SEKADAR CATATAN PERIHAL BUKU

Team KepochiCoretan ZRA10 months ago2K Views

2022 -- set percuma ada diseluruh negara. Kos internet RM18 sejam. Pakai phone murah sudah. Tripod RM50 dan mikrofon beli yang RM60 saja. Jaga kos anda!

Selama 34 tahun (sejak 1990), saya menulis di penerbitan eceran (akhbar dan majalah) dan menghasilkan 17 buah buku dalam tempoh 13 tahun (sejak 2012).

Saya kerap dapat honorarium tulisan eceren, tetapi tidak pernah ‘merasa royalti’ buku — walaupun sesen.

(Hanya pada 2024, Penerbit Tentang Kita memberikan saya pengalaman pertama; melihat traksaksi bayaran buku ke 16 berjudul ‘Anekdot Jalanan’. Barulah saya percaya: “Royalti itu benar!”)

Bayaran eceran tidak boleh menjadikan sesiapa pun sebagai penulis sepenuh masa.

Honorarium puisi serendah RM15 dan setinggi RM100 dan cerpen pula — serendah RM45 dan setinggi RM300.

Itu realiti pergerakan honorarium sejak 1990 hingga sekarang.

Bagi penulis sastera dan artikel, itulah hakikat. Malah, banyak media yang mengamalkan dasar: “Kami hanya menyediakan ruang, tapi tiada bayaran.”

Tanpa bayaran pun kita tetap menulis; hampir 400 rencana tersiar di pelbagai media dan portal — semuanya percuma.

Sama juga dengan penulis lain; dari nama muda seperti Karim Mohd sampailah ke nama besar sehebat Tan Sri Johan Jaaffar.

Menulis secara percuma — satu kebiasaan.

KENA BELI BUKU SENDIRI

Ada waktu, saya membeli semula buku-buku tulisan sendiri apabila penerbit tawarkan jualan murah.

Beli 300 buah pada harga diskaun 50 peratus dan simpan bawah tangga.

Ada sekali, saya beli RM3 ribu ringgit buku sendiri bagi membantu penerbit mendapatkan dana membayar gaji pekerja.

Di Malaysia — menulis terutama dalam genre sastera: “Ada (banyak) keadaannya… jangan harap walaupun sesen royalti”.

ISU PEMASARAN BUKU NASIONAL

Ketika saya sempat membantu Kumpulan Utusan pada 2019 — terdapat RM12 juta nilai buku tidak terjual dan tersimpan dalam setor.

Sekali pun Kumpulan Utusan antara gergasi penerbitan — memasarkan buku bukan mudah.

Apabila Kumpulan Utusan bangkrap — RM12 juta nilai buku, dijual dalam pasaran secara lelong dengan harga “timbang kilo”.

STRIM BUKU

Pada tahun 2020, terdapat hampir RM60 juta nilai harga buku tersepuk dalam stor.

Waktu itu, saya terlibat dalam Kuala Lumpur World Book Capital (KLWBC2020) — aspirasi utama ialah mencari jalan memasarkan buku.

KENAPA PEMASARAN BUKU PENTING?

Ia akan mengubah tanjakan data budaya membaca dan membina semula eko sistem landskap buku negara.

Apa itu sasaran data?: “Meningkatkan budaya membaca yang rendah”.

Apa itu landskap jualan?: “Mengatasi kelemahan pasaran buku nasional.”

Apa kerugiannya?: “Industri menanggung beban teruk kalau buku terus tersepuk”.

Akhirnya, kita terbelit budaya — menjual buku secara lelong pada harga “timbang kilo”.

Dalam klaus perjanjian — penulis takkan menerima royalti sekiranya buku dilelong.

Kalau penulis nak untung; kena beli buku lelong dan jual sendiri. Margin jual sendiri itulah — pendapatan penulis.

Konsep ini terguna pakai sampai ke peringkat buku Sasterawan Negara.

USAHA PERTAMA

Saya gagal menyakinkan banyak pihak apabila memulakan kempen “membina semula landskap buku nasional”.

