Seekor kucing yang diselamatkan di lokasi nahas melibatkan sebuah pesawat Beechcraft Model 390 di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu, dilaporkan mati, semalam.
Kematian haiwan yang diberi nama Oyen Elmina itu dimaklumkan oleh doktor veterinar yang merawatnya, Dr. Zulerwan, di Instagram, sebentar tadi.
“Dukacita dimaklumkan, Oyen Elmina telahpun pergi untuk selamanya hari ini.
“Oyen yang didapati positif untuk virus ‘feline Ilimmunodeficiency virus’ (FIV) atau dikenali sebagai sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS) kucing, membuatkan sistem imun badan Oyen terganggu,” kongsinya.
Jelasnya lagi, komplikasi luka yang berada di tulang belakang Oyen membuatkan jangkitan kuman lebih cepat merebak.
“Oyen mulai lemah dan rawatan telah diberikan sebaik mungkin, tetapi Oyen tidak dapat bertahan.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan Oyen,” katanya.
Zulerwan yang merawat kucing tersebut memaklumkan sebelum ini proses memulihkan kecederaan Oyen masih lagi dijalankan.
Malah, Oyen turut dikunjungi pasukan penyelamatnya yang terdiri daripada pasukan ambulan Kementerian Kesihatan (KKM) beberapa hari lalu.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official