa arah; rasa kecewa kerana kehilangannya — ikut serta di sepanjang ‘zaman gelap’ itu.
Apa itu ‘zaman gelap’? Nanti, saya ceritakan dalam entri lain.

TINGKATAN 4 & 5
Dua tahun (Tingkatan 4 dan 5), saya mengharungi tahun-tahun persekolahan dengan semangat cuba membaiki diri.
Ketika di Tingkatan 4, saya masih aktif dan ada berpotensi kemajuan — sekali pun, sudah jelas adanya tanda-tanda hilang motivasi.
Saya masih menjadi wakil pidato dan debat sekolah bersama Azman dan Syed Khairul Anuar.
Selain itu, saya suka pelajaran sejarah sebab Cikgu Badariah. Saya juga suka Bahasa Malaysia sebab Cikgu Ramli.
Matematik, Sains Paduan dan Geografi — memang gagal berat; ke laut jadinya.
TINGGALKAN SEKOLAH
Akhirnya — ketika Tingkatan 5, saya terpaksa tinggalkan sekolah lebih awal.
Tahun kemuncak kejatuhan bagi pelajar yang berdepan dengan masalah disiplin.
Selepas kerap mencetuskan kekacauan — saya digantung sekolah pada Mei 1984.
Tanpa banyak pilihan yang ada — saya nekad lari ke KL.
SPM
Seminggu sebelum SPM, saya balik dari KL dan cuba belajar pada hari-hari terakhir sebelum masuk dewan peperiksaan.
Saya kejar belajar dengan menyertai kawan-kawan Tingkatan 5 yang tinggal sekampung.
Saya takut balik ke rumah keluarga; jadi saya menumpang di rumah saudara-mara sekitar Jalan Lumpur.
Di situ juga — saya belajar apa saja subjek yang sempat diulang kaji selepas 6 bulan tercicir kelas.
Alhamdulillah… saya lulus 6 subjek dengan kepujian khas bagi Bahasa Malaysia dan Pendidikan Islam.
Walaupun ala kadar — sijil lulus SPM 1984 — jadi sangat berguna 7 tahun kemudian.
Lulus SPM menjadi antara syarat wajib kalau mahu memohon Kursus Seni Kreatif (Kesusasteraan) USM.
Ini projek khas yang disediakan bagi permohonan penulis muda yang dianggap berbakat.
Saya masuk USM pada 1992 dan lulus sebagai Pelajar Terbaik.

KEMBALI MELAWAT SEKOLAH
Pada 2 Februari 2025 — saya kembali menjenguk sekolah menengah.
Meninjau semula cita-cita yang terkandas.
Saya memang pernah bercita-cita mahu menjadi guru; itu juga harapan bapa saudara saya — Samsudin Man.
Tapi, hidup bukanlah apa yang kita mahu.
Hidup ialah mencapai apa yang wajar berdasarkan apa yang kita mampu.
Terima kasih STAR… sekolah yang mengajar banyak perkara; ilmu dan pengalaman yang sangat memberikan pengajaran.