Pada 2019 — tidak siapa percaya “strim media sosial” antara jalan keluar yang berpotensi membantu prospek jualan.

Sebenarnya, 70 peratus kuasa strim ialah “pemasaran”. Adanya pemasaran bererti mewujudkan permintaan.

Jualan akan menyusul sendiri setelah pemasaran berlaku.

Itu hukum asas perniagaan.

Tiada siapa yakin: “Prospek silang pasaran di media sosial antara jalan keluar bagi mengatasi masalah keperlahanan jualan.”

PADA SATU TAHAP

Pada satu tahap: “Penerbit MENETAPKAN: Hanya akan mencetak buku yang penulisnya mampu menjual sendiri.”

Ertinya, penulis harus tahu cara menjual buku sendiri.

Tapi, apakah dasar populis seperti ini akan menjamin kualiti buku?

PENAT CARI SOKONGAN

Sejak 2019 — setelah naik turun pelbagai agensi merayu sokongan — datanglah rasa letih.

Akhirnya, pada Julai 2020 — saya nekad memulakan strim buku.

Alhamdulillah… ada sedikit pengetahuan saya belajar apabila mula menjual buku tersepuk seperti “Dunia Sama Rata” dan “Panas, Rata & Sejuk” (Thomas L Friedman) terbitan 2011 & 2012.

Sangat mengujakan apabila buku ini dapat dijual 1,100 naskhah hanya dalam dua hari.

“Sold out” ini berlaku pada Oktober 2020.

Sebelum ini — dua judul buku ini terperuk dalam senarai “buku sepuk”; setelah tersimpan selama 8 tahun di gudang.

APA ITU EKO SISTEM?

Membantu penerbit terus hidup; terutama penerbit kecil.

Seterusnya, membantu masyarakat awam bukan pembaca — mendapat akses mengenal buku.

Oprah Winfrey sudah melakukan promosi media sejak 1980an melalui TV.

Pada 1992 — ada 101 judul disenaraikan di Kelab Buku Oprah sebagai Best Seller.

Cara Oprah Winfrey mudah: “Mempromosi buku dalam Talk Show popularnya dengan mewujudkan segmen reviu buku.”

Puratanya: Tiap buku yang dipromosi Oprah Winfrey akan mendapat lonjakan 200 ribu nashkah jualan minimum selepas direviu.

APA PERLU DIBUAT SETELAH GAGAL

Tak perlu bersedih.

Di Malaysia; berdasarkan pengalaman 26 tahun saya bekerja dan 5 tahun akhir sebagai Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Jualan — saya belajar: “Kalau ada idea, jangan tunggu… jangan jual idea; tapi lakukan sendiri.”

Pada 2020; setelah empat agensi menolak idea penstriman buku; saya mulakan sendiri.

Studio pertama — hanya setor kecil di Kampung Baru; jual bundle dan jual buku sambil ular sawa sepanjang 7 kaki bersembunyi di atas siling.

Ketika strim, adakalanya di atas siling — terdengar bunyi keriutan ular sawa menjalar; atau bunyi bedalan tanda sedang membelit tikus.

Itu selingan, tapi cemas juga.

Kami jual buku secara bersisip-sisip dengan baju dan seluar terpakai.

JUAL BUKU TEPI JALAN

Pada Mac 2022 — saya mulakan ZRA STRIM dengan menjual buku di tepi jalan melalui penstriman Facebook.

Kalau tak ada duit buka studio; pacak saja tripod tepi jalan. Set latar Kuala Lumpur yang indah serta lampu jalanan DBKL adalah kos percuma.

Waktu mulakan ZRA Strim — saya tidak tahu berapa banyak buku IBDE terjual dalam 5 bulan sepanjang strim di jalanan.

Tapi, komisen terkumpul sekitar RM78 ribu. Duit itu saya jadikan modal buka studio ZRA Strim.

APA ITU PERNIAGAAN TANPA MODAL?

