‘BIDADARI’

Team KepochiCoretan ZRA9 months ago2K Views

Lokasi ini jadi kenangan; sudah ditutup dua tahun lalu. Jadi, sudah hilang tarikan ke Sogo.

Anak muda sekarang selalu bergurau, kalau kita suka pamerkan bahagia.

“Ambillah seisi bumi… kaulah yang punya”.

Lebih-kurang beginilah kata-kata mereka. Menang ada benarnya; kalau kita terlalu memaksa suasana; demi menunjukkan — ‘kitalah yang terbahagia’.

Cuma, saya mohon maaf. Catatan ini buat kenang-kenangan.

Selalu saya tanya; dua hari lepas saya tanya lagi; isteri kurang senang foto dan kisahnya dikongsikan.

Tapi, saya tulis dengan kesedaran; ia satu kisah seadanya. Sama seperti — apa yang kami lalui, setelah 31 tahun berkahwin.

Saya tulis untuk lengkapkan buku ke 19; di mana selama ini, saya tak pernah menulis; kisah cinta pada isteri.

KAMI BERTEMU

Tahun 1990 — budak itu baru berusia 15 tahun; tuisyen di Jalan Raja Laut, KL.

Dia lahir KL — bersekolah di Jalan Semarak; rumahnya di Pulapol — anak polis.

Waktu bertemu — usia saya 22 tahun dan masih rumit memikirkan: “Hidup ini apa mahunya?”

Satu hari selepas pulang tuisyen — budak itu berjalan-jalan di Pasar Seni. Ketika itulah, katanya — dia nampak saya sedang membaca buku di bucu sudut pelukis.

Saya masih ingat — itulah tahun saya mengulang baca novel Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer.

Saya duduk di tepi tempat kawan saya Baem Zakaria selalu melukis; dalam Pasar Seni yang sentiasa sesak setiap petang.

Menyedari seorang sebaya ‘budak sekolah’ berbaju T kuning, sedang melihat saya membaca; saya pun mengangkat muka.

Dia alihkan pandangan; satu tanda yang jelas — reaksi ketakutan bagi budak sekolah berusia 15 tahun.

“Cari siapa?” Tanya saya.

Budak sekolah itu pura-pura tidak mendengar; saya pun berdiri dengan sopan — kerana merasakan budak ini sedang mencari seseorang.

Melihat saya bangun dan jarak kami hanya empat atau lima langkah; dia nampak resah.

Menyedari dirinya tak mungkin dapat melarikan diri — budak sekolah ini kembali melihat ke arah saya.

“Cari siapa?” Tanya saya lagi.

“Saja…,” katanya; satu tanda dia tak punya jawaban.

Dekad itu; tekanan kesunyian sesuatu yang mampu mengejar sesiapa saja.

Saya sudah lama dikejar kesunyian; hingga di dalam bangunan yang padat manusia pun — kita boleh terasa sangat menyepi.

Ada masanya; kita nampak begitu ramai manusia berjalan; ada yang ketawa atau duduk menyendiri.

Ada yang bergerak perlahan; ada yang bergegas tapi tanpa arah yang jelas.

Namun, semua hanya pemandangan dari mata seorang lelaki yang rumit.

Ketika itu, hidup terasa sangat sunyi; dunia terasa mendiam.

Hinggakan, kalau ada sebilah jarum terjatuh pun — kita masih mampu mendengar dentingnya.

“Awak dah minum?” Tanya saya.

Dia geleng kepala; saya melangkah dan mengisyaratkan supaya budak sekolah ini mengikuti saya.

Saya berjalan ke restoran di Annex Pasar Seni; bangunan di belakang. Suasana restorannya lebih lengang.

Kami duduk saling mengadap; berbual sepatah-dua — dan saya yakin, dia sangat malu dan ketakutan.

“Sekolah lagikah?” Tanya saya.

Dijawabnya: “Baru habis tuisyen.”

Hari yang bosan; saya dikejar sunyi — dia dibendung ketakutan.

Dia budak sekolah; saya lelaki dewasa berambut panjang.

Setelah Pasar Seni menyepi — pada awal perkahwinan dan sampai sekarang; kami suka Sogo Jalan TAR.

BERTEMU & BERTEMU

Sejak itu — kami kerap bertemu, tapi — rasanya, tak lebih 10 kali.

Selalunya, kami duduk berbual mengenai Peperiksaan SRP Tingkatan Tiga.

