Seorang penganggur dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kajang atas dua pertuduhan menunggang motosikal dengan gopoh dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang warga emas dalam video tular lelaki tidak berbaju kemalangan membabitkan dua motosikal di Jalan Utama Cheras Perdana, pada Jumaat lalu.
Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu terhadap Irwan Syah Rizal, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut.
Mahkamah juga turut memerintahkan hukuman bagi dua kesalahan itu berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 3 September lalu.
Mengikut pertuduhan pertama, Irwan Syah didakwa Irwan Syah didakwa menunggang motosikal dengan gopoh sehingga membahayakan nyawa Low Khoon Hwa, 71, di Jalan Cheras Perdana, di sini pukul 11.25 pagi pada 1 September lalu.
Bagi pertuduhan pertama itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda yang boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya.
Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa yang serupa pada tempat, masa dan tarikh yang sama yang didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman empat bulan manakala pertuduhan kedua hukuman penjara dua bulan.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 September lalu.
Terdahulu peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nurshuhada Imraanuar yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya dijatuhkan hukuman penjara secara serentak bagi kedua-dua kesalahan itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran buat tertuduh dan masyarakat umum.
“Kami memohon agar mahkamah mempertimbangkan tindakan tertuduh yang menunggang motosikal secara melawan arus telah memberikan ancaman nyawa kepada pengguna jalan raya lain.
“Selain itu perlu dipertimbangkan tindakan melulu tertuduh yang telah mendatangkan kecederaan kepada mangsa. Kami memohon satu hukuman berbentuk kepentingan awam dikenakan terhadap tertuduh,” jelasnya lagi.
Menerusi video yang tular berdurasi 30 saat itu, sebuah motosikal dilihat keluar secara tiba-tiba dari simpang menyebabkan sebuah lagi motosikal yang ditunggang lelaki tidak berbaju gagal mengawal kenderaan lalu melanggar kenderaan tersebut.
Susulan kejadian itu, lelaki tidak berbaju itu terus memukul penunggang motosikal tersebut secara bertubi-tubi di tengah persimpangan jalan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 12.09 tengah hari.