Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan menganjurkan dua (2) program perdana Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) iaitu Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan serentak pada 19 – 20 November 2023 bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya.
Inisiatif bersepadu ini adalah usaha Kerajaan dalam memperkasakan STI serta menggalakkan lebih ramai pelajar dan belia meminati bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Seramai 20,000 orang pengunjung serta peserta dijangka akan menghadiri program selama dua (2) hari ini. Pelbagai aktiviti menarik berteraskan STI disediakan sepanjang program tersebut antaranya 40 buah reruai pameran interaktif melibatkan pengamal STI tempatan dan antarabangsa, tayangan Mini Planetarium, Drone Challenge, Pertunjukan Sains Interaktif, Aktiviti Robotik, Planet VR dan Pocket Talk STI yang pastinya akan memberi manfaat kepada pengunjung khususnya pelajar dan belia.
MOSTI menganjurkan Karnival MSN di seluruh negara dengan jumlah pengunjung direkodkan seramai hampir 200,000 orang pengunjung. Pada masa sama, pelaksanakan MSN secara dalam talian telah bermula sejak bulan April 2023 dan berakhir pada penghujung bulan Oktober 2023. Secara keseluruhannya penganjuran MSN telah mencatatkan hampir 600,000 penyertaan dari seluruh negara (termasuk secara dalam talian).
Penganjuran karnival MSN dilaksanakan melalui kolaborasi strategik MOSTI bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (PSUK), Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan dan pemain industri di setiap negeri menerusi pelaksanaan pengisian program dan aktiviti secara fizikal.
Malaysia Techlympics pula adalah inisiatif MOSTI dalam usaha memperkasa STI serta menggalakkan pelajar dan belia meminati bidang STEM melalui konsep pertandingan. Acara ini adalah tahun kedua pelaksanaan program ini setelah dilancarkan pada tahun 2022 dengan golongan sasaran belia berumur 7-30 tahun.
Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan ini dilaksanakan selepas penganjuran di Peringkat Zon Utara, Zon Tengah, Zon Timur, Zon Selatan, Zon Sabah dan Zon Sarawak. Seramai lebih 5,000 orang peserta dari 1,200 pasukan dijangka akan berkumpul bersama-sama dan bersaing di Peringkat Zon Akhir Kebangsaan yang akan diadakan pada 19 – 20 November 2023 di Putrajaya.
Pelbagai pertandingan yang berteraskan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet kebendaan (IoT), dron, pengkodan dan robotik yang dipertandingkan di peringkat negeri dan zon.
Sehingga hari ini, Malaysia Techlympics telah berjaya meraih 1.7 juta penyertaan daripada seluruh negara sejak dilancarkan pada bulan Mei 2023 yang lalu.
MOSTI menjemput dan mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke Karnival Minggu Sains Negara (MSN) dan Malaysia Techlympics 2023 Peringkat Akhir Kebangsaan pada 19 dan 20 November 2023 bagi bersama-sama Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi.
Untuk maklumat lanjut mengenai Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics dijemput untuk melayari laman web rasmi minggusainsnegara.mosti.gov.my dan home.techlympics.my.