Setelah mengimbas waktu – barulah tersedar – saya terlupa menulis tribut genap setahun pemergian bintang legenda Datuk Mohd Dahlan Zainuddin.
Tapi masih belum terlewat menulis memo penghargaan buat penyanyi dan pelakon yang dikenang sebagai “raja balada cinta” melalui lagu-lagunya.
Malah, Dell watak penyanyi yang merantau ke ibu kota dalam filem Kisah Seorang Biduan (KSB, 1979) juga hero tidak mungkin dilupakan.
Filem KSB arahan M. Amin dan produser Deddy M. Borhan. Turut dibintangi penyanyi Gaya Zakri, Jeffri Din dan Bob Mustafa.
Dell juga nama timangan Dahlan. Lagu KSB pula “killer song” yang meledakkan namanya ke persada muzik tanahair.
Dahlan memulakan kerjaya setelah meraih kategori “Persembahan Terbaik” Bintang RTM 1975.
Seterusnya mencipta sejarah sebagai penyanyi tempatan pertama mengadakan konsert di Stadium Negara pada 1978.
Dahlan meninggalkan senarai putaran lagunya yang segar dan romantik. Menjadikan “stroke” nyanyiannya sebagai “milik Dahlan yang tidak boleh ditiru”.
Mengenal Dahlan sang hero KSB
Pada 1995 – di hotel Pan Pacific Kuala Lumpur, saya duduk semeja dengan bintang pujaan ketika
zaman persekolahan Dahlan Zainuddin.
Kami berbual banyak perkara; bermula dengan memori filem KSB.
Filem KSB ditayangkan pada 1979 ketika saya masih bersekolah. Watak Dahlan sebagai Dell, mempengaruhi budak kampung seperti saya untuk percaya: Kalau hendak berjaya pergilah ke Kuala Lumpur membina kerjaya.
KSB dijadikan filem dari judul lagu top nyanyian Dahlan. Tidak ramai yang tahu – lagu itu dari versi asal Trio Bimbo di Indonesia.
Namun, teknik dan stail nyanyian Dahlan menjadikan lagu ballad itu sempurna dan terasa pedih luka kisah cintanya.
Dahlan baik hati. Sentiasa tersenyum dan pandai bergaya. Ketika bertemu dan duduk berbual berjam-jam di hotel sohor itu, Dahlan sangat ramah.
Mengenakan sut hitam dan kemeja putih serta tali leher. Ketika itu, tahun 1994, Dahlan bekerja sebagai A&R menjaga artis rakaman. Dahlan sudah meninggalkan era top 80an.
Dahlan bongkar kartel cetak rompak
“Zaman abang dulu,” kata Dahlan ketika pertemuan lampau itu.
“Penyanyi rakam album untuk cari makan menyanyi di pentas. Kontrak album dibayar lump sum. Album laku atau tidak, mana ada royalti.”
Antara pemain industri dan lanun cetak rompak semacam ada persefahaman. Namun, artis tidak pedulikan semua itu.
Pendapatan utama ialah memenuhi undangan menyanyi pentas dan stesen TV. Album hanya batu loncatan untuk menjadi artis.
“Susah nak buktikan, tetapi realiti wujudnya konspirasi sukar dinafikan. Semua artis lama tahu perkara ini,” ceritanya.
Pada waktu itu – kaset cetak rompak bukan isu utama. Tiada unsur jenayah dan tidak dibangkitkan sebagai isu dalam industri muzik.
Berjam-jam berbual, itulah kali pertama dan terakhir bertemu Dell.
Sama seperti filem pertama dan terakhirnya, Dahlan dan KSB memberikan impak besar pada budak kampung seperti saya.
Selain kenangan menonton kisah pengembaraan Dahlan menunggang motorsikal “scrambler” meninggalkan kampung halaman menuju Kuala Lumpur – setelah kekasihnya mengahwini lelaki lain – filem KSB turut memberikan aspirasi pada saya meninggalkan kampung halaman dan mencuba nasib di ibu kota.
Sempat bertemu Dahlan sekali seumur hidup, pada 1995, serta mengingatkan pekertinya yang baik; mata pun berair ketika mendengar semula lagu Sendiri.
Apa lagi lirik: *Biarkan/Di Mana pun Daku Berada/Jangan Datang Atau Kirim Salam Tanda Cinta/ Kututup Mata dan Hati Untuk Cinta/Kerana Antara Kau dan Aku/Telah Terlarang Pada Cinta.*
Pada 28 Mei lalu, genap setahun Dahlan pergi. Dia akan dikenang kerana perwatakan mesra, rendah diri dan paling hebat ialah sentiasa tersenyum.
Lagu-lagunya kekal sebagai kesempurnaan uniknya pengucapan irama cinta dalam rentak balada.
*Mengenang setahun perginya Dahlan Zainudin (2 Jun 1941–28 Mei 2019)*
1976, saya ada gerai jual keset di Bangunan Puduraya (C37). Saya dapati lagu Dahlan Zainuddin turut diminati pelajar2 cina perempuan dari sekolah menengah Jalan Pudu. Mereka membeli keset Dahlan. Saya rasa agak ganjil jika bebudak cina meminta lagu2 melayu.