KASUT GETAH HADIAH ‘GENG’ KAYUH BECA

Team KepochiCoretan ZRA9 months ago2K Views

Saya sentiasa rindukan Pekan Rabu. Imej bangunan ini dari zaman rumah kayu agam, ke bangunan batu sentiasa saya ingat. Perubahan dari bangunan asal tahun 70an sampai 2020an. Saya juga membesar jadi penjaja buah pada tahun 1982 - 1984.

Walaupun saya sudah boleh membaca pada penghujung Darjah Empat (1977); keputusan peperiksaan masih teruk. Saya turun ke kelas akhir ketika naik ke Darjah 5.

Di kelas akhir, ketika sudah boleh membaca — keputusan peperiksaan saya makin baik.

Saya dapat nombor 1.

Cuma, pergi sekolah naik bas dan balik sekolah saya perlu berjalan kaki dari Sekolah Rendah Iskandar ke tepi parkir pawagam Cathay. Agak jauh dalam 3 kilometer.

Perjalanan terasa letih dengan menyandang beg sekolah dan terpaksa meredah kawasan semak dan denai yang sunyi pada waktu siang.

Waktu itu, selain bekerja di Mada, Jalan Langgar — ayah juga membuat kerja tambahan sebagai penarik beca selepas pukul 4 petang.

Lokasi penarik beca berkumpul di tapak parkir Pawagam Cathay; sebelah Pekan Rabu.

Jadi, setiap hari — lepas balik sekolah — saya berjalan kaki merentas rel keretapi Tanjung Bendahara menuju Stesen Bas lama dan pintas kawasan stesen teksi menuju parkir pawagam Cathay.

Selalunya, saya tunggu ayah sampai 6 petang. Kalau ayah datang dan sudah ada wang pendapatan kayuh beca; saya ambil 10 sen buat tambang balik ke rumah di Pumpong.

Ini berlaku sebelum saya diberikan bantuan tiket bas oleh pihak sekolah.

KISAH BERSELIPAR

Ketika Darjah 5 — saya tak ada kasut sekolah. Jadi kerap pakai selipar. Satu hari, saya dapat kad laporan: Peperiksaan Penggal Pertama dan lulus semua pelajaran dengan nombor 1.

Tak ada apa yang hendak dibanggakan; kerana saya duduk di kelas paling corot.

Justeru, nombor 1 di kelas akhir; hanya perkara biasa; biasa dalam erti kata — tiada apa untuk diraikan.

Saya masih bawa beg kain ke sekolah; muat hanya untuk mengisi buku. Kad laporan — saya letak letak dalam beg plastik kerana bimbang terkepak kulitnya.

Di tempat penarik beca berkumpul; selalunya ayah akan lewat muncul kerana masih mengejar pelanggan menjelang waktu petang.

Ini pun perkara biasa; kerana selagi ada penumpang, ayah dulukan kerjanya kerana ini keutamaan. Wang gaji hanya cukup membayar sewa, bil letrik, hutang kedai runcit dan keperluan lain.

Pendapatan menarik beca jadi rezeki harian untuk membeli beras dan lauk serta menyara keperluan duit sekolah.

Sambil menunggu ayah; saya hanya melangu dan duduk-duduk di bawah pokok tepi pawagam Cathay.

Waktu itu, ada sebahagian pengayuh beca singgah berehat bagi yang sudah penat bekerja dari pagi dan melepasi waktu panas menegak ketika tengahari.

Pada hari yang menjadikan kenangan ini saya tulis; saya sedang duduk di bawah pokok dan membelek kad laporan. Selalunya, membaca nota khas ditulis cikgu.

Tiap kali kad laporan diberikan; notanya sama: Komen kehadiran ke kelas akan ditulis dengan pen merah; ditanda dengan peringatan: “Kerap tidak hadir”.

DISAPA KAWAN AYAH

Tak ada foto kenangan bersama pengayuh beca; sekarang beca sudah tiada di Alor Setar. Tapak geng beca di belakang Pekan Rabu menuju parkir Pawagam Cathay yang sudah lama ditutup.

Seorang pengayuh beca yang kenal saya datang mendekat; menjengok kad laporan dan bertanya: “Hang dapat nombor berapa?”

Saya senyum dan jawab: “Nombor 1 pakcik.”

Dia terus bertinggung di sebelah saya dan memegang kad laporan; melihat saja kad laporan saya; dia terus melaung pada rakan-rakan becanya.

“Woi.. anak Mat dapat nombor 1!”

Kawan-kawan pengayuh beca datang mengerumuni saya; duduk berkeliling memegang kad laporan saya.

Saya diam dan agak segan (malu); kerana mereka bergilir-gilir melihat kad laporan.

Semua menyegih dan ada yang saling bertanya: “Nombor 1 tu dok tang mana?”

AWAT PAKAI SELIPAR

Seorang penarik beca memerhati pada saya.

“Awat (kenapa) hang pakai selipar pi sekolah?”

Saya diam saja.

Selepas puas mengusik saya; dia kembali bergurau: “Hero Tamil mana kaya… pi sekolah kaki ayam saja….”

Mereka ketawa sambil seorang yang lebih tua (nama Kasim) mengusap kepala saya; tanda memuji sebab keputusan mendapat nombor 1.