Berniagalah “buku yang tak laku”. Sebab penerbit takkan kenakan caj “bayar tempahan”.

Kita jual dulu dan mereka bayar komisen kemudian. Saling membantu.

Makin banyak kita jual; ia membantu penerbit mendapat hasil dan kita mendapatkan komisen.

Bunyinya — orang nampak macam kita kejar duit kerana komisen.

Takkan siapa peduli: “Kita sedang jual buku yang tidak laku”. (Sebenarnya bukan tidak laku, tetapi kurang promosi).

Jadi, kaedah penstriman satu jalan keluar tanpa risiko; kerana tiada kos promosi.

Penerbit tak perlu bayar apa-apa. Penjual pula tak perlu kos besar; sebab jualan strim di tepi jalan, kos internet hanya sekitar RM18 per jam.

Lima tahun sebagai Naib Presiden Kanan Jualan Media di syarikat milik Kementerian Kewangan — saya menjaga klien lebih 300 syarikat SME Bumiputera.

Saya faham derita orang Melayu meniaga kecil-kecilan.

Sampai sekarang, saya masih bantu “jual buku” tanpa sebarang komisen terutama penerbit kecil yang terdesak.

Saya tolong jual supaya rakan penerbit dapat melunaskan sewa setor atau melangsaikan hutang kepada pencetak.

Saya cerita semua ini, bukan sebab sombong; jual jeans bundle sebenarnya lebih menguntungkan.

Tetapi, menjual buku terasa lebih patriotik.

Ia membantu negara menerokai kaedah pemasaran percuma tetapi bertrafik tinggi.

Sekaligus, ketrampilan buku di media sosial akan meningkatkan literasi kenal buku dan mewujudkan khalayak pembaca baru.

Selama lima tahun strim, saya menjual lebih 100 ribu buku.

Mana bukti? Lihat saja data Beg Kuning, dalam 7 bulan pertama — 17,500 buku dijual hanya di platform TT.

Dalam strim Facebook selama 5 tahun — lebih 200 judul buku telah dijual.

Minimum 100 buku per judul. Maksimum, ada 2,700 buku per judul dapat dijual.

Tak perlu ramai. Upah jurukamera. Kalau anak sendiri — bayarlah RM100 untuk 2 jam kerja😄

ALFU SANATIN

Masa jumpa Karangkraf, kita sasar 3 ribu naskhah dalam sebulan tapi langsai dalam 6 hari.
Alfu Sanatin terjual 3 ribu naskhah hanya 6 hari. Sekarang “sold out”. 10 ribu cetakan akan muncul Februari nanti.

Ketika berbincang dengan pihak Karangkraf, sebelum sesi bersama dengan Ustaz Ibnu Rijal pada 21 Januari 2025 — kami sasarkan 3,000 buku.

Tempoh jualan ialah sebulan.

Alhamdulillah — 3,000 buku terjual dalam 6 hari sahaja.

Kini, penerbit menambah 10 ribu cetakan baru — kerana permintaan yang tinggi.

Tak perlu saya sombong pun; ini hanya usaha menyelesaikan masalah pemasaran buku.

Saya kena kerja kuat bagi membuktikan usaha ini satu potensi besar bagi masa depan perbukuan.

Sebab, sepanjang 2019 — saya sudah letih naik turun pelbagai agensi meminta “sokongan”.

Tetapi, tiada pihak yang mahu membantu.

Di Malaysia, kita tak perlu sedih apabila idea ditolak.

Sebabnya mudah, ada kalanya: “Idea bukan untuk dijual, idea perlu dilaksanakan!”

Terima kasih pada rakan-rakan ZRA Strim di semua platform yang membantu menjayakan idea ini.

Kita tak perlu jadikan buku sebagai alat populis diri atau memalu genderang glamor.

Kita sedang membantu industri buku mendapatkan kaedah baru bagi pemasaran berkos rendah; tetapi sangat berkesan untuk membina lingkungan pembaca/pembeli baru.

Itu saja.

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...