LAPORAN GENCATAN HARI KE 2

Team KepochiCoretan ZRA10 months ago2K Views

ALHAMDULILLAH

Pertukaran 3 tahanan musuh selesai dengan 90 saudara kita sudah dibebaskan.

Proses pembebasan berjaya pada 24 jam pertama perjanjian gencatan.

Aliran trak kemanusiaan pada hari pertama mencapai 580 buah; sepanjang 24 jam pertama antara jam 2.30 petang 19 Januari hingga waktu yang sama pada 20 Januari 2025.

Bagi hari kedua; antara 2.30 petang Isnin hingga entri ini ditulis; jumlah keseluruhan sudah melebih 1,000 buah bantuan tiba di Tanah Jauh.

Perkembangan ini membuktikan sasaran perjanjian dengan syarat 600 trak bantuan sehari — jelas dilaksanakan secara patuh.

SESI PERTUKARAN TAHANAN SETERUSNYA

Selepas selesai sesi pertama pertukaran pada 19 Januari yang membabitkan nisbah 3 tahanan musuh dan 90 tahanan saudara kita — sesi seteruskan akan dijalankan pada 25 Januari nanti.

Sesi kedua membabitkan 4 lagi tahanan musuh dan 120 tahanan saudara kita.

Fokus pertukaran ini secara menyeluruh akan mencapai enam minggu.

Pertukaran Fasa 1 masih di peringkat tahanan awam (mewakili 30 musuh bukan dari tentera dan 900 tahanan saudara kita bukan dari senarai hukuman berat).

Fasa ini dijangka lebih pantas bagi membolehkan pertukaran Fasa 2 disegerakan.

Total pertukaran ialah 63 tahanan musuh dan 1907 tahanan saudara kita.

APA ITU FASA 2?

Pada tempoh Fasa 2 — nisbah pertukaran akan melibatkan tiap 1 tahanan musuh dari kalangan tentera akan ditukar dengan 50 tahanan saudara kita.

Namun, senarai saudara kita merangkumi baki 267 tahanan ringan dan 737 tahanan berat akan bercampur.

Proses pertukaran tahanan pada masa ini tidak dilakukan secara harian.

Namun, dijangka akan dikerapkan pada kadar lebih pantas sekiranya tiada ‘masalah’.

Kepimpinan Falash masih berharap pembebasan 4 pejuang kanan dalam senarai 737 tahanan jenayah berat.

Apa pun — semua angka asas bagi proses ini mesti diselesaikan dalam 42 hari.

Sekalipun, dalam senarai 737 tahanan penjara berat gagal membebaskan 4 pemimpin kanan yang disenaraikan — musuh tetap terikat dengan: “Mesti membebaskan pada jumlah yang dipersetujui.”

Pihak musuh tetap akan mendapat 63 tahanan yang masih hidup dalam Fasa 42 hari ini.

Gencatan 50 hari (baki 8 hari selepas pertukaran tahanan) — akan dilaksanakan dengan pihak musuh mesti berundur penuh dari garis 14km sempadan selatan Tanah Jauh.

Selepas 50 hari; fasa pertukaran diteruskan dengan 37 mayat musuh dan jenazah syuhada kita.

Butir tempoh dan nisbah jumlah bagi fasa ini belum diumumkan.

KRISIS POLITIK KEM MUSUH

Terdapat golongan ultra yang menolak perjanjian ini. Tapi, pengunduran mereka dari kerajaan musuh tidak menjejaskan kestabilan rundingan.

Ini kerana tanpa mereka, kerajaan musuh masih kekal dan memiliki kuasa cukup untuk berunding dengan saudara kita.

Asasnya; tanpa puak ultra yang menarik diri– kerajaan musuh masih ada majoriti 63 kerusi dari 120 kerusi. Puak ultra yang menarik diri hanya memiliki 5 kerusi.

(Sebelum ini kerajaan musuh ada 68 kerusi).

Laporan analisis politik dalaman pihak musuh membuktikan; rundingan ini tidak menjatuhkan kerajaan mereka kerana 2 lagi parti ultra memilih untuk kekal dalam kabinet.

TERUSKAN BERDOA

M❤️SIR selaku negara perunding menjelaskan; keupayaan menyediakan 1,000 trak bantuan setiap hari selama perjanjian dijalankan (50 hari).

Namun, hadnya tetap 600 trak bantuan. Jaminan 1,000 trak hanya bukti mengenai kesediaan bantuan kemanusiaan.

Jaminan ini berteraskan kepada dana bantuan kewangan yang mencukupi dari NGO dan negara-negara yang menyokong gencatan ini.

GELOMBANG PULANG

Walaupun gelombang kepulangan saudara kita di Tanah Jauh ke rumah masing-masing masih rendah; angkanya dijangka akan meningkat pada minggu kedua.

PBB memberi jaminan 60 ribu rumah mudah siap akan segera dibina, serta bekalan 200 ribu khemah berkualiti tinggi.

Namun, fasa misi kemanusiaan pada peringkat awal lebih fokus untuk membawa masuk tiga bantuan utama yang kritikal.

Trak bantuan menfokuskan kepada stok makanan, bekalan perubatan dan bahan bakar bagi memenuhi keperluan awam dan operasi hospital.

Terdapat enam buah hospital dijangka akan pulih pada operasi penuh dalam 30 hari dan jumlahnya akan menjadi 16 buah selepas 50 hari.

Total hospital di Tanah Jauh sebelum ini ialah 30 buah.

TERUSKAN BERDOA. PERJANJIAN INI RAPUH; TETAPI, MERIT TETAP ADA UNTUK MEMASTIKAN MUSUH MEMATUHINYA!

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...