Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) edisi ke-19 yang berakhir pada Jumaat ini merupakan pameran halal terbesar dunia, menghimpunkan pemain utama industri halal global.
Pameran yang dihoskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), berlansung sepanjang tiga hari ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Pameran yang membuka ruang buat para peniaga IKS, pembekal, pengilang, pembeli serta bakal peniaga untuk melebarkan lagi peluang perniagaan mereka.
Malah, melalui pameran halal ini juga sebenarnya mendidik kita untuk mengenali industri halal ini secara lebih mendalam.
Tidak hanya tertumpu kepada produk makanan, indsutri halal ini juga sebenarnya turut terdiri daripada beberapa sektor lain antaranya kosmetik, produk kesihatan, perkhidmatan logistik halal dan juga pelbagai lagi.
Selain daripada pameran produk dalam negara, terdapat juga pembekal dari luar negara antaranya China, Jepun, Korea Selatan, Thailand dan juga Indonesia.
Selain mempamerkan peralatan dan mesin pemprosesan makanan, terdapat juga taklimat berkaitan industri halal dan juga pelbagai makanan yang menarik untuk dicuba oleh para pengunjung. Malah, ada juga yang boleh dibeli untuk dibawa pulang.
Saranan penulis, pameran seperti ini perlu dipanjangkan hari supaya para pengunjung boleh datang bersama keluarga pada hujung minggu untuk mendedahkan diri mengenai industri halal ini.