Juara Liga Perdana Inggeris 2022/23, Manchester City mencipta sejarah baru buat kali pertama untuk mereka apabila berjaya menumpaskan Inter Milan 1-0 pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara yang berlangsung di Istanbul, Turki.
Kejayaan manis itu telah menambah koleksi piala mereka untuk musim ini selepas memenangi Liga Perdana Inggeris dan juga Piala FA.
Manchester City yang beraksi cemerlang berjaya mengawal permainan dengan baik. Beberapa serangan dilancarkan namun keampuhan benteng pertahanan Inter Milan berjaya mengikat kedudukan 0-0 pada separuh masa pertama.
Gol yang dicari muncul pada minit 68 apabila situasi tak terkawal dibahagian pertahanan Inter Milan berjaya dimanfaatkan oleh pemain tengah Manchester City, Rodri yang merembat deras bola menerjah gawang.
Inter Milan juga beraksi dengan baik untuk mengimbangi perlawanan. Antara pemain yang mencuri tumpuan ialah penjaga gol Inter Milan, Andre Onana yang beraksi cemerlang di gawang serta mencipta serangan bermula dari bawah.
Kemasukan penyerang sasa, Romelu Lukaku menambah lagi kekuatan serangan Inter Milan. Beberapa serangan berjaya dilakukan namun tidak membuahkan hasil.
Inter Milan terpaksa akur dengan kemenangan Manchester City apabila wisel penamat ditiup.
Kemenangan ini sangat berharga buat pengendali Pep Guardiola yang sebelum ini pernah dikecewakan Chelsea pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2020/21.
Ini merupakan musim pertama penyerang muda sensasi Erling Haaland beraksi bersama Manchester City sekaligus menjadi kenangan manis buat Haaland yang beraksi cemerlang sepanjang musim dengan 12 jaringan.
Untuk lebih banyak perkongsian, anda boleh ikuti kami Kepochi @ Telegram : Mykepochi Official