Rakyat Malaysia yang mahu atau sedang melaksanakan umrah di Arab Saudi, diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan negara berkenaan, terutamanya membabitkan pemakaian baju, mafla atau mengibarkan bendera Palestin.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata perkara berkenaan membabitkan undang-undang dan peraturan yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi.
“Di Malaysia pula, kerajaan berpandangan untuk tidak ada sebarang masalah untuk perkara berkenaan (solidariti palestin) dan itu merupakan pendekatan dan dasar yang diambil oleh kerajaan Malaysia
“Namun, tidak dapat dipastikan bagaimana pula pendirian kerajaan Arab Saudi terhadap perkara berkenaan”, Tambahnya lagi.
“Saya syorkan dan menasihatkan kepada rakyat Malaysia yang ingin melakukan ibadah umrah di Madinah dan Makkah untuk mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Arab Saudi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepas Konvoi Kembara Zakat 2023 di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, hari ini.
Jelas beliau lagi, Malaysia sudah pasti tidak campur tangan mengenai apa yang ditetapkan dan urusan oleh Arab Saudi.
Semestinya Malaysia akan menghormati dasar dan objektif yang telah ditetapkan negara berkenaan.