
Pada tahun 1978 ketika Darjah 5 di Sekolah Rendah Iskandar, Alor Setar — saya ada guru Bahasa Malaysia — Puan Yong.
Dia sangat luarbiasa kerana penguasaan Bahasa Melayu yang fasih serta sikap tekunnya ketika mengajar.
Pertama; Puan Yong suka hadiahkan nasi lemak kalau ada kuiz bahasa.
Kedua: Dia sangat ambil berat terhadap pelajar termasuk apa yang kita makan setiap hari.
KUIZ BAHASA MALAYSIA
Temanya pastilah peri bahasa atau simpulan bahasa.
Saya masih ingat dia bertanya: “Apa kata simpulan bagi putih?”
Saya jawab: “Putih melopak….”
“Salah…,” katanya: “Yang lain boleh cuba?”
Satu kelas diam. Kemudian saya angkat tangan minta cuba sekali lagi. Puan Yong tidak benarkan.
“Seorang, sekali saja….”
Memandangkan yang lain tidak menjawab; dan nasi lemak yang dijadikan hadiah kuiz masih diatas meja — Puan Yong kembali melihat kepada saya.
“Sekarang kamu boleh cuba sekali lagi?”
Saya jawab: “Putih melepak.”
Puan Yong tersenyum; dia berikan nasi lemak pada saya.
KELAS AKHIR DAN ISU DISLEKSIA

Saya baru boleh membaca dengan baik ketika Darjah 5 Ungu (kelas akhir).
Saya sangat berterima kasih pada Puan Kumari — Guru Darjah 4 Merah (kelas kedua akhir) yang membantu dengan mengadakan kelas peribadi selepas waktu sekolah.
Alhamdulillah… hujung tahun Darjah 4 — baru saya boleh membaca kerana Puan Kumari mengajar dengan tenang dan tegas.
Apa itu tenang? Dia mengajar dengan ejaan satu demi satu bagi menyusun konsonan bunyi; kemudian disusul teknik mengeja dan membaca.
Apa itu tegas? Puan Kumari pegang pembaris dan merotan tapak tangan kalau dua atau tiga kali diajar — saya masih “slow”.
Era 70an — masalah disleksia belum dikenalpasti. Jadi, guru masih menggunakan kaedah: “Fokus betul-betul! Atau kamu akan dirotan tapak tangan!”
Teknik ini berkesan. Sekitar 2 bulan saya sudah boleh membaca walaupun ada yang masih sukar dieja.
Saya akan berada sejam lepas waktu sekolah dan Puan Kumari akan mengajar dengan prihatin.
Dia juga membetulkan tulisan S dan N saya — yang sentiasa terbalik.
Selain angka 2 dan 5 — yang sukar saya tulis dalam bentuk yang betul.
Apabila saya sudah boleh membaca; keadaan agak terlewat. Prestasi Peperiksaan Hujung Tahun Darjah 4 sudah tercorot.
Itu punca ketika Darjah 5 — saya turun ke kelas akhir.
Selain masalah baru belajar membaca dan menulis dengan baik — Darjah 5 tahun yang mencabar.
Ketika itu, Peperiksaan Penilaian Darjah 5 diadakan di seluruh negara.
DIMANA KISAH UDANG GALAH
Dalam kelas saya baik dengan Maniam; anak buruh rel keretapi yang lebih kurang macam saya.
Kami ‘slow learner’ dan anak orang susah.
Satu hari, saya menang kuiz bahasa dan Puan Yong berikan nasi lemak. Saya beri pada Maniam.
“Kenapa kamu tidak makan?”
Saya jawab: “Cikgu… mak saya bekalkan nasi….”
Dia minta saya buktikan. Saya buka bungkusan nasi dalam balutan akhbar; dan Puan Yong sangat terperanjat.
“Kamu anak orang kayakah?”
Saya geleng kepala.
“Ini udang galah,” kata Puan Yong: “Sangat mahal!”
Saya jawab: “Tiap hari kami pancing di belakang rumah tepi sungai. Boleh dapat 2 atau 3 ekor.”
“Wahhh…,” kata Puan Yong.
“Nanti boleh suruh ibu kamu goreng dan saya mahu beli seekor macam ini. Taruh garam dan kunyit saja.”
Saya anggukkan kepala.
SUNGAI KEDAH LEWAT 70AN
Kalau mahu udang galah, kami hanya perlu pasangkan kail.
Kami sebut kail kerana batangnya hanya mengkawan.
(Mengkawan ialah belahan buluh kecil yang dibuat tulang bagi atap nipah).
Saya tinggal di Pumpong, Alor Setar; di seberang sungai ialah Kampung Suka Menanti.
Sungai Kedah sangat lebar; 2 kali ganda saiz sekarang. Mencari udang galah, siput paip, ikan keli — bukanlah susah.
Cuma, kail lebih kerap diganggu ikan temekong.
Kail batang mengkawan dipasang dengan benang jahit baju saja; dan mata kail kecil, kami pasang umpan cacing.
Kami hanya perlu memacak kail dicelah-celah pokok nipah. Petang pasang; esok pagi datang kutip.
Inshaallah… akan ada udang galah.
Ini sekadar catatan kenangan; tanda terima kasih kepada Puan Kumari dan Puan Yong — dua guru terbaik masa kecilku.
Nanti ada waktu; saya tulis entri kisah Mr. Teh; guru kelas Darjah 5 yang membantu saya mendapatkan bantuan tiket bas secara bulanan.