Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) komited dalam memperkukuhkan penjenamaan dan promosi produk Malaysia, serta memantapkan kedudukannya sebagai satu kuasa di pasaran antarabangsa melalui Karnival Barangan Malaysia 2023.
Karnival Barangan Malaysia 2023 yang akan berlangsung dari 13 hingga 17 Disember 2023 di IOI Grand Exhibition & Convention Centre and IOI City Mall, Putrajaya. Acara tahunan ini akan menjadi satu platform penting kepada peniaga untuk mempamerkan produk mereka, mengembangkan jalinan, dan berkolaborasi dengan rakan-rakan strategik yang berpotensi, dan seterusnya mengetengahkan produk mereka kepada rakyat Malaysia.
Karnival Barangan Malaysia 2023 ini akan melibatkan lebih 100 pempamer merangkumi pelbagai produk, dari seni tradisional hingga inovasi moden.
Pengunjung berpeluang untuk meneroka dan melihat kepelbagaian produk Malaysia, dan ini adalah peluang yang baik bagi pengguna untuk menemui produk- produk baru, disamping menyokong perniagaan produk tempatan, serta berbangga dengan warisan negara.
KBM 2023 yang bakal berlangsung selama lima hari bertujuan untuk mempamerkan dan meraikan kepelbagaian, kualiti, dan inovasi produk Malaysia.
Antara objektif utama yang ingin disampaikan oleh KPDN adalah produk tempatan Malaysia bukan sahaja mempunyai kualiti bertaraf dunia, tetapi juga mempunyai potensi besar untuk dipasarkan ke luar negara.
Melalui peningkatkan pengiktirafan dan penjenamaan di peringkat global, produk Malaysia dapat menjadi duta bagi budaya dan warisan negara.
Pelbagai inisiatif strategik telah dirancang oleh Kerajaan melalui KPDN untuk membantu perniagaan dan industri tempatan mencapai kejayaan baharu sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Orang ramai dijemput hadir beramai- ramai untuk memeriahkan KBM 2023 pada kali ini.