Apa Itu Hypospadias?
Hypospadias adalah salah satu kecacatan kelahiran yang paling kerap berlaku pada bayi lelaki. Dalam keadaan ini, pembukaan uretra — saluran yang membawa air kencing keluar dari badan — tidak berada di hujung zakar, tetapi di bahagian bawahnya. Masalah ini boleh mempengaruhi fungsi normal seperti kencing dan, di kemudian hari, fungsi seksual.
Menurut laporan, hypospadias mempengaruhi kira-kira 1 dalam 300 kelahiran bayi lelaki di Malaysia, menjadikannya salah satu kecacatan alat kelamin yang biasa di negara ini.
Punca dan Faktor Risiko
Walaupun punca utama hypospadias tidak dapat ditentukan sepenuhnya, beberapa faktor risiko yang dikenal pasti adalah:
- Sejarah keluarga: Risiko meningkat jika terdapat ahli keluarga dengan keadaan serupa.
- Umur ibu: Wanita yang hamil pada usia 35 tahun ke atas mempunyai risiko lebih tinggi.
- Obesiti: Ibu dengan berat badan berlebihan semasa mengandung lebih cenderung melahirkan bayi dengan hypospadias.
- Penggunaan teknologi reproduktif: Rawatan kesuburan seperti IVF turut menyumbang kepada peningkatan risiko.
- Pendedahan bahan kimia: Kontak dengan bahan seperti racun perosak dan hormon tertentu semasa kehamilan mungkin memberi kesan pada pembentukan alat kelamin bayi lelaki.
Gejala Hypospadias
Gejala utama termasuk:
- Pembukaan uretra yang berada di lokasi selain hujung zakar.
- Zakar yang melengkung ke bawah (chordee).
- Corak kencing yang tidak normal, seperti semburan yang sukar dikawal.
Keadaan ini boleh didiagnosis sebaik sahaja bayi dilahirkan, tetapi dalam beberapa kes ringan, ia mungkin tidak dikesan segera.
Kenapa Rawatan Awal Penting?
Tanpa rawatan, hypospadias boleh menyebabkan kesukaran membuang air kecil sambil berdiri. Di samping itu, penampilan zakar yang tidak normal dan mendatangkan masalah fungsi seksual atau ejakulasi ketika dewasa.
Oleh itu, rawatan utama bagi masalah kesihatan ini adalah melalui pembedahan. Kebiasanya ia dilakukan ketika bayi berusia 3 hingga 18 bulan.
Prosedur ini bertujuan untuk meletakkan pembukaan uretra di lokasi yang betul, membetulkan kelengkungan zakar, serta memperbaiki penampilan zakar untuk fungsi normal.
Bagaimana Ibu Bapa Boleh Membantu?
Jika anda mengesyaki anak lelaki anda mengalami hypospadias, segera rujuk kepada pakar pediatrik atau urologi pediatrik. Di Malaysia, pakar seperti Dr. Nada Sudhakaran di Pantai Hospital Kuala Lumpur dan Assunta Hospital Petaling Jaya terkenal dengan kepakaran dalam menangani kes ini.
Kesimpulannya, Hypospadias mungkin kelihatan remeh, tetapi ia boleh membawa komplikasi serius jika tidak dirawat. Ibu bapa perlu peka terhadap tanda-tanda awal dan mendapatkan nasihat perubatan segera. Dengan rawatan yang tepat pada waktunya, anak-anak dengan hypospadias boleh menjalani kehidupan yang normal dan sihat.