EDISI SIASAT NTV7: ‘BIG TOUGH TIME — BEHIND THE SCENES’

Team KepochiCoretan ZRA9 months ago2K Views

Wan Kamaruddin hos Edisi Siasat juga jadi mangsa; samseng tunggu depan ofis atau sengaja telefon mengugutnya.

Rasanya lebih empat kali — Datuk Seri Shazalli Ramly (Shazalli) menerima desakan supaya saya dipecat.

Dia CEO ketika program Edisi Siasat bersiaran di NTV7 pada 2000 hingga 2005.

Tekanannya sama — dari sekian jumlah ahli politik yang berpengaruh.

Mereka marah kerana terasa — imej politik terjejas apabila Edisi Siasat mendedahkan pelbagai kes membabitkan: Adanya unsur rasuah atau ketirisan kuasa.

Selalunya, skandal babitkan — penerokaan tanah haram, curi pasir, kilang pencemar tanpa lesen, atau penipuan hak milik tanah.

Tiap kali selepas siaran Edisi Siasat pada Sabtu atau Ahad (kalau babit isu orang politik); saya sudah boleh bayangkan — reaksi Shazalli pada Isnin atau Selasa.

Bagusnya, Shazalli tidak pernah ganggu saya dengan mesej pada hujung minggu.

Dia biarkan saya terus tumpu bekerja pada hujung minggu. Rakaman siaran Edisi Siasat dibuat waktu pagi — bagi siaran Sabtu dan Ahad.

Shazalli tahu; tak guna menekan saya — sedangkan itu waktu bekerja.

Dia serap semua tekanan. Selalunya, panggilan politik datang dari ‘orang suruhan’; yang isinya ‘lebih sudu dari kuah’.

Datuk Seri Shazalli — 20 tahun tak jumpa; tapi, didikannya sangat berharga.

APA BERLAKU PADA ISNIN ATAU SELASA?

Saya dipanggil masuk ke pejabat CEO.

Shazalli biasanya pura-pura diam; hanya tunduk dan fokus melihat dokumen atau memo di atas meja kerja.

Itu bukan tanda dia sombong atau sibuk; tetapi, gambaran — betapa terbebannya untuk memulakan kata-kata.

Saya hanya berdiri tegak di depan meja; takkan duduk selagi tidak dipelawa.

Sejak 2000 hingga 2005; beginilah keadaannya.

Kami berdua lebih tahu — betapa sunyinya suasana; kalau berdepan tekanan politik dan ugutan penarikan iklan.

Akhirnya Shazalli bersuara; ringkas dan mudah: “Tak perlu dulu kacau negeri (bla bla bla). Cari bahan tempat lain dan relaks sekejap buat masa ini.”

Saya faham; kerana keadaan begini sering terjadi.

Kalau tekanan menjadi tinggi di negeri A… saya kena alih liputan berita di kawasan lain.

Tetapi, begitulah pergiliran ‘siasatan’; dan begitu jugalah — pengulangan kitaran tekanan.

Pergi mana kawasan pun; ada risikonya.

Saya tahu beban seorang CEO apabila berdepan ugutan kehilangan sokongan iklan.

Waktu itu, NTV7 sedang mengalami ketenatan aliran kewangan. Maka, perolehan iklan sangat penting bagi biaya kelangsungan operasi.

Pada masa sama, Shazalli tahu: “Reputasi menjaga kebebasan wartawan serta sokongan penonton Edisi Siasat — juga satu keutamaan!”

Apa pun tekanan; kita hanya ada satu pilihan; kita yang pilih pekerjaan ini. Maka, kita hadapilah dugaannya.

TAK BANYAK PERBALAHAN

Hanya dengan ayat seringkas: “Jangan kacau dulu…” — saya pun keluar tinggalkan pejabat Shazalli.

Tak ada bunyi yang menemani derap kasut ketika menuruni anak tangga; selain, perasaan kasihan kepada seorang CEO.

Walaupun tegas; tetapi, Shazalli berkali-kali mempertahankan kedudukan saya sebagai wartawan dan Penerbit Kanan.

