Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) dan Penang Port Sdn Bhd (Penang Port) akan menawarkan perkhidmatan feri percuma bermula 12.01 tengah malam 24 Jan hingga 2 pagi 26 Jan bagi memudahkan perjalanan penganut agama Hindu ketika meraikan sambutan perayaan Thaipusam.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penggunaan perkhidmatan feri, yang buat kali pertama akan beroperasi 24 jam, diharapkan dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di sebelah pulau.
“Selepas penumpang feri tiba di terminal feri Pangkalan Raja Tun Uda, ada bas Rapid Penang yang turut memberikan perkhidmatan percuma kepada mereka.
“Bas ini akan berhenti di tempat-tempat mereka sembahyang dengan destinasi akhir di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata waktu operasi Bas Rapid Penang secara percuma adalah dari 2 petang hingga 1 pagi 24 Jan dan pada 25 Jan, dari 5.30 pagi hingga 1 pagi keesokannya.
Loke berharap usaha itu dapat meningkatkan penggunaan pengangkutan awam khususnya ketika waktu musim perayaan.
-BERNAMA