BOTOL KOSONG F&N PIALA BUAT SANG JUARA

Team KepochiCoretan ZRA9 months ago2K Views

Berbual dengan Long Ah. Dia masih sihat pada usia 70an. Meneruskan legasi aruah suaminya sebagai peniaga songkok. Banyak yang dikisahkan; saya mendengar dan mendengar.

Satu perkara yang saya takkan lupa ialah jadi ‘komisioner’ sukan.

Di Kampung Pumpong, yang ada hanya 4 rumah. Anak kepada tuan rumah masa itu hanya Ina, Azhar dan Liza. Mereka masih kecil.

Saya berusia sekitar 10 dan 11 tahun (1977/78); bersekolah di Iskandar dan dalam Darjah 4 atau 5.

Adik lelaki saya Rudy masih kecil… hanya adik perempuan Zurida saja berusia sekitar 6 tahun.

Kawan rapat kami — anak Pak Hassan dan Mak Yam; Pah, Syam dan Ma berusia antara 7 hingga 12 tahun.

Anak jiran satu lagi; Pak Yatim dan Mak Nah — Zarina dan Zura, berusia sekitar 5 dan 6 tahun.

Dua beradik perempuan ini — masih terlalu kecil untuk diajak bermain; dan selalu berada di dalam rumah.

Walaupun saya kerap juga duduk di tangga rumah dan berbual dengan Mak Nah — tapi, Zarina dan Zura jarang turun bermain.

Jadi, kalau terasa bosan — saya anjurkan acara sukan. Lari keliling kampung dengan peserta hanya 4 orang.

Pah, Sham, Ma dan Zurida adik saya.

Saya budak lelaki; jadi tak boleh berumba lari dengan budak perempuan. Tugas saya tentulah sebagai ‘komisioner’ sukan.

APA TUGAS KOMISIONER SUKAN?

Paling penting sediakan piala dan medal.

Saya pergi ke kedai Baba (sekarang tapak kedai sudah menjadi bangunan Kedah Medical Centre). Di situ, saya akan cari botol buruk dan tudungnya.

Dapatlah sebiji botol F&N; dan 5 atau 6 tudung minuman.

Balik rumah; kerja pertama — kena basuh botol. Piala mesti kelihatan bersih . Tak susah sangat — sebab basuh botol di atas pelantar di tepi sungai — belakang rumah Mak Yam.

Apa yang susah ialah menyediakan medal.

Saya kena ketuk tudung botol minuman sampai leper; kemudian tebuk lubang dan masukkan tali rapiah.

Ikat talinya jadi bulat sampai terbentuk rantai. Mudahnya, mesti siap dengan keadaan boleh dikalung. Tudung botol minuman yang sudah leper bertali rapiah — itulah medalnya.

Juara akan terima botol F&N sebagai piala.

“Pah dah besar,” kata Norma, adiknya.

Sham adik Pah juga bersetuju. Adik saya, Zurida pun menolak kalau kena berlari dengan Pah.

Dia umur 12 tahun; tegap dan memang berkederat.

Sebagai ‘komisioner’, saya buat keputusan.

“Takpa…,” kata saya: “Hangpa bertiga lari dulu… Pah lewat sikit”.

Sham, Norma dan Zurida adik saya masih diam; Pah dah angguk setuju.

“Hangpa nak lari tak?” Tanya saya serius: “Piala dah ada ni.”

Akhirnya mereka berempat setuju. Zurida, Norma dan Sham lari dulu. Sudah suku pusingan baru saya lepaskan Pah.

Sekelip mata; Pah yang sasa dan berusia 12 tahun — terus memecut. Dia pintas dengan mudah dan sampai di garisan penamat — di bawah pokok pelam di tepi rumah saya.

Tugas ‘komisioner’ juga menyampaikan hadiah. Pah selaku juara menerima piala botol F&N dan kalungan medal.

Zurida, Norma dan Sham hanya terima kalungan medal tudung minuman.

Begitulah sukan di kampung kami.

PENAT BERLARI KAMI MINUM AIR PAIP

Rumah saya tak ada paip air. Ibu hanya ada satu tempayan air yang getahnya dipasang dari bilik air luar rumah Mak Long Ah.

Dia pemilik rumah sewa. Jadi, kami pun terus ke bilik air luar rumah Long Ah dan minum air paip.

Gelegak-geleguk bunyi air melepasi tekak.

Lepas acara sukan kami kembali kebosanan. Selalunya, kami akan ke pelantar kecil belakang rumah Mak Yam dan duduk melihat sungai.

Jarang ada makanan meski pun perut lapar pada waktu petang. Kami hanya duduk menung-menung di pelantar sambil menikmati arus sungai dan bayangan balam kampung Seberang Pumpong.

Kami hanya duduk diam; sebab letih dan lapar — hanya menikmati pemandangan dengan melihat rumah-rumah di seberang sungai.