Ada sekali — Shazalli berkata; dalam nada gurauan. Tapi, isinya saya faham sebagai serius.

“Kalau mereka (politikus) desak juga, aku selalu jawab: OK… aku akan ambil tindakan buang kau.”

Begitulah Shazalli… dan begitulah tekanan selama lima tahun berdepan gangguan.

Pada masa sama, saya pun tahu: ‘Tunduk pada ugutan politik juga bukan stail Shazalli’.

MESYUARAT SAMBIL TURUN TANGGA

Shazalli juga ajar saya; mesyuarat terbaik tak mestinya di bilik besar.

Selalunya, kalau ada potensi bagi kandungan berbayar dalam Edisi Siasat. — Shazalli panggil saya ke pejabatnya.

Waktu kerjanya selalu sendat; ketika saya sampai di pejabatnya — dia sudah siap untuk keluar.

Jadi, kami berbincang sambil turun tangga.

“Ada Telco sanggup beli iklan RM100 ribu, kalau Edisi Siasat boleh promosikan kelebihan servis di kawasan pedalaman,” katanya.

Saya diam dan fokus mendengar kata seterusnya: “Itu kelebihan Edisi Siasat — sebab tontonan tinggi di luar bandar.”

Saya terus mendengar; sambil berjalan menuruni tangga dari Tingkat Tiga NTV7 Glenmarie, Shah Alam.

Sampai di pintu kereta; Shazalli ringkaskan cerita: “Kau siapkan idea… apa kandungan yang sesuai untuk kempen ini.”

Saya buntu; bukan keahlian saya dalam promosi kandungan berbayar.

Seharian berfikir; masih tak ada idea penyelesaian. Di rumah pun — fikiran masih buntu.

Sekitar 11 Malam — Shazalli mesej saya: “Zainal… kau tunggu dekat pagar rumah aku… lagi 30 minit kita jumpa.”

Jarak rumah saya di Seksyen 24, Shah Alam ke USJ 17, tidaklah jauh. Saya terus berkereta dan tiba di depan rumahnya.

Sebab sudah lewat malam; kami diskus di tepi pintu pagar saja. Antara 10 ke 15 minit — selesailah cerita.

“Telco nampak macam setuju; fokus kita ialah kem-kem PLKN di pedalaman. Jadi, ini peluang untuk penuhi sasaran klien. Ada potensi ibu bapa beli kad SIM untuk anak-anak yang sertai PLKN.”

‘STRATEGI SOFT SELL’

Taktiknya mudah; wartawan hanya perlu meneruskan laporan siasatan tulen di pedalaman. Cuma, ada tambahan kerja; scene telefon bercerita keadaan siasatan.

Saya hanya perlu bertanya: “Line kau clear pula… kau jauh di bla bla bla…?”

Wartawan hanya perlu menjawab: “Ohh… line sini OK… aku pakai servis bla bla bla….”

Maka, bermula kempen ‘soft sell’ — dengan episod tertumpu pada laporan di pedalaman.

Kami buat tugasan siasatan di Baling, Kuala Selangor, Jeli, Bahau dan Pontian.

Laporannya tetap kes pembongkaran salah laku atau pengabaian pihak berkuasa.

Cuma, disertakan promosi talian dengan babak wartawan mengunakan khidmat Telco yang menjadi sasaran iklan.

Agak kelakar; dalam sibuk melaporkan kes pembongkaran, akan terselit: “Aku pakai servis bla… bla… bla.”

‘Soft sell’ berjaya; akhirnya Telco bersetuju setelah melihat, kami lebih awal mempromosi sebelum iklan dibeli.

Ini ilmu pemasaran saya belajar dari Shazalli.

Ada bisnes yang tak payah sediakan proposal tebal. Terus buktikan, kita sudah mulakan; penaja akan sertai tanpa bertanya: “Apa ideanya”.

MESYUARAT TURUN TANGGA & DEPAN PAGAR BERTERUSAN

Saya belajar 5R dari Shazalli.

Asasnya rigid — tapi strategik. Tiap perniagaan perlukan trafik tumpuan (Rating).

