Dalam beberapa minggu ini, suasana politik Melaka bergolak. Isu panas membabitkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, dan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mencuri perhatian ramai. Namun lebih hangat tiba-tiba apabila Datuk Hasan Rahman, bekas ADUN Sungai Rambai, tampil bersuara dalam podcast “Apa Khabar Bos?” yang dihoskan oleh Amran Mulup.
Beliau menyuarakan rasa kecewa terhadap tindakan mempertikai Ketua Menteri yang dianggapnya bukan saja melawan individu, malah mencabar struktur perlembagaan negeri.
Bila Cabar Ketua Menteri, Kita Cabar Undang-undang Negeri
“Bila kita cabar Ketua Menteri, maknanya kita cabar Perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri,” Jelas Datuk Hasan Rahman.
Menurut beliau, tindakan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad atau lebih dikenali dengan nama Ali Pasir menimbulkan pelbagai polemik politik tidak sihat dalam UMNO Melaka. Ia bukan hanya menggugat kestabilan politik, malah memberi kesan terhadap persepsi rakyat terhadap institusi negeri.
Serangan Peribadi Tidak Matang
Dalam episod podcast tersebut, Datuk Hasan menegur perbuatan menyerang peribadi, termasuk mempertikaikan amalan ibadah seseorang secara terbuka. Katanya, adab dan akhlak dalam berpolitik harus dijaga.
“Solat atau tidak, itu antara dia dengan Allah. Bukan tempat kita untuk menilai secara terbuka.”
Beliau menyeru semua pihak untuk melawan secara idea, bukan menyerang keperibadian atau sejarah seseorang.
Hormat Pemimpin Tak Bererti Taksub, Tapi Kena Ada Adab
Dalam perbezaan politik sekalipun, menurut Datuk Hasan, ada sempadan yang tidak wajar dilanggar. Ketua Menteri yang dipilih secara sah seharusnya dihormati.
Katanya ini penting untuk mengelakkan kekeliruan rakyat, menjaga maruah institusi negeri dan parti dan untuk mengelak politik toksik dan serangan peribadi.
“Kalau nak lawan, lawan dasar. Bukan tikam dari belakang.” Tegasnya
Isu Lama, Luka Baharu
Datuk Hasan turut menyentuh tentang jasa Datuk Seri Rauf dalam memberi peluang kepada ramai pemimpin UMNO Melaka, termasuk Datuk Seri Mohamad Ali satu ketika dahulu. Maka, pertelingkahan kini dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap kepercayaan dan persahabatan yang terbina selama ini.
Podcast “Apa Khabar Bos?”
Episod penuh podcast “Apa Khabar Bos?” bersama Datuk Hasan Rahman kini boleh ditonton di Youtube dan Facebook saluran Ape Kabau Bos?. Ia bukan sahaja membuka mata tentang realiti politik Melaka, tetapi juga mengajar kita nilai adab, kepimpinan dan kesetiaan dalam perjuangan politik.
Kritik membina itu perlu dalam politik, tetapi harus dibuat dengan beradab dan berfakta. Hormat kepada pemimpin bukan soal setuju sepenuhnya, tapi soal menjaga maruah dan integriti sistem pemerintahan.