Pada hari anda berasa sunyi dan mahukan hiburan jalanan sambil duduk melihat ensaiklopedia muzik dalam narasi artis jalanan Kuala Lumpur – sesi busking paling tepat untuk mode ini.
Kalau di Sogo – anda boleh bersama Bob Sentuhan Busker. Bob menjadi wajah Laman Sogo sejak 2013.
Selain susunan fusion muziknya yang pelbagai dan merantai genre era 60-an hingga 2000an – Bob juga pemuzik yang memiliki katalis radius muzik global.
Anda boleh mendengar lagu Kantonis, Mandarin, Hindustan dan Arab. Selain genre rantaian medley dari Barat dari kelas pop, raggae, rock dan folk.
Susunan lagu-lagu dalam fusion Bob sangat meluas dari protes Bob Dylan ke Iwan Fals. Atau, dangdut Cita Citata ke samba Carlos Santana.
Persembahan Bob Sentuhan Busker di Sogo bermula pada 5pm dan berakhir 7 malam.
Bob mula menyanyi di Restoran Tomyan Seksyen 24, Shah Alam pada 2010, sebelum mengorak langkah ke kota busking sebenar – KL.
Katalis muzik Bob berantai; dari lagu Menimbang Rasa nyanyian Oslan Husein (lahir
di Padang, Sumatra Barat, 8 April 1931 – meninggal di Jakarta, 16 Ogos 1972) ke lagu Have You Ever Seen Then Rain (CCR 1971).
Selain irama gelek Lubnan dengan lagu “Nour el Chams” nyanyian Pascale Maschaalani (2013) ke irama ballad Hindustan “Janam Janam” nyanyian Arijit Singh (2015).
Bob mencipta magis muzik jalannya yang tersendiri.
Menjadi busker di KL bukan mudah. Seni jalanan ini di Malaysia masih dianggap berkelas jalanan. Walaupun apresiasinya bertambah baik berbanding tiga dekad lalu.
Di Indonesia, busker (pengamen) seperti Tri Suaka, Nabila Maharani, Angga Chandra dan Aya Ibrahim kini menjadi bergelar jutawan dengan menaiktaraf muzik jalanan ke saluran Youtube.
Bob ikon busker mesra pelancong
Bob masih dianggap ikonik busker paling menarik di Kuala Lumpur.
Selain persembahan bersama band Sentuhan Busker, skil komunikasi Bob serta sikap “friendly” dengan pelancong yang mahu menguji bakat dalam shownya – satu keistimewaan.
Dunia busking Bob siang dan malam. Setelah 2 jam di Laman Sogo pada waktu petang – Bob boleh ditemui di sekitar Bukit Bintang pada malam hari.
Suaranya lebih rock dan ala konsert apabila berdepan pelancong asing di shownya berdekatan pedestrian KFC atau laman CIMB.
Ratusan videonya dimuat naik di Youtube dan media sosial dengan pelbagai versi menghiburkan pelancong dengan keupayaan menyanyi lagu-lagu pelbagai bahasa.
Selain jenakanya, skil interaksi Bob juga bijak terutama meraikan pelancong asing. Bob faham – busker adalah duta yang meraikan pelancong di jalanan KL.
Selamat kembali Bob Sentuhan Busker.
Anda juga satu-satunya penyanyi yang celik muzik legenda pop Hong Kong, Wong Ka Kui (1962-1993).
Itulah sebabnya pelancong China dan Hong Kong selalu ternganga apabila anda menyanyikan lagu band Beyond.
Pelancong China dan Hong Kong akan terkejut kerana Bob fasih lagu Ka Kui yang dianggap “raja muzik pop rock Kantonis”.
Semoga selepas ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan dilonggarkan lagi syaratnya. KL hilang jiwa tanpa busker di jalanannya.
-Bob Sentuhan Busker Penyeri Muzik Jalanan KL