Sewaktu menjalani kuarantin Covid 19, Mimpi bertemu Ustaz Ebit Lew merupakan memori indah bagi Azhary. Dia yang sangat runsing selama menjalani kuarantin mendedahkan kisah mimpinya itu sehingga dapat menghasilkan sebuah lagu khas buat Ustaz Ebit Lew menerusi hantaran di akaun Facebooknya.
Ketika menjalani kuarantin, pelbagai persoalan bermain difikirannya, penuh dengan ketakutan dan debaran. Dia merasakan bahawa dia belum bersedia untuk menghadapi musibah apatah lagi menuju alam kematian. Menunggu keputusan ujian calitan baginya adalah satu penyeksaan.
“Hari demi hari menunggu keputusan itu. Bagaimana pula perasaan insan yang betul-betul dijangkiti. Ini baru suspek je.. Semua orang takut mati tapi yang menakutkan lagi adalah ahli keluarga kita yang terdekat. Kasihan mereka.” Luah Azhary menerusi coretannya di Facebook.
Dalam tempoh kuarantin, dia yang penuh keresahan dari saat gelang pink ditangan, dua kali Ustaz Ebit hadir dalam mimpinya. Ustaz Ebit sememangnya menjadi inspirasi bukan sahaja untuknya malah menjadi contoh buat semua dengan bantuan dan kebaikan yang telah dilaksanakannya.
Mimpi Azhary luarbiasa, dia diperlihatkan dengan kelibat Ustaz Ebit yang sedang menghulurkan bantuan pada yang memerlukan tidak kira bangsa dan agama. Terjentik hati sanubari Azhary dengan kehebatan Ustaz Ebit berdakwah. Tak semena-mena dalam tempoh itu, dia didatangi Ustaz Ebit dan menegurnya.
“Waa hebat abang kita ni, pakai gelang pink” Tegur Ustaz Ebit padanya.
Hairan dengan mimpinya itu, namun dia sangat gembira walau dia merasakan seolah disakat oleh Ustaz Ebit. Baginya mimpinya itu agak mencuit hatinya. Apabila tersedar dari tidur, Azhary terus dapat melodi untuk menghasilkan lagu buat Ustaz Ebit.
Untuk mempercepatkan proses, dia terus hubungi sahabatnya Syahril A. Kadir untuk menghasilkan lirik. Lirik ciptaan Syahril itu disiapkan tidak sampai 10 minit.
Maka terhasillah sebuah lagu karya Azhary dituju khas buat Ustaz Ebit Lew. Baginya lagu yang berjudul “Ya Rabb” itu sangat istimewa buat Ustaz Ebit Lew yang dianggap olehnya “Lelaki Kiriman Tuhan”.
“Teruskan berbakti demi syurga idaman, lagu “Ya Rabb” ini khas untukmu Ustaz” Azhary mengakhiri coretannya.
Sumber : Facebook Azhary