Berikutan tular baru-baru ini di pelbagai platform media sosial mengenai keburukan teknologi Identiti Digital Nasional (IDN) yang dibangunkan, kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil cap jari pengguna kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil sepertimana diuar-uarkan pencipta kandungan di pelbagai platform media sosial,
Beliau berkata sejak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman mengenai inisiatif itu, pihaknya mendapati banyak kandungan di media sosial yang tidak tepat, salah dan palsu disebarkan, menyatakan kononnya kerajaan akan berbuat demikian.
“Walaupun ini (IDN) di bawah MIMOS bukan bawah KKD, tapi saya ambil kesempatan untuk menjelaskan kita tidak berhasrat untuk ambil cap jari, Digital ID ini adalah single sign on, ini yang kita cuba sampaikan kepada rakyat. “Maklumat itu tentang cap jari dan sebagainya itu ada pada Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan tambahan Senator Manolan Mohamad.
Sebelum ini, KKD memberi jaminan pembangunan IDN tidak akan menjejaskan keselamatan data peribadi rakyat, malah menyatakan inisiatif diusahakan oleh MIMOS Berhad itu digunakan di beberapa negara seperti Estonia, Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), IDN merupakan satu bentuk pengenalan dan pengesahan diri secara digital yang merujuk sumber tunggal.
Ia memudahkan rakyat berurusan secara bersemuka atau secara maya dengan penyedia perkhidmatan digital daripada sektor awam dan swasta dengan pengesahan identiti yang selamat, terjamin dan menjimatkan masa.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan pada masa ini tidak berhasrat untuk mengadakan sekatan atau had jumlah jam penggunaan media sosial seperti TikTok dan Youtube bagi menyekat penyebaran berita palsu.
“Sebenarnya ibu bapa juga boleh menetapkan had untuk penggunaan mana-mana aplikasi, ini berdasarkan peranti seperti Iphone, Samsung dan sebagainya ada pilihan itu,” katanya.
Bagaimanapun, Fahmi berkata KKD sering bekerjasama dengan penyedia platform media sosial seperti TikTok untuk memastikan kandungan yang salah atau maklumat palsu dapat diturunkan. -BERNAMA