Filem Imam yang diadaptasi dari novel yang cukup hebat hasil karya Sasterawan Negara, Allayarham Datuk Abdullah Hussain kini boleh ditonton di Nurflix.
Filem ini diarahkan oleh Mior Hashim Manap dan diterbitkan oleh syarikat produksi Al-Kahfi. Mior menjelaskan, dia tertarik untuk menghasilkan filem ini kerana tertarik dengan karya Allayarham Datuk Abdullah Hussain.
“Sewaktu saya membaca novel ini sekitar tahun 2013, saya tertarik dengan pemikiran yang dibawa oleh Abdullah sehingga ia menjentik hati saya untuk menghasilkan filem ‘Imam’.
“Ia berlatarkan tahun 1983 dan antara intipati menarik dalam novel ini apabila menggambarkan orang Melayu ketika itu cenderung kafir-mengkafir, selain peranan masjid yang hanya digunakan untuk solat, sedangkan banyak fungsinya yang lain,” katanya.
Filem ‘Imam’ mengisahkan perjuangan seorang imam, Haji Mihad (Datuk M.Nasir), yang berhasrat membawa pembaharuan ke kampungnya. Namun, usahanya dihalang oleh sebahagian penduduk kampung, termasuk saudara-maranya dan mendapat tentangan daripada pihak Majlis Agama disebabkan dakwaan membawa ajaran baru yang dianggap asing.
Pelakon-pelakon hebat seperti Datuk M.Nasir, Faizal Hussein, Vanida Imran, Natasha Charmain, dan lain-lain turut memeriahkan filem ini. Penggambaran dilakukan pada Januari 2022 di lokasi-lokasi menarik seperti Lenggong, Malim Nawar (Perak) dan Kuala Tahan, Jerantut (Pahang).
Mior menegaskan bahawa meskipun filem adaptasi dari novel yang mempunyai 705 halaman, namun filem ‘Imam’ tetap tidak mengubah karya asal.
“Untuk filem ini, saya lebih banyak menumpukan kepada konflik yang berlaku antara watak Haji Mihad (M. Nasir) dan Haji Syamsuri (Faizal Hussein).
“Bagi saya, Imam adalah sebuah novel yang hebat, termasuklah Abdullah sendiri selaku pengarangnya,” jelasnya.
Mior juga berkongsi cabaran yang dihadapi ketika menghasilkan filem adaptasi ini iaitu berlaku empat kali rombakan skrip bermula tahun 2013 (draf pertama), 2016 (draf kedua dan ketiga) serta 2021 (draf keempat).
“Semasa skrip ini siap pada peringkat awal sekitar tahun 2013, saya sukar mencari penerbit yang berminat dan setelah itu saya mendiamkan diri sekitar 2016.
“Kemudian saya perkemaskan skrip Imam, tetapi masih sukar mendapatkan penerbit yang berminat. Akhirnya tiga tahun lepas saya ambil keputusan untuk menjadi penerbit dan bersyukur kerana usaha saya ini disokong oleh FINAS,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mior berharap agar filem ‘Imam’ mendapat sambutan baik masyarakat, apatah lagi novel ‘Imam’ itu sendiri pernah dinobatkan sebagai pemenang pertama Hadiah Novel Nasional Utusan Melayu Public Bank Utusan Publication And Distributors 1992/1994.
Filem ‘Imam’ sudah mula ditayangkan di platform NURFLIX bermula 1 Disember.