Apabila menyebut tentang perkataan empati pasti kita sering terbayang satu lagi perkataan yang seakan sama bunyinya dengan empati iaitu simpati.
Hakikatnya kedua-dua perkataan ini mempunyai makna yang berbeza. Sebagai contoh, apabila kita melihat orang yang dalam kesusahan, pastinya akan timbul rasa kasihan dalam diri kita.
Rasa kasihan itu merupakan simpati namun bagi empati pula adalah apabila rasa kasihan itu disusuli dengan keinginan membantu, menyelesaikan dengan mengambil kira perasaan orang itu. Menurut seorang ahli falsafah sosiologi yang bernama Krznaric, empati itu bermaksud;
“Empaty is something that anyone can cultivate in their daily life”
Empati juga ialah sikap meletakkan perasaan kita pada orang lain atau cuba meletakkan kita dalam kasut mereka.
Menanam sifat empati sangat penting dalam kehidupan seharian kita yang hidup bermasyarakat, terutamanya pasangan ibu bapa yang menginginkan anak-anak mereka membesar menjadi seorang insan yang baik dalam segenap aspek.
Pemikiran ibu bapa yang hanya mementingkan keputusan akademik anaknya semata merupakan suatu pemikiran yang sempit dan tempang kerana dalam pembentukkan manusiawi yang hebat itu tidak hanya terletak pada kertas yang ditanda dengan pen merah.
Hatta dunia pada hari ini membuktikan bijak pandai manusia mencipta teknologi-teknologi hebat, akhirnya dek ketandusan nilai-nilai empati dalam diri menyebabkan peperangan. Pada akhirnya telah mengorbankan nyawa manusia yang tidak bersalah.
Dalam soal mendidik anak-anak, menanamkan nilai-nilai murni itu adalah yang paling utama dan amat ditekankan di awal usia mereka berbanding aspek lain tanpa menafikan kepentingan dari sudut pendidikan dan kemahiran. Antara tips menanam sifat empati dalam diri anak-anak ialah:
1- Lazimi Ucapan Alhamdulillah Dan Terima Kasih
Ya! Kita sedia maklum sesuatu perasaan itu tidak kelihatan melainkan dirasai kerana perasaan itu terletaknya pada hati, namun sebagai ibubapa kita dapat memberi panduan kepada anak-anak dalam mengekspresikan perasaan ini.
Sebagai contoh paling mudah ialah mengucapkan Alhamdulillah atau terima kasih apabila menerima sesuatu kebaikan. Hal ini, kerana dengan mengucapkan terima kasih atau Alhamdulillah mampu memberi panduan kepada anak-anak dalam mengekpresikan perasaan mereka.
Dalam masa yang sama dapat mengajar mereka betapa pentingnya untuk menghargai setiap kebaikan yang mereka terima.
2- Ibu Bapa Sebagai Suri Teladan Terbaik Buat Anak-Anak
Perkara yang perlu kita akui bahawa kanak-kanak pastinya akan lebih terkesan dengan tingkah laku ibu bapa mereka.
Hal ini, merupakan suatu kesempatan yang amat baik dalam mempromosikan nilai empati dalam diri anak-anak.
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. berkata:
“Rasulullah S.A.W bersabda : Orang yang paling sempurna imannya ialah paling baik akhlaknya. Sebaik-baik kalian ialah yang paling baik akhlaknya kepada isteri-isteri mereka.”Jami’ at-Tirmizi, Kitab al-Rido; hadis no 1162, hasan sahih
Berpandukan kepada hadis di atas, seorang ayah sewajarnya memberi layanan yang baik pada isteri dan tidak salah dalam beberapa perkara seorang ayah mempamerkan kebaikan pada isterinya sambil dipertontonkan anak-anaknya agar sifat empati dalam diri anak-anaknya akan lebih berkembang dan membangun.
Sebagai contoh seorang suami membantu isterinya dalam kerja-kerja rumah sambil diperlihatkan kepada anaknya. Ini secara langsung memberi dorongan kepada anak-anak untuk turut serta dalam meringankan beban ibunya.
