Mayat seorang lelaki tempatan dalam proses pereputan ditemui di sebuah pangsapuri, Jalan Penghulu Seksyen 2, Bandar Mahkota Cheras, Kajang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis berhubung bantuan mengangkat mayat pada pukul 11.26 malam.
Jelasnya, sebanyak tujuh anggota serta dua jentera keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kajang ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan tersebut.
“Pihak kami telah memberikan bantuan mengangkat mayat seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun dipercayai tinggal seorang diri di tingkat empat kediaman tersebut.
“Keadaan mayat yang membengkak dan sedang dalam proses pereputan berada di atas katil telah dikeluarkan sebelum diserahkan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan awal pagi semalam.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official