Pempengaruh media sosial dan pengusaha, Khairul Aming mengemukakan lapan surat tuntutan kepada penjual yang meniru ‘Sambal Nyet’ keluarannya.
Terdahulu, Khairul Amin Kamarulzaman atau terkenal dengan nama Khairul Aming berkata, pihaknya sudah mengenal pasti penjual berkenaan.
Katanya dalam satu kenyataan melalui laman sosial X, peguamnya sudah menghantar surat tuntutan bagi pelanggaran hak harta intelek.
“Ada lapan tuntutan yang kita sudah senaraikan dan jika mereka gagal penuhi kesemua tuntutan berkenaan, kita akan bawa kes ini ke peringkat seterusnya.
“Sambal Nyet sudah didaftarkan tanda dagangan di MyIPO dan sudah diluluskan pada 2 November 2021,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Ujarnya lagi, beliau sering memberi sokongan kepada peniaga kecil.
“Tetapi berniagalah dengan cara beretika dan berhemah. Jangan aniaya orang ramai macam ini,” katanya.
Tular baru-baru ini, seorang peniaga menggunakan nama Sambal Nyet sebagai nama produk sambal yang diniagakan.
Peniaga tersebut juga turut menggunakan format pemasaran sama seperti Sambal Nyet.