Malaysia mencipta kejutan besar dalam Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas mengungguli acara double dan skuad negara melengkapkan malam gemilang mereka dengan turut menjuarai saingan regu menerusi kemenangan ke atas Thailand pada aksi final.
Sokongan lebih 1,000 penyokong tuan rumah yang memenuhi Stadium Titiwangsa Kuala Lumpur merupakan detik bersejarah buat sukan ini selepas 13 tahun lalu impian ditunda & 9 tahun lalu kali terakhir kita tewaskan Thailand di ISTAF Super Series.
Pasukan Malaysia memenangi set pertama dengan kiraan mata 17-16, dan set kedua dengan kiraan mata 15-13. Gandingan Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Mohd Nordin bermain dengan keyakinan tinggi, mengalahkan duo Thailand, Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut.
Kemenangan ini menjadikan Malaysia juara acara double, mengakhiri penguasaan Thailand sebagai gergasi sepak takraw dunia.
Kemenangan pasukan negara ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan sepak takraw Malaysia melalui media sosialnya semalam.
“Satu pencapaian yang membanggakan dan luar biasa! Tahniah pasukan sepak takraw Malaysia! Moga kemenangan ini akan mendorong lebih banyak kejayaan pada masa akan datang!”