Kadang-kadang kita tak perasan, bungkusan barang nampak sama, tapi isi makin sikit! Inilah antara helah yang dikesan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menerusi Op Kesan 4.0 baru-baru ini.
Menurut Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin, ada syarikat yang mengecilkan kuantiti bungkusan sebanyak 10% tanpa ubah harga jualan.
“Contohnya sebelum ini dijual dalam pek 1,000 gram, sekarang 900 gram, dulu 500 gram, kini 400 gram tapi harga masih sama memang tiada kenaikan.” jelas beliau.
Perkara ini dikesan dalam pemeriksaan di sebuah pasar raya di Durian Tunggal, Alor Gajah.
KPDN menyeru pengguna supaya lebih teliti semasa membeli jangan segan untuk semak label & bandingkan berat. Kalau rasa teraniaya, pengguna boleh terus buat aduan melalui WhatsApp ke 019-8488000.
“Ini bertujuan untuk melindungi pengguna daripada penindasan harga dan memastikan perdagangan yang adil sebab itu pengguna kena cakna, telitilah barang dulu kerana sesetengahnya memang ada perbezaan.” tambahnya.
Melalui operasi ini, lima barangan keperluan utama diberi fokus: roti putih, tepung gandum, susu pekat, sardin dan minuman malt coklat iaitu barangan yang paling biasa ada di rumah kita semua.
Semoga langkah proaktif ini dapat lindungi pengguna dari sebarang bentuk ketidaktelusan. Sama-sama kita jadi pengguna yang bijak!
Sumber: MalaysiaGazette