Dua hari sebelum Syawal. Suasana malam hari di rumah kampung Mak dan Ayah begitu sibuk. Angin petang bertiup lembut, membawa bersama aroma rendang yang sedang dimasak di dapur. Awal, ya itulah mak, semua nak cepat. Sambil-sambil merendang, sempat Mak menyapu lantai, sesekali mengesat peluh di dahi dengan hujung lengan bajunya. Anak-anak pula sibuk mengemas rumah, tetapi ada juga yang curi-curi berehat.
Ayah duduk bersila di ruang tamu, tekun memasukkan duit raya ke dalam sampul berwarna-warni sambil kedengaran lagu raya sayup-sayup. Di luar rumah, Apek penghantar gas datang membawa tong baru. Hari ini dia hantar gas sampai malam, esok dah tutup kedai. Sempat dia mengintai ke dalam rumah, riak wajahnya ada terukir senyum mengenangkan bertapa harmoninya keluarga di kampung ini. Along nampaknya agak sukar untuk mengangkat tong gas ke dalam rumah. Maklumlah sekali sekala buat kerja-kerja menolong keluarga.
“Alang, kau dah gosok baju raya belum?” suara Mak bergema dari dapur.
“Belum, Mak! Nanti Alang gosok,” jawab Alang sambil menonton televisyen, dengan tak lepas-lepas telefon ditangan kanan dan remote tv ditangan kiri. Ralit sungguh bermain telefon dan menonton tv pada waktu yang sama konon multitasking.
“Nanti gosok Ayah punya baju sekali ya?” Kali ini tiada jawapan daripada Alang.
Mak menjegil mata, tetapi belum sempat dia bersuara, langit di luar semakin gelap. Awan hitam bergumpal, angin bertiup kencang, menandakan ribut bakal melanda.
Tiba-tiba— Kebaboom! Guruh sekuat-kuatnya!
Seluruh rumah gelap. Blackout! Suara jeritan kecil bergema.
“Yeah!” jerit Alang dan Angah kegirangan, teruja seperti budak kecil. Ayah dan Along perlahan-lahan jalan ke almari dapur berpandukan lampu telefon masing-masing. Setelah jumpa beberapa lilin dan lampu suluh, mereka terus menyalakan lilin di ruang tamu dań ruang makan dapur. Anehnya tiada angin tiada ribut selepas gegaran dentuman guruh.
“Apa yeah yeah? Gelap tak boleh buat kerja ke? Dah-dah, sambung kemas rumah! Esok Lusa dah raya!” bebel Mak, tangannya masih memegang penyapu dalam keadaan sayup-sayup cahaya lilin.
Namun, sesuatu yang aneh berlaku. Semua anak-anak berpandangan sesama sendiri dengan ekspresi keliru dan aneh. Mata mereka seolah-olah menyimpan satu rahsia yang Mak tidak tahu.
“Kamu semua ni kenapa? Dah, sambung kerja!” Mak mengangkat kening.
“Mak cakap apa ni?” tanya Along perlahan, suaranya penuh tanda tanya. Mak memandang mereka dengan dahi berkerut. Mak pelik betul kenapa mereka menjawab pertanyaan dengan persoalan.
“Apa? Kita nak raya lah! Along, pergi beli santan. Angah, tolong Ayah pasang langsir. Alang, gosok baju raya cepat!” Mak bertubi-tubi memberi arahan kepada suami dan anak-anaknya. Lagi pun hari dah malam, risau kedai di hujung kampung tu tutup nanti. Tak ada santan, lambatlah siap nak masak nanti.
Namun, tiada seorang pun bergerak. Mereka seperti bingung kekeliruan dengan kata-kata mak.
“Mak… untuk apa semua ni?” tanya Along, bersandar di dinding.
“Nak raya lah! Hari Raya, R A Y A!” Mak menjawab geram, siap eja sekali. Mak makin pelik, kenapa mereka ini terus mempersoalkan dan tidak tahu bahawa esok lusa dah raya?
“Hari Raya? Apa tu?” tanya Angah, wajahnya penuh keikhlasan, naif seolah-olah perkataan itu langsung tidak wujud dalam kamus hidupnya.
Mak terkedu. Jantungnya berdegup kencang.
“Merepeklah kamu ni! Kita dah puasa sebulan, mestilah ada raya! Seumur hidup kita semua, setiap tahun sambut Hari Raya tau!” Mak tak tahu macam mana lagi nak jelaskan pada mereka semua ini. Ya lah, tiap-tiap tahun ada Hari Raya takkanlah mereka semua boleh tak ingat langsung. Keajaiban yang tak mungkin akan berlaku.