IKAN DI MULUT ULAR

Ada sekali, kami nampak seekor ikan di tepi rumpun batang nipah yang ditenggelami air.

“Ambillah… boleh makan nanti,” kata Pah.

Saya capai ranting kayu; cuba menguis ikan di celah batang nipah supaya merapat ke pelantar sungai.

Ikan menggelupur; kami terperanjat dan baru perasan. Ikan yang timbul itu berada di mulut seekor ular.

Saya tak pasti ular apa; kami lari sebab takut.

Dulu ada pelantar di sini. Kami duduk merenung sungai dibawah teduhan pokok gorah.

NELAYAN PENJUAL IKAN

Di atas pelantar yang sama juga, pada satu hari yang lain; kami nampak orang sedang mengayuh sampan. Seorang lelaki dewasa sedang sendirian menebar jala dan mengutip ikan-ikan kecil yang sangkut di jaringnya.

Sungai Pumpung pada tahun 70an masih ada ikan keli, puyu, lampan dan sepat benua.

Melihat kami termenung di pelantar kecil tepi sungai; nelayan itu seorang lelaki sebaya bapa saya (awal 40an) mengayuh sampannya mendekati pelantar.

“Nak ikan ka?” Tanyanya.

Kami bangun dan menjerit: “Nak la… pakcik nak bagi ka?”

Saya sentiasa mengerah ingatan tiap kali datang memori ini; tapi, wajah nelayan itu hanya terlintas dengan gambaran yang samar.

Tubuhnya gempal, memakai baju lusuh — bertopi mengkuang lebar yang berbayang; menutupi raut wajahnya.

Tapi — yang saya kenang ialah budi baiknya. Dia berikan kami beberapa ekor ikan.

Sebenarnya dia penjual ikan; ikan yang dijala dibawa ke pasar. Sebab itu saya hargai momen ini — kerana kemuliaan hatinya memberikan kami ikan secara percuma.

Kami bawa balik; emak siang ikan dan goreng.

KITA INI HIDUP BANYAK DIBUDI ORANG

Pernah sekali — ketika aruah ibu saya masih hidup; saya ceritakan hal ini sebagai satu kenangan.

Disebabkan terlalu banyak momen sukar dalam hidupnya; ibu tak dapat ingat. Dia hanya mendengarkan.

Seusai cerita — kata-kata ibu saya sangat mendalam maknanya.

“Manalah aku nak ingat, selama hayat aku bela hang dengan adik beradik yang lain… masa hangpa kecil dan susah dulu… segala macam orang tolong kita.”

Saya terdiam: “Betullah mak… kita susah waktu tu… mana ada kemampuan nak tolong orang….”

Jawapan saya jadi bola tanggung; ibu saya menyindir tajam: “Itulah hang jangan sombong… kita ni hidup banyak makan jasa orang.”

Perbualan ini berlaku sekitar tahun 2015 ke 2017 — ketika ibu saya masih sihat dan belum terkesan dengan kemerosotan kesihatan kerana kanser darahnya.

(Catatan: saya tak pernah jumpa Pah, Syam dan Norma. Ada sekali saya kerap menziarahi Mak Yam sekitar awal 2000an, waktu itu — mereka bertiga sudah berkahwin.

Pada 2 Februari 2025, ketika melawat semula Kampung Pumpong, Mak Long maklumkan:

“Sham kawin dan ikut laki dia ke Pahang. Norma ikut laki dia ke Penang. Pah dah meninggal sekitar tahun 2020 kerana sakit jantung.”)

Saya minta izin Mak Long Ah untuk jalan-jalan dalam kampung; menyedut udara tempat saya pernah membesar; sambil melepaskan beban rindu pada semua nama-nama yang mengisi masa kecil.

Saya pergi ke belakang melihat semula sungai; hendak menangis terasa malu kerana kawan-kawan yang mengikuti saya ada 4 orang.

Tetapi, jauh dalam hati saya sudah menangis; terutama teringatkan Pah. Dia bukan kenalan masa kecil; dia kakak saya walaupun hanya setahun lebih tua.

Mana mungkin kawan; kalau ada sebutir jambu, dia belah dua — separuh untuk saya.

Kalau ada setandan nipah; kami makan sama-sama.

Terima kasih juga pada aruah Pak Awang (suami Long Ah) kerana selama hayatnya — kedua suami isteri ini sangat baik pada keluarga kami.

Saya tinggal di Pumpong tahun 1977 hingga 1978 (Darjah 4 hingga 5).

Saspens menanti Long Ah buka pintu; Alhamdulillah — tak sampai seminit melihat saya: “Ni non kah? Anak Mak Yom?” Saya senyum kerana dia masih ingat nama saya.
Pintu masuk jalan kampung; sekarang ditandai dengan papan tanda Songkok Pak Awang. Dulu jalannya kecil; muat sebiji motorsikal. Sekarang sudah luas, cukup laluan sebiji lori.

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...