SEHARI KEMUDIAN

Esoknya ayah beri tambang pergi dan balik sekolah secukupnya. Ertinya, lepas sekolah — saya boleh terus naik bas balik rumah.

(Kalau ada rezeki, kerap saja ayah beri duit tambang yang mencukupi).

MALAM BALIK BAWA KASUT SEKOLAH

Saya tidur awal kerana zaman itu tiada TV atau radio di rumah.

Di Kampung Pumpong; malam selalu sunyi. Pukul 9 malam; semua orang berdiam di dalam rumah.

Ayah balik agak lewat; segera dikejutnya saya saya bangun tidur.

“Ni… kasut sekolah….”

Belum pun sempat saya tanya, ayah beritahu ibu: “Depa (kawan-kawan ayah) puak kayuh beca, kutip duit dan sedekah beli kasut….”

Saya tak banyak melalui detik yang indah masa kecil; justeru, menerima kasut getah dari kawan-kawan beca ayah — satu yang mengharukan.

Zaman itu kasut kanvas sudah ada; tapi kasut getah warna putih masih dipakai anak-anak miskin. Seingat saya — harganya sekitar RM2.

Kasut getah tak payah dikapur, cuma agak panas. Tapi, syukur sebab lebih baik berbanding pakai selipar.

Hadiah sedekah ini satu nilai besar; sebab bayaran kayuh beca bukan besar.

Upah kayuh masih sekitar 20 sen ke 30 sen bagi penumpang di sekitar pekan Alor Setar.

Kata ayah saya: “Dari stesen bas lama ke Masjid Zahir (Pejabat Agama) orang bayar 20 sen.”

Jadi, sedekah kawan-kawan kayuh beca untuk sepasang kasut getah RM2 — sesuatu yang mahal bagi saya.

SAYA TERINGAT KAWAN AYAH HILANG

Ketika saya di Darjah 6 (sebelum pindah ke Jitra) — terjadi satu peristiwa besar.

Peristiwa yang mengajar saya erti persahabatan orang zaman dulu.

Seorang kawan ayah saya hilang di laut. Dia nelayan di Kuala Kedah.

Ayah saya, beritahu ibu: “Aku tak mengayuh dua tiga hari ni… kena pi Kuala Kedah tolong cari Tam. Depa kata bot dia karam….”

Ibu saya diam tanda setuju. Walaupun, tidak bekerja mengayuh beca — rerti tiada pendapatan harian.

Tapi, itulah ertinya persahabatan orang dulu — begitu terikat dan mengikat antara satu sama lain.

Ayah pergi Kuala Kedah dengan tujuan mengikut nelayan ke laut — mencari bot yang hilang.

Alhamdulillah. Tak sampai tiga hari. Esoknya, ayah balik rumah.

“Depa dah jumpa ka?” Tanya ibu saya.

Ayah jawab: “Bot dia rosak, nasib baik tak hanyut jauh.”

Semua memori ini sentiasa saya ingat; budaya orang dulu berkawan.

Ayah di Alor Setar, kenal Pak Tam kerana dia pernah cari makan jadi pengayuh beca di pekan.

Cuma, kemudian di balik Kuala Kedah dan jadi awak bot nelayan.

APABILA AYAH MENINGGAL DUNIA

Ayah saya meninggal dunia tahun 2004; ketika itu bekerja dengan Datuk Rahman Ibrahim (Rahman Brothers Group) di Johor Bahru.

Kami uruskan jenazah dari Johor ke KL dan kemudian diteruskan ke Alor Setar.

Ketika van jenazah dalam perjalanan dari KL ke Alor Setar; ibu telefon saya dengan pesanan: “Nanti jenazah bawa balik rumah dulu… dari rumah ke kubur — kita dah tak boleh kacau dah. ‘Adik beradik’ pak hang minta izin — depa nak uruskan dari rumah sampai selesai urusan kubur.”

Saya faham ayat ini. Maknanya; ‘kawan-kawan’ ayah minta izin untuk uruskan usung keranda dari rumah ke tanah perkuburan.

Jaraknya 300 ke 400 meter juga; dari rumah kami di Flat Mergong ke Masjid Gunung Sali.

Ketika jenazah diusung, saya dan abang serta adik lelaki saya hanya mengekorinya saja.

Ada seorang yang melaung; “Siapa anak aruah… mai usung sekali.”.

Saya segera ke depan… usung keranda dalam 10 langkah, kemudian disambut kenalan lain. Ertinya, kami 3 beradik lelaki hanya dapat mengusung sekitar 10 langkah saja.

Di kubur pun sama; semua kawan-kawan ayah urus pengebumian.

Alhamdulillah, kami tiga beradik lelaki, diberikan keutamaan turun ke liang dan melihat jenazah kali terakhir.

Selebihnya, semua urusan dibuat kawan-kawan ayah.

Begitu persahabatan; kita sebut kawan — tapi, orang Kedah sebut “adik beradik”.

Kata ibu: “Depa sayang pak hang sejak muda; mak kena bagi hak depa urus sampai ke kubur.”

Kami faham sebab ia bukan aneh dalam hubungan ‘adik-beradik’ cara orang Kedah.

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...