Alang menggeleng perlahan, wajahnya serius. Mereka adik beradik terus berhujah bahawa memang Hari Raya tak pernah wujud.
“Mak, puasa tu rukun Islam kan. Berpuasa pada pulan Ramadan. Lepas puasa, bayar zakat fitrah. Lepas tu haji. Mana ada hari raya dalam rukun Islam? Dah lah, Mak masuk tidur. Mak banyak fikir ni.” Sekali rukun Islam Alang nyatakan.
Mak ternganga. Dia mengeluarkan telefon untuk mencari jawapan, tetapi… internet tidak berfungsi. Dengan dada yang semakin sesak, dia berjalan ke biliknya, menghempaskan badan ke atas katil. Matanya merenung siling yang gelap, mulutnya membebel sendiri sebelum akhirnya terlelap.
Sahur Terakhir
Pagi sehari sebelum raya, rumah mereka seperti selalu—suasana tenang dan damai. Di meja makan, Mak, Ayah, dan anak-anak bersahur bersama. Bunyi sudu berlaga dengan pinggan, hirupan teh panas, dan desiran kipas siling menjadi bunyi-bunyian memecahkan suasana hening pagi sahur terakhir Ramadan kali ini. Semua senyap, tiada yang mengulas perbalahan malam tadi pasal Hari Raya, menghormati makanan dan keberkatan sahur barangkali.
Menjelang pagi tiada suasana raya, aneh. Biasanya, pada waktu begini, rumah sudah gamat dengan suara anak-anak berbual tentang baju raya, kuih yang perlu dibakar, dan rancangan untuk jalan raya nanti. Tapi kali ini, sunyi. Terlalu sunyi.
Berkerut-kerut dahi mak. Dia memerhatikan anak-anaknya—Along sedang sibuk menatap skrin telefon, Angah membaca novel, dan Alang hanya duduk bersandar sambil menguap malas. Tidak ada seorang pun yang bercakap tentang raya. Tidak ada sesiapa yang bertanya tentang ketupat atau langsir baharu. Tidak ada sesiapa yang menyebut tentang takbir raya malam ini.
Mak semakin bingung. Dia menoleh ke arah Ayah yang duduk di sofa, tenang membaca surat khabar seolah-olah semuanya biasa.
“Ayah, cuba cakap dengan anak-anak ni. Diorang ni semua dah lupa ke Raya, Raya?” tanya Mak dengan nada cemas.
Ayah hanya mengangkat bahu, tanpa mengalihkan pandangan dari surat khabar.
Mak bangkit, berjalan ke tingkap. Dia menarik langsir dan melihat ke luar. Sunyi. Aneh. Biasanya, pagi sebelum raya, jalan kampung meriah dengan suara jiran-jiran berbual sambil memasang pelita, anak-anak kecil berlari-lari dengan mercun di tangan, dan kaum ibu sibuk menyiapkan ketupat di anjung rumah. Tapi kali ini, sepi.
Tiada bunyi mercun. Tiada jiran yang sibuk menghias rumah. Tiada bau rendang dari rumah sebelah. Hanya dedaunan pokok yang sesekali bergerak ditiup angin.
“Ya Allah… betul ke aku sorang je yang ingat pasal hari raya ni?” bisik Mak, terasa jantungnya berdegup kencang.
Angah yang sejak tadi memerhatikan Mak akhirnya bangun dan menghampiri.
“Mak, rehat je la dalam bilik, Mak.” Angah menyapa dengan nada lembut.
Mak memandang anaknya dengan mata yang masih penuh tanda tanya. Tapi tiada pilihan, dia menghela nafas panjang dan melangkah masuk ke bilik. Jantungnya terasa semakin berdebar. Sesuatu tidak kena. Sesuatu yang aneh sedang berlaku.
Mak menutup pintu bilik perlahan-lahan. Dia duduk di birai katil, termenung. Fikirannya berselirat.
“Apa yang sebenarnya sedang berlaku? Raya benar-benar ada… kan?” Tanya Mak kepada dirinya sendiri. Fikir punya fikir lalu matanya makin memberat, bukan sebab kepenatan fizikal tetapi penat berfikir.
Malam Menjelang Syawal
Waktu berbuka puasa hari akhir Ramadan pun semacam sahur pada paginya. Tiada keterujaan sambutan Hari Raya.
Mak duduk termenung selepas berbuka puasa. Keadaan di biliknya gelap, hanya diterangi nyalaan lilin yang kecil. Cahaya malap itu menari-nari di dinding, mencipta bayang-bayang yang bergerak perlahan. Dadanya berdebar. Semakin lama, semakin kuat. Mana tak, akhirnya Ramadan patut disusuli Syawal dengan sambutan Hari Raya besar-besaran.
