“Saya takkan lupa kejadian berjalan kaki balik ke Batu 14 Gombak pada tahun 2005,” kata Syed Amran.
“Sudahlah letih menapak balik rumah lepas kena tangkap polis dan diseret ke balai, pukul 3.00 pagi disergah pula hilaian pontianak. Punya letih dan sakit hati, saya menjerit maki hantu sampai makhluk tu senyap dan hilang.”
Itu antara pengalaman magis yang lucu dialami Syed Amran Al Yahya. Dia tersenyum menceritakan kisah 14 tahun lalu. Hari yang sangat menyedihkan. Dia keluar dari rumah sewanya di Batu 18 Gombak, dengan hanya berbekal RM2 buat tambang bas ke Kuala Lumpur.
Sampai di Hentian Bas Kelang, setelah berjalan mencelah laluan di Bukit Bintang menuju ke restoran makanan Cina bersebelahan pawagan Rex, dia tidak sangka ada operasi besar-besaran. Belum selesai dua lagu dan sesen pun belum sempat mendapat kutipan, polis serbu dan dia ditahan.
Hidup tidak mudah ketika mula menyanyi di jalanan sejak 2003. Penyanyi jalanan dianggap pengemis dan kutu rayau.
“Penat bro masa tu…,” kata Syed Amran :”Aku nak kumpul RM2 ribu beli motorsikal cabuk, pun tak mampu. Punyalah perit hidup. Nyanyi tepi restoran layan pelancong mabuk, dapatlah RM100 sehari. Aku nyanyi mula 10.00 malam sampai 3.00 pagi.”
Setiap kali habis menyanyi, dengan pendapatan yang ada, dia tidak mampu balik ke Batu 18 Gombak menaiki teksi. Kosnya RM40. Jadi, sementara menanti hari cerah, dia tidur di tepi jalan.
“Tidur pun kena jaga-jaga,” kata Syed Amran: “Hilang gitar kalau dicuri orang, habislah. Mana nak cekau RM300 nak beli baru.”
Anak Kuantan, Pahang ini masih ingat, satu malam, ketika sedang menyanyi, operasi pembersihan kutu rayau, pengemis dan penagih dadah, menyebabkan dia ditangkap. Hampir 200 orang ditahan dan diseret ke balai polis dan ditahan hingga awal pagi.
“Menitis airmata masa itu,” ceritanya: “Isteri dan anak-anak di rumah menunggu nasi dan susu. Bapa pula kena gari kabel tie dan duduk bertinggung depan balai.”
Syed Amran melalui perjalanan dunia muzik yang panjang di ibu kota. Merantau dengan gitar buruk dan mencuba nasib untuk bertapak dalam industri muzik. Lagu-lagu awalnya mendapat tempat di kalangan penyanyi pop rock.
Syed Amran mencipta nama pada 1990, apabila lagu Biasan nyanyi Tokki meletup di pasaran. Selain komposer, dia bekerja sebagai kru persembahan pentas band Iklim. Malah, menjadi pembantu khas (rookie) kepada penyanyi utama Saleem.
“15 tahun dalam industri muzik,” kata Syed Amran: “Akhirnya, aku pilih basking. Nyanyi di Sogo, Medan Selera Stadium Raja Muda dan warung mamak di Jalan Bonus.”
Dua anak Syed Amran OKU. Anak sulung berusia 16 tahun mengidap caribal palsy. Anak kedua berusia 14 tahun mengidap autism.
“Sekarang, aku dah pindah ke Sentul. Bolehlah beli kereta kecil dan mudah keluar basking bawa gitar dan set sistem bunyi. Nyanyi pun hanya di warung mamak Jalan Bonus. Adalah gaji hari RM100. Malam balik naik kereta dan tak adalah lagi dikejar pontianak,” katanya lucu.
Cuma, yang selesa sekarang, imej dan hak baskers bukan lagi dianggap mengemis. Mereka kini bebas menyanyi dengan permit khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kami boleh menyanyi di Dataran Sogo, sepanjang pedestrian Jalan Tunku Abdul Rahman, sekitar Bukit Bintang dan stesen-stesen LRT. Jadi, permit DBKL jadikan kami artis berlesen. Mudah nak basking cari rezeki,” kata Syed Amran.
Menurutnya, zaman dihalau macam pengemis dan peralatan dirampas dan disita sudah berlalu. Sejak 2014, penyanyi jalanan tidak lagi dikejar polis dan digari serta dikurung dalam trak black maria. Penyanyi jalanan kini lebih dihormati.
“Masyarakat pun sudah faham. Baskers ialah anak seni yang mencari rezeki. Kita menyanyi di jalanan dan hiburkan orang. Ada duit boleh beri, tak ada tak apa. Anda lepak minum teh dan saya menyanyi.” kata Syed Amran.
Sekali pun dunianya kini di jalanan, Syed Amran masih aktif merakamkan album. Lagu Selamat Malam Rohingya digubah khas tanda simpati pada mangsa tragedi Rakhine di Myanmar.
Manakala lagu Rindu Salma dijadikan lagu kempen Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk projek menyediakan bekalan air bersih kepada dua juta mangsa perang dan kebuluran di Mogadishu, Somalia.
“Mana yang kita protes, kita suarakan. Itu karya seni dan hak kita untuk berjuang,” katanya.
Malah, lagu Selamat Malam Rohingya dan Isandra Palestina akan dirakam dalam versi bahasa Inggeris oleh radio WNYR di New York, Amerika Syarikat dalam masa terdekat. Urusan kontrak sudah dilakukan secara online.
“Saya benarkan. Royalti ala kadar pun OK. Asal suara membela Rohingya dan Palestin didengar dunia,” katanya.
Syed Amran kini menyanyi tujuh hari seminggu di warung mamak di bawah bangunan Selangor Mansion, Jalan Bonus, Masjid India. Suaranya boleh didengar mulai jam 10.00 malam hingga 3.00 pagi.