INA: GADIS HIV YANG KEMBALI BERSYAHADAH

Zainal Rashid AhmadCoretan ZRA6 months ago37 Views

Sepanjang kerjaya sebagai wartawan; Ina menjadi kenangan paling mengharukan.

Dia gadis kecil berusia 12 tahun; ketika terseret ke Belakang Mati, Chow Kit pada dekad 80an.

Diberikan kerja sebagai penjual ubat perangsang seks kepada lelaki hidung belang yang mahu melanggan pelacur.

Ketika usia semuda itu — pada era lorong ‘Belakang Mati’ dipenuhi keganasan nafsu serakah dan pengaruh dadah yang menggila — Ina diperkosa.

Pada usia 14 tahun — dia jatuh cinta; sayangnya — pada lelaki penagih dadah.

Lari dari kehidupan sebagai penjual ubat perangsang seks; Ina dilacurkan teman lelakinya demi wang bagi membeli dadah.

Ina yang naif; tak pernah tahu; dijadikan pelacur — bukanlah tanda dia memiliki cinta sejati.

JUMPA INA 2005

Ketika berhasrat menerbitkan kisah jalanan dalam dokumentari mengisahkan ‘noir’ (gelap) dunia pelacuran dan penagihan dadah — saya merayau ke Chow Kit.

Di situ saya bertemu Raja Azizan Suhaimi; bekas penagih dadah yang kembali ke Chow Kit selepas keluar penjara. Dia aktivis kanak-kanak jalanan.

Raja Azizan (kini Setiausaha Agung MASAC) dan Afida — memperkenalkan saya pada Ina.

Raja Azizan unik; bagi mengelakkan dirinya terjebak semula dengan dadah — dia menjalankan kerja amal menjaga anak-anak pelacur jalanan ketika ibu mereka ‘menjual tubuh’.

“Anak-anak ini berada di sekitar lorong gelap. Pada usia 10 tahun… mereka membantu mencari pelanggan untuk ibu sendiri….”

Hati terasa benar-benar tersentuh; dan fahamlah saya: Kenapa Raja Azizan menghabiskan masa di Chow Kit bermain dengan kanak-kanak berusia antara 7 hingga 12 tahun.

“Saya larang mereka merayau di jalanan dan mencari pelanggan seks untuk ibu sendiri,” katanya.

Anak-anak pelacur tidak bersekolah; ibu mereka penagih dadah yang menjual tubuh kerana ketagihan heroin.

Anak-anak menjadi broker; kerana ibu mereka menanti pelanggan di lorong gelap sekitar belakang bangunan di Jalan Medan Tuanku, KL.

“Bang,” kata saya pada Raja Azizan: “Saya nak buat dokumentari ancaman dadah dan pelacuran.”

Terus Raja Azizan menyebut nama Ina: “Dia pesakit AIDS yang kronik, pernah murtad dan kini disahkan hanya mampu hidup 6 bulan lagi.”

Saya terus setuju.

JUMPA INA

Pada 2005 — Ina berusia sekitar 30an.

Tubuhnya kurus; kehilangan kefasihan bertutur dan kesihatannya sangat merosot kerana pneumonia kesan HIV.

“Bang,” kata Ina pada saya: “Tolonglah… saya pernah murtad… bantulah saya kembali pada Allah. Saya nak mati sebagai orang Islam.”

Pada Oktober 2005 — kami terus memulakan penggambaran: ‘Ina: Balada Gadis HIV’.

Dokumentari ini disiarkan pada 1 Disember tahun yang sama — sempena Hari Aids Sedunia.

Alhamdulillah… dalam scene di sebuah surau di Kampung Baru; Ina bersyahadah.

Kru penggambaran ikut menangis dan terpegun; hingga Pengarah dokumentari — Syirfan Indra terlupa menyebut — “Cut!”

Surau jadi sunyi apabila Datuk Zainal Abidin Sakom mengesahkan — syahadah Ina sempurna.

MENGAPA INA MURTAD

Ketika disahkan Aids — Ina terpulau. Dia kehilangan sokongan; lalu, terpaksa hidup menumpang di gereja.

“Saya rasa terhutang budi sebab gereja tanggung kos ubat-ubatan. Sebagai tanda terima kasih, saya murtad.”

Begitulah cerita Ina. Dia naif; gadis tanpa pendidikan yang terbuang ke lorong gelap pada usia 12 tahun.

Ina tak pernah mengenal peluang hidup untuk menjadi lebih baik. Selepas dirogol dan dilacurkan — akhirnya, Ina terjebak dengan penagihan dadah.

Ina simbol mengapa saya sayangkan anak-anak jalanan di Chow Kit sampai sekarang.

Mereka mengambalikan bayangan kisah noir Ina — dan melindungi mereka adalah wajar.

Tanpa perhatian dan kasih-sayang; puluhan anak-anak dan gadis sunti yang berkeliaran di jalanan akan kembali menempuh dunia gelap seperti Ina.

STRIM JEJAK INA

Saya menjejak kisah hidup Ina; yang sudah kembali kerahmatullah pada 2009.

Ina bukan wirawati; dia simbol bagi kita untuk terus menyedari — kanak-kanak jalanan tanpa perhatian dan sokongan masyarakat akan menempuh dunia gelap kalau diabaikan ketika membesar di jalanan.

Dokumentari Ina boleh ditonton di YTube dengan judul: Balada Gadis HIV.

Ina sudah pergi; tetapi, dengan begitu ramai lagi anak-anak dan gadis sunti membesar di jalanan Chow Kit serta sekitar Belakang Mati — noir Ina, pasti akan berulang dan silih berganti.

Moga Allah melindungi anak-anak jalanan dengan rahmat dan kasih-sayangNya.

#zrastrim

link slot kampungbet monperatoto

0 Votes: 0 Upvotes, 0 Downvotes (0 Points)

Follow
Search
TERLEPAS KE?
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...