Jam dinding di sudut bilik berdetak perlahan. Jarum pendek menghampiri angka sembilan. Mata Mak tertumpu pada jarum itu, seolah-olah masa berjalan lebih perlahan daripada biasa.
Tiba-tiba—
ZAPP!
TERANG!
Kegelapan sudah berakhir!
Mak tersentak. Lampu-lampu kembali menyala. Dia memandang sekeliling dengan penuh kebingungan.
Dan—
“Ya Allah!”
Matanya membesar melihat ruang tamu yang kini berubah sepenuhnya. Lampu lip-lap berkelip ceria di dinding. Meja makan dihias rapi dengan pelbagai juadah raya—rendang, ketupat, lemang, kuih-muih. Semua anak-anaknya berdiri di tengah ruang, tersenyum lebar, berpakaian sedondon warna biru lembut.
“Surprise, Mak!” Along bersuara ceria.
“Mestilah ada raya! Takkanlah tak ada raya!” Tambah Angah menceriakan keadaan sugul maknya.
“Ya Allah, korang ni hampir buat mak kena serangan jantung!” Mak terpinga-pinga. Matanya berkaca-kaca, menekup mulut.
“Kami semua nak Mak rehat tahun ni. Selalu Mak sibuk, kali ini biar kami semua uruskan.” Ayah yang berdiri di sisi menepuk lembut bahunya.
Mak menggeleng, masih sukar mempercayai apa yang dilihatnya.
“Tapi… bila masa kamu semua siapkan semua ni?” Soalan cepumas ini menjadi tanda tanya Mak.
Alang tergelak kecil.
“Ala, masa Mak dalam biliklah!” Ringkas Sahaja jawab Alang, mana tidaknya mereka kalut sungguh menyiapkan persiapan raya secara senyap-senyap.
Mak tergelak kecil sambil mengesat air mata. Angah menghampiri dan memeluknya erat.
“Mak dah buat macam-macam sejak kami kecil lagi. Sekali-sekala biarlah kami pula yang buat Mak gembira.” Mak seolah tak sangka kata-kata Angah ini benar-benar menyentuh hatinya.
Mak tersenyum, hatinya penuh dengan rasa syukur dan terharu.
“Di Hari Raya ini, marilah kita berjanji untuk terus menjaga dan menghargai kasih sayang yang mengikat kita sebagai satu keluarga,” kata Angah.
“Terkono den! Dah tukar baju raya tu, esok nak pakai balik!” Mak tersenyum walau ada perasaan geram juga dengan kerenah anak-anaknya itu.
Seluruh rumah bergema dengan tawa riang dan bahagia. Raya kali ini terasa lebih bermakna daripada sebelumnya.
Pagi Raya
Pagi Hari Raya akhirnya tiba sepertimana yang diimpikan Mak. Suasana di rumah meriah dengan sanak saudara yang datang berkunjung. Bau rendang dan lemang memenuhi ruang, sementara gelak tawa mengiringi sesi bersalaman dan bermaafan. Semua orang sedang menikmati juadah dengan penuh selera.
Sesudah Ayah menghabiskan makannya, dia terus bawa pinggan ke dapur. Selesai urusan di dapur, dia menuju ke ruang tamu ter6senyum sengih depan Mak.
Tiba-tiba—
“Eh? Ayahnya! Mana gigi palsu kamu?!” jerit Soal Mak jerit, matanya membulat melihat sesuatu yang luar biasa.
Seluruh rumah terdiam. Semua mata tertumpu pada Ayah, yang tersenyum lebar—tanpa gigi! Beberapa saat berlalu sebelum keadaan menjadi kecoh.
“Cari dalam bilik!”
“Cuba tengok dalam laci!”
“Mana tahu terjatuh dalam sinki!”
Semua orang bergegas mencari gigi palsu Ayah. Almari diselongkar, meja diperiksa, malah ada yang mengangkat kusyen sofa dengan penuh semangat. Suasana menjadi kelam-kabut, gelak ketawa berselang-seli dengan suara panik.
Akhirnya, Alang yang sedang memeriksa meja makan tiba-tiba menjerit.
“Jumpa, atas meja je! Melekat dekat lemang rupanya!” Alang memberitahu semua dalam nada menahan gelak.
Satu rumah gamat dengan ketawa. Ayah menggaru kepala sambil tersipu malu, sementara Mak menepuk dahi, tidak percaya dengan apa yang berlaku. Suasana Raya mereka bertukar menjadi satu kenangan yang pasti akan dikenang sampai bila-bila.
Rumah mereka terus meriah dengan sanak saudara, dipenuhi dengan ketawa dan kasih sayang yang menghangatkan suasana Hari Raya.
Habis