Pertama kali melihat Khalid Salleh pertama pada Jun 1984. Lokasinya di Laman Seni Wisma Yakin, Jalan Masjid India.
Itu era 80an Masjid India jadi tumpuan. Jadi, ketika bermenung-menung di tembok Wisma Yakin, saya nampak Khalid Salleh. Dia sedang beraksi menjual ubat.
Siapa tidak kenal Khalid Salleh. Ketika itu namanya sudah tersohor. Dia dramatis hebat slot Drama Minggu Ini dan Potret Pekerti siaran RTM.
Khalid cukup bertenaga dalam persembahan teatar jalanan cara menjual ubatnya. Produknya pula, makjun herbal kesihatan, ramuan warisan aruah ayahnya.
Pada era usianya lewat 30an ketika itu, Khalid sudah terkenal sebagai aktor yang menjual ubat. Atau sebenarnya, lebih simbolik sebagai penjual ubat yang menjadi aktor.
Khalid hidup dalam tiga dunia seni yang popular. Selain dunia silamnya sebagai lagenda penjual ubat di jalanan, Khalid juga pelakon filem berkelas Asia, seniman teater dan penyair kritik sosial yang prolifik.
Saya tidak berniat menulis biografi Khalid dalam mengenang seniman hebat ini. Biografi Khalid sebagai aktor, pengarah teater, penyair dan seniman boleh ditemukan dengan mudah dalam Google.
Setelah tiga tahun menjadi peminat setia Khalid sebagai penjual ubat di Masjid India, akhirnya saya mendapat peluang minum teh bersamanya di Pasar Seni pada 1987.
Seniman jalanan seperti Khalid pada penghujung 80-an pastinya akan menyertai rakan-rakannya membaca sajak di pedestrian Pasar Seni yang baru dibuka.
Waktu itu, baca puisi bawah tiang lampu satu fenomena baharu yang menyemarakkan seni jalanan di Kuala Lumpur.
Tahun 1996, saya berpeluang menulis drama 13 episod berjudul Raja Snuker. Drama terbitan Astro dan diarahkan Adman Salleh.
Dalam drama itu, Khalid berlakon sebagai bekas juara snuker yang melatih bakat baharu bagi perjudian snuker bawah tanah. Turut berlakon ialah Hani Mohsin dan Haliza Misbun.
Di Pasar Seni sekitar 1987, saya kerap berpeluang berbual-bual dengan Khalid Salleh. Era itu, sangat ketara betapa Khalid lebih menyintai dunia teater berbanding drama TV atau filem.
Jadi, yang panjang lebar diceritakan pada saya, tentulah idea-idea teaternya. Semua cebisan kisah-kisah bualannya itu, kemudian terlihat pada teaternya Si Bereng-Bereng, Gong Gedombak, Pawang dan Kena Main.
Selepas itu, nama Khalid terus memuncak. Dia aktor tersohor. Repalutasinya sangat hebat kerana berjaya meraih Award Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik 1998 di Taiwan.
Filem Jogho arahan Uwei Saari menjadikan Khalid setaraf Tan Sri P. Ramlee dalam konteks pencapaian lakonan berkelas Asia.
Tahun 2006, saya menerbitkan 104 episod program bersifat penerokaan alam mistik. Waktu itu, saya cadangkan pada Astro, hosnya mesti Khalid. Sebab Khalid secara peribadi memang pecinta alam mistik.
Khalid yang sangat berdisiplin
Ketika menjadi hos 104 episod program Mistik yang khusus mengenai alam ghaib dimana saya selaku Penerbit Eksekutif, Khalid sudah sangat senior dan dikategorikan sebagai artis tersohor waktu itu.
Banyak pengalaman mengenai disiplin yang dipelajari kru penerbitan saya.
“Aku yang tua pun datang awal,” kata Khalid: “Kamu yang muda-muda bangun pagi pun malas!”
Semua kru terperanjat. Sebab kalau “calltime” 7.00 pagi, Khalid akan berada di lokasi 15 minit lebih awal dan sudah asyik menghafal skrip. Ada masa pula, skrip hanya diserahkan pada hari penggambaran.
“Macam kacang,” kata kru saya: “Dua kali baca Wak Khalid dah hafal. Kalau “take” pun… satu atau dua kali dah sempurna.”
Kru penerbitan sebelum ini sudah berpengalaman bekerja dalam pelbagai penerbitan program. Bertemu segala macam jenis artis.
Cuma, Khalid Salleh akan mereka ingati sebagai bintang popular yang sangat menepati waktu.
Isnin, 23 Julai 2018, sekitar 3.20 petang, Wak Khalid pergi meninggalkan dunia seni. Kerjaya yang tidak pernah dinikmatinya sebagai dunia glamor atau mengejar kemasyhuran.
Khalid tidak hidup sebagai artis glamor atau bintang pop. Dia memilih jadi seniman. Istilah yang lebih relevan sebagai gambaran sikapnya yang menghambakan diri pada dunia seni.
Apa tidaknya, hingga ke akhir upayanya, sebelum benar-benar uzur selama enam bulan, Khalid masih setia naik ke pentas Baca Puisi Rumah Pena pada setiap Jumaat minggu pertama awal bulan.
Seperti selalu, dibacakan puisi-puisi protes sosialnya. Nada dan isi puisinya pula sentiasa keras dan kritis.
Khalid melakukannya dengan penuh semangat, tebal iltizam dan cekal berani. Dia masih melakukannya demi seni dan penuh dedikasi walaupun persembahannya secara percuma!