Usahakan kandungan yang menarik untuk Rating tinggi. Kemudian manfaatkan untuk potensi Revenue (pendapatan).

Tapi, pendapatan mesti menguntungkan (Recovery).

Kejar 3R ini — tapi, jangan taksub pada sifat komersil.

Bisnes mesti diimbangi dengan menjaga reputasi (Reputation) kandungan — ada kredibiliti supaya kekal dipercayai.

Peganglah bersama — kepentingan tanggungjawab (Reponsible). Kandungan mesti ada nilai mempertahankan kewibawaan laporan.

Seawal 2002, tiap kali ada kesempatan — Shazalli akan syarahkan 5R.

Waktu itu saya bukan ‘orang sale atau marketing’.

Jadi, dia ajarkan supaya saya faham; pentingnya imbangan wibawa kandungan — dan keperluan menjana pendapatan perniagaan.

Kenapa dia mahu saya faham 5R?

Jawabnya mudah — supaya kami tidak berbalah.

Stabilkan perbezaan, antara tanggungjawabnya sebagai CEO dalam mencari dana, serta aspirasi pasukan kerja saya yang bersemangat wartawan.

Semua harus setara; kerana NTV7 syarikat penyiaran sara diri!

BERGADUH TERUK PUN ADA

CEO macam Shazalli… manusia biasa. Pasti ada hari letihnya.

Apa lagi, kalau kita asyik buat karenah — selalu ulangi kesalahan yang sama.

Shazalli tahu Edisi Siasat hasilkan duit dalam ‘break’ iklan. Tapi, saya juga harus sedar — kesan-kesan serangan politik yang berterusan.

Pembongkaran keterlaluan akan melenyapkan sokongan iklan dari segmen yang dikawal ‘kuasa politik’.

Itu ‘basic’!

Satu hari; Shazalli minta perlahankan serangan isu judi mesin kuda; penyelewengan guna tanah TOL dan skandal penyeludupan besi dari pantai ke muara sungai.

Kebetulan — serangan Edisi Siasat berterusan babitkan sebuah negeri.

Bertambah dilema; sumber iklan dari negeri dan agensi — dikawal kuasa politik yang sama.

Tapi, saya degil — saya buat juga.

Dia hilang sabar, apabila hampir kehilangan RM2 juta nilai iklan.

Dalam satu mesyuarat ketua-ketua jabatan; dia tegur dengan nada keras — sikap degil saya.

Saya menjawab dengan nada keras juga; itu buat CEO berasa — saya melampaui batas profesionalisme.

Dua singa pun bertembung. Cuma, saya lupa — Shazalli CEO, dan saya hanya Penerbit Kanan.

Saya terlepas suara jeritan: “Kalau Datuk tak puas hati… pecat saya sekarang. Bla bla bla….”

Saya pun keluar tinggalkan bilik mesyuarat; kemas barang dalam kotak dan yakin: Itu hari terakhir bekerja.

Selepas Subuh esoknya, ada mesej setiausaha Shazalli: “Datuk nak jumpa.”

Sebagai menghormatinya — saya terus telefon; kami janji minum bersama. Bersarapan sambil bual basa-basi; relaks dan ketawa.

Maka, selesai cerita. Tapi, naik turun perbalahan sentiasa ada.

BUANG YANG KERUH

Saya terus bekerja selama enam tahun dengan Shazalli di NTV7.

Mesyuarat untuk iklan kandungan berbayar — masih kekal dalam suasana turun tangga pejabat. Atau, kami bertemu lewat malam di depan rumahnya.

Itu era awal 2000an; ketika kesan lanjutan kegawatan 1998 masih terasa. Pendapatan iklan sangat menyeksa — kewangan syarikat sentiasa tenat.

Apa saja sumber pendapatan memang berharga; demi membayar gaji semua yang bekerja.

Terima kasih Shazalli; anda CEO yang baik.

Mana ada CEO — pada waktu pejabat, akan berkata: “Kau nampak letih, Nal… pergilah memancing dan rehatlah sekejap.”

Sekali-sekala, saya mesej Shazalli waktu kerja: “Datuk… saya kat kolam USJ, apa-apa mesej ya….”

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...