Dunia sukan sering dikaitkan dengan persaingan sengit, pencapaian yang luar biasa dan sifat terus asa. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kisah yang sangat mengagumkan dalam dunia sukan.
Sukan bukan sekadar hendak mencari kemenangan. Sukan adalah mengenai semangat berjuang. Sukan juga bertujuan untuk memupuk semangat setiakawan.
Kisah mengenai Mutaz Barshim dan Gianmarco Tamberi, dua atlet acara lompat tinggi lelaki sangat menarik perhatian. Bukan sekadar kehebatan mereka pada perlawanan akhir, tetapi juga mengenai semangat kesukanan dalam hati mereka.
Mutaz Barshim berasal dari Qatar dan Gianmarco Tamberi mewakili Itali. Mereka berdua adalah nama penting dalam dunia lompat tinggi. Kedua-dua atlet ini telah menunjukkan pencapaian luar biasa dalam sukan lompat tinggi. Perjalanan mereka ke puncak dunia lompat tinggi menunjukkan usaha keras, dedikasi dan semangat mereka berdua dalam dunia sukan.
Pada perlawanan yang berlangsung di Olimpik Tokyo 2020, peminat sukan dari seluruh dunia duduk di hadapan skrin televisyen masing-masing untuk menyaksikan beberapa aksi yang paling mengagumkan dalam sejarah sukan.
Persaingan mereka berdua sangat sengit dalam perlawanan akhir itu. Semakin tinggi palang dinaikkan, semakin sengit persaingan tersebut. Ia berterusan sehinggalah palang mencecah ketinggian 2.37 meter. Kedua-dua mereka berjaya melepasi ketinggian tersebut.
Situasi mula tegang pada ketinggian 2.39 meter, apabila kedua-dua atlet gagal melepasi ketinggian tersebut. Ia merupakan satu momen yang mengecewakan tetapi ia berubah menjadi semangat persahabatan yang tinggi. Barshim dan Tamberi mendekati pegawai dengan satu cadangan. Mereka meminta kebenaran untuk berkongsi pingat emas. Mereka tidak menyangka selepas pegawai-pagawai sukan berunding, permintaan mereka dipersetujui.
Stadium itu gamat dengan sorakan riuh sebagaimana atlet-atlet tersebut meraikan kemenangan yang mereka kongsi. Ia pada asalnya merupakan persaingan untuk merebut emas tetapi berubah menjadi detik indah yang bertemakan semangat persahabatan dan semangat sukan. Barshim dan Tamberi berpelukan, melepaskan air mata kegembiraan dan lega.
Kisah Mutaz Barshim dan Gianmarco Tamberi adalah bukti bahawa Sukan Olimpik bukan mencari pemenang, tetapi juga mengenai buang persengketaan dan membina jambatan persahabatan. Mereka telah menunjukkan kepada dunia bahawa juara sejati bukan sahaja dibuktikan oleh kehebata mereka tetapi juga oleh karakter, sifat rendah hati dan persahabatan yang mereka jalinkan sepanjang perjalanan mereka.
Akhirnya, pingat emas yang mereka kongsi lebih daripada sekadar kemenangan; ia melambangkan ikatan persahabatan yang tidak terputus dan semangat Olimpik yang merentasi sempadan dan bahasa.