1987 ialah tahun penuh sejarah bagi pelukis jalanan di Kuala Lumpur. Tahun transisi dan migrasi yang luar biasa.
Dari suasana jalanan di depan Wisma Yakin, Jalan Masjid India – puluhan pelukis yang mencari rezeki melalui goresan potret, berhijrah ke Pasar Seni atau Central Market (CM).
Tahun itu tanda meledaknya kesedaran di kalangan pentadbir Kuala Lumpur mengenai apresiasi seni marhaen.
Malah, bukan saja seni, tapi ekonomi pelukis yang menjadikan bakat melukis potret sebagai kerjaya sepenuh masa.
Teknorat mula mengiktiraf betapa pentingnya pelukis jalanan diberikan ruang kreatif yang lebih kondusif dan eksklusif. Sesuai dengan usaha mahu mengimbangi pembangunan ibu kota yang serba material.
Hampir 40 pelukis potret diberikan ruang melukis di CM tanpa caj sewa. Satu usaha luar biasa dalam menghargai seniman jalanan setelah sedekad hidup menempel di Jalan Masjid India.
Aris Aziz, Adam Ooi, Im Aziz, Abdul Aziz Alias, Ajis Lanun, Zakaria Mat Isa, Suria Suim, Young Jeffry, Jamal Tumiran, Abdul Hadi Ahmad, Rahmat Ramli dan Khairudin Dino Mustafa antara nama pelopor awal.
Antara kelompok itu, termasuk juga Mahadzir Md Shirat atau popular dengan nama Eidet. Dia antara seniman jalanan yang masih tegar dan cekal mencari rezeki dengan melukis potret hingga hari ini.
Tanpa sebarang pendidikan seni yang formal, anak Segamat, Johor ini datang ke Kuala Lumpur dan memulakan kerjaya sebagai pelukis jalanan pada usia 23 tahun.
“Tahun 87, kami pelukis jalanan dijemput ke CM sebagai artis potret. Semuanya diberikan percuma.
“Kami menikmati pengiktirafan apabila dianggap sebagai pengkarya hidup. Dalam CM ketika itu dipenuhi dengan produk seni material yang kaku,” kata Eidet.
Setelah setahun dikecualikan caj, pada 1988, kadar sewa bermula dengan caj RM5 sehari dan dinaikkan pada RM10 pada tahun berikutnya.
“Tahun 1989 caj sewa ditetapkan RM450 sebulan. Ia masih boleh diterima kerana pendapatan melukis agak baik pada waktu itu kerana pelancong Eropah sentiasa menghargai lukisan potret,” cerita Eidet.
Namun, semuanya berubah apabila pengurusan baharu mengambil alih CM pada 2005. Pelukis dikenakan sewa RM1500 sebulan dan dipindahkan ke luar bangunan CM. Malah, di pedestrian
Annex CM, caj elektrik juga dikenakan sebagai fi tambahan.
“Harga sewa terlalu mahal, naik mendadak lebih 300%. Syarikat pengurusan baharu mengubah imej CM tanpa perlukan komitmen pelukis jalanan,” kata Eidet.
Koloni 40 pelukis di CM terpaksa membawa diri. CM bukan lagi bertaraf pasar budaya tetapi berubah menjadi zon seni kontemporari bernilai komersil sepenuhnya.
Setelah keluar meninggalkan CM, ramai pelukis yang terkapai-kapai. Ada yang melukis di rumah atau menempel di ceruk laluan di sekitar ibu kota. Namun, kerap dihalau pihak berkuasa atau pemilik premis.
“Kami dianggap mengganggu laluan. Malah dilihat sebagai mencemar laluan awam,” kata Eidet.
Itu nasib pelukis jalanan. Asal di jalanan pada awal lapan puluhan dan kembali ke jalanan dua dekad berikutnya.
Dua dekad selepas itu – masih ramai kekal dibiarkan di jalanan.