Malaysian Football League (MFL) yang merupakan penganjur bola sepak tempatan kini tampil dengan pelancaran trofi yang akan dijulang oleh pasukan yang menjuarai liga simpanan skuad bawah 23 tahun (B-23) atau nama rasminya, Piala MFL.
Trofi yang direbut oleh 15 buah pasukan yang bertanding pada musim ini hadir dengan rekaan berbentuk perisai yang melambangkan ketahanan, jati diri dan semangat luar biasa khususnya pemain-pemain muda dalam menghadapi apa jua cabaran.
Trofi yang gah itu diperkenalkan oleh Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan kepada wakil kelab di Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Ketujuh dan dikongsikan kepada orang ramai menerusi platform media sosial MFL, pada Khamis.
Diperbuat daripada kaca lutsinar bagi menambahkan lagi keutuhan trofi, MFL menjelaskan pemilihan bahan itu juga melambangkan visi, misi dan cita-cita yang dipupuk dalam kejohanan ini.
Sementara itu, warna merah dan hitam yang digunakan pada trofi ini pula melambangkan kerjasama semua pasukan dalam mengembangkan lagi bakat dan keupayaan pemain-pemain muda B-23.
Setakat ini, saingan Piala MFL pada ketika ini telah memasuki pusingan kedua iaitu Liga Juara dimana lapan kelab sedang berentap untuk menempah tiket ke perlawanan akhir Piala MFL 2023.
Lapan kelab yang terlibat ialah Terengganu FC II, Johor Darul Ta’zim II, Selangor FC, Sri Pahang FC, Kuala Lumpur City Extension, PDRM FC, Perak FC II dan Kedah Darul Aman FC B.
Perlawanan akhir Piala MFL ini dijangka berlangsung pada bulan November ini.
Selain menjulang trofi kejuaraan, kelab yang menjuarai Piala MFL akan meraih wang tunai bernilai RM500,000 manakala naib juara pula akan membawa pulang RM250,000.