3- Membawa Anak-Anak Dalam Aktiviti Kemasyarakatan
Terdapat satu kajian yang dikemukakan oleh D. Goleman, dalam bukunya karangannya Kecerdasan Emosi untuk mencapai puncak prestasi menyebut antara faktor yang mempengaruhi empati ialah bermasyarakat.
Dengan bermasyarakat inilah akan memberi ruang dan peluang yang lebih banyak kepada anak-anak membangunkan nilai empati dalam diri. Sebagai contoh aktiviti gotong royong di kawasan perumahan, sekolah, aktiviti sukaneka dan lain-lain.
Mungkin pada sisi lain ibu ayah merasakan menyertai aktiviti kemasyarakatan bersama anak-anak ini menyusahkan atau melecehkan. Pemikiran sebegini seharusnya dipinggirkan daripada ibu ayah, kerana pemikiran sebegini hanya membantutkan perkembangan nilai dalam diri anak-anak termasuk nilai empati.
Bukankah membimbing anak-anak membersihkan kawasan yang bukan milik keluarga kita ataupun memberi makan minum kepada orang yang tidak kita kenali itu memberi suatu gambaran tahapan yang tinggi dalam membangunkan sifat empati dalam diri anak-anak?
4- Menjadi Pendengar Yang Baik Kepada Anak-Anak
Seorang profesor psikologi di University of Houston Texas menyatakan:
”Kebanyakan orang yang simpati ini hanya suka menyelesaikan masalah orang itu tanpa mendengar dahulu atau mengadakan komunikasi yang serius (deep conversation). Menjadi pendengar yang bukan sekadar ingin membalas tetapi mendengar untuk membina hubungan empati. “
Ibu bapa wajar bersedia menjadi pendengar yang paling setia kepada anak-anak. Hal ini secara tak langsung mengembangkan nilai empati dalam diri anak-anak. Kelak apabila kita sudah tua merekalah yang akan setia mendengar cerita zaman muda kita.
5- Memberi Ruang Kepada Anak Untuk Membuat Keputusan
Ya, sebagai ibu bapa kita mempunyai pengetahuan yang lebih banyak dan pengalaman hidup yang lebih berharga. Namun demikian, sikap untuk kita memberi peluang kepada anak-anak untuk membuat keputusan sendiri itu juga adalah suatu tips untuk menanamkan sifat empati.
Sebagai contoh memberi peluang kepada anak-anak untuk memilih bidang akademik mereka seperti bidang sains atau sastera. Sebagai ibu bapa kita bertindak orang yang terus menyokong dan membimbing mereka untuk berjaya.
Terdapat sebuah kisah pada zaman Rasulullah apabila Baginda Nabi SAW sendiri dalam menjadi contoh mengamalkan sifat empati.
“Bahawa suami Barirah adalah seorang hamba bernama Mughit. Aku seakan masih terbayang dia mengikuti Barirah dari belakang serta menangis sehingga air matanya mengalir atas janggutnya. Nabi S.A.W berkata kepada ‘Abbas: Wahai Abbas, tidakkah kau hairan melihat cintanya Munghit kepada Barirah dan bencinya Barirah kepada Munghit?”,Lalu Nabi S.A.W berkata kepada Barirah “ Tidak mahukah engkau kembali padanya”, Barirah berkata” Apakah engkau memerintahkanku?” Nabi S.A.W bersabda” Aku hanya mencadangkan” Kata Barirah:” Aku tidak memerlukan dia”.
Lihatlah sikap Nabi S.A.W apabila beliau tidak menghukum terus kepada Barirah walaupun beliau mempunyai kapasiti sebagai pemimpin islam yang disegani.
Pada saat itu baginda lebih banyak cuba memahami perasaan Mughit. Nabi S.A.W sama sekali tidak bertindak mencadangkan sesuatu yang di luar batas seperti menyuruh Barirah menerima cinta bekas suaminya dahulu.
Secara kesimpulan membina nilai empati dalam diri anak-anak ini adalah sangat penting bukan hanya sekadar untuk kebaikan keluarga tetapi untuk negara dan dunia hari ini. Nilai sebuah kemanusiaan bergantung sejauh mana manusia mempunyai nilai daripada sifat empati.