The Sherry Show – Episod 2 yang bersiaran pada 31 Oktober 2020 kali ini menampilkan artis-artis tanah air seperti Mami Mas Idayu, Bella Astillah dan Fizo Omar. Topik hangat yang diperbualkan bagi show malam itu adalah tentang “Kembali Single”.
“Jujur kuakui kamu yang paling OK, cintaku seratus persen”. Melihat Mami di kaca TV, tersingkap kembali zaman kegemilangan lagu dangdut di sekitar tahun 1990an. Mami Mas Idayu dengan lagunya berjudul Cintaku 100% sangat popular ketika itu dan lagunya menjadi siulan rakyat Malaysia di setiap lapisan masyarakat.
Jika dihayati lirik lagu tersebut, ianya lebih menceritakan cinta seorang manusia kepada manusia yang lain. Ya, cinta itu fitrah manusia. Lelaki akan tertarik kepada wanita, begitu juga wanita akan tertarik kepada lelaki. Sebagai umat Islam, kita yakin dan percaya bahawa, makhluk Allah S.W.T. diciptakan berpasang-pasangan supaya saling melengkapi antara satu sama lain. Perkahwinan merupakan impian semua pasangan yang bercinta. Tiada satu pun pasangan yang bercinta tak mahu berkahwin. Tapi, ada pula orang kata perkahwinan ni bahagianya hanya tiga bulan sahaja. Betul ke? Lumrah hidup berumahtangga. Pasangan suami isteri akan diuji dan diduga.
“Ah jujur kuakui kamu yang paling OK, cintaku seratus persen”. Confident habis ya bila kita dengar balik lirik lagu ini. Kita kata OK, sedangkan Allah kata tidak. “Bercinta bagai nak rak” tapi akhirnya tidak kesampaian. Berbeda pendapat, tiada keserasian dan kejujuran serta kehadiran orang ketiga kerapkali menjadi asbab perpisahan. Menangis air mata darah sekalipun, jika telah tertulis dia bukan jodoh yang Allah takdirkan untuk kita, dia tetap bukan untuk kita. Sesungguhnya rezeki, jodoh dan maut itu telah ditetapkan olehNya.
Suatu ketika di saat kita sendirian dan semakin jauh kenangan pahit (perpisahan) itu ditinggalkan, perlahan-lahan Allah akan singkap rahsia hikmah di sebalik semua yang berlaku, satu per satu. Saat itu, kita akan sedar dan mensyukuriNya. Betapa Allah menjaga kita. Allah sebenarnya beri peluang untuk kita berbakti pada kedua ibu bapa dan keluarga tersayang. Allah beri ruang untuk mencari hidayah dan meraih cintaNya. Cinta yang satu ini tiada tandingan dari segala yang ada di muka bumi ini.
Perjalanan hidup yang Allah susun untuk setiap hambaNya terlalu rahsia, tetapi cukup teliti dan indah. Dalam Al-Quran, Allah telah mengungkapkan, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu. Allah Maha mengetahui sedang kamu tidak mengetahui,” Al-Baqarah – Ayat 216. Allah juga telah menyatakan bahawa Ia telah menentukan setiap peristiwa yang terjadi hanyalah demi kebaikan hambaNya.
Pengalaman lalu menjadikan seseorang itu lebih matang dalam menongkah arus kehidupan. Dalam hidup ini, kita diberi dua pilihan iaitu memilih atau dipilih. Jika kita memilih, maka pilihlah yang terbaik buat diri kita dan jika kita dipilih, maka jadilah yang terbaik. Aku memilih untuk mendapatkan CintaNya kerana aku yakin, semuanya akan jadi mudah jika kita jaga hubungan kita denganNya. Tidak perlu gusar tentang perjalanan hidup ini, kerana segalanya telah tertulis sejak di luh mahfuz lagi.
Saksikan The Sherry Show setiap Ahad di TV3 jam 11 malam .
Jalan Yang Aku Pilih
Kembali Single, Pilihan Atau Takdir Berakhirnya Jodoh?