Berkuatkuasa 2 Oktober lalu, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) Johor Bahru mengeluarkan notis melarang pemilik rumah atau jiran meletak kenderaan awam di hadapan rumah masing-masing.
Melalui satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Bandar MBPG, mana-mana individu yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Seksyen 49(1)(g) Akta Jalan Parit dan bangunan 1974 (Akta 133), Undang-undang kecil 3(n) Undang-undang Kecil Vandalisme (Majlis Perbandaran Pasir Gudang) 2011 dan perintah 17(1) dan 17(2) perintah lalu lintas jalan (peruntukan mengenai tempat meletak kenderaan) Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang 2011.
Tindakan mengenakan kompaun serta merta boleh dikenakan dibawah undang-undang kecil kompaun kesalahan dibawah Akta Kerajaan Tempatan (MBPG) 2010 sebanyak RM500 dan dibawah undang-undang kecil jalan, parit dan bangunan dengan kadar maksima RM2,000.
Difahamkan lagi MBPG mengambil tindakan tegas itu susulan meningkatnya laporan pemilik rumah yang mendakwa jiran sering meletakkan kenderaan di hadapan rumah mereka dan mencetuskan suasana tidak harmoni di kalangan penduduk.