Tahun 1990 — tiap kali waktu pulang, saya menemani budak sekolah ke hentian bas di Bangkok Bank.

Saya ada belajar sedikit sikap budiman dari buku-buku yang dibaca. Eloklah, rasanya — saya pastikan anak polis ini selamat menaiki bas mini yang sesak setiap petang.

MASA PUN BERLALU

Saya tak sempat bertemu budak sekolah ini ketika menjelang peperiksaan SRPnya.

Saya merayau macam selalu; patah balik ke Terengganu dan kemudian ke USM.

Cuma, pada tahun 1990 hingga 1992 — ketika di Sanggar Teater, Kuala Terengganu — saya kerap mengirimkan kad jemputan.

Saya tulis nota-nota kecil di ruang tersisa pada kad undangan.

Walaupun, dia tak mungkin hadir bagi pementasan teater di KT, Kota Kinabalu, Kuching atau Pulau Pinang.

Saya kirim sekadar tanda ingatan.

Selepas 1992 — saya berhenti mengirim kad jemputan; sudah tidak yakin, selepas SRP — dia masih kekal atau sudah berpindah sekolah.

Sepanjang di USM — hidup pula semakin sukar; saya bekerja dan belajar; serta benar-benar mengejar ‘Pelajar Terbaik’.

Saya hanya berfikir; mesti capai apa yang ada. Peluang belajar di USM adalah bukit yang paling tinggi pernah saya daki.

Takkan ada peluang lagi; kalau saya abaikan ‘nikmat belajar’ ini.

SATU HARI IA TERJADI

Saya sertai akhbar Utusan Melayu pada 1994; dunia kerja mulai meriah. Cuma, kehidupan harian terasa kosong tanpa apa-apa.

Saya hanya fokus: “Kerja, kerja dan kerja.’

Bulan Jun 1994; foto saya tersiar di akhbar Utusan Malaysia kerana menguruskan laporan mengenai pemandu teksi menemukan beg penumpang yang tertinggal.

Foto itu besar kisahnya; pada mata seorang gadis.

Pada usia 20 tahun — dia sudah bekerja di bank; masih cam wajah saya.

Si gadis telefon berkali-kali; tapi, kerap pada waktu itu saya tiada di pejabat.

Tahun 1994 — belum ada akses mudah telefon selular. Kita masih guna telefon talian tetap.

Satu hari, Juwie rakan pejabat — beritahu: “Ada perempuan telefon banyak kali… tapi Nal tak ada di opis.”

Juwie beri nombor — saya telefon semula.

“Wah…,” kata hati saya; “Ini budak sekolah tu….”

Kami bual di telefon dua tiga kali. Akhirnya, saya beranikan diri ajak berjumpa.

Si gadis datang dari Kajang dan kami ketemu pada Jun 1994.

Tiga empat kali bertemu; saya beranikan diri: “Kalau awak OK… kita kahwin.”

Dia jawab: “Awak jumpalah bapa saya.”

MEMINANG SENDIRIAN

Saya pun pergi ke rumahnya di Seremban; ketemu bapanya.

“Kalau nak kahwin, kau cadang bila?”

Bapanya polis; tiada basa-basi.

“Saya tak cukup wang sebab baru bekerja. Saya harap, hari ini boleh terus meminang. Sebab, saya tak ada duit untuk bawa keluarga dari Kedah ke Seremban.”

Bapa si gadis memahami: Maka, sesi yang kusual — terus bertukar jadi formal.

Kami duduk saling setentang; mengadap empat mata.

Si gadis dan ibunya berada di dapur.

Dua lelaki dewasa berunding; yang susah cuba mudahkan. Saya nyatakan kemampuan biaya; bapanya mudahkan dengan jawapan: “Baiklah”.

Julai 1994 — kami bertunang; terus kahwin bulan Oktober. Tapi, saya tak ingat tarikhnya.

“BAHAGIA ITU APA ADANYA”

Saya fikir begitulah.

Sepanjang berkahwin — isteri banyak bersabar; dia baru 20 tahun ketika menerima suami dalam hidupnya.

Apa lagi keadaan sentiasa rumit; kerana saya memang komplikated.

Saya masih suami yang menganggap: “Isteri mesti wanita rumah tangga”.

Syukurlah — selepas 10 bulan kahwin — kami dapat anak pertama (Dayana,1995).

Allah murahkan rezeki dengan (Gibran, 1997), (Ilham, 1998) dan (Syaer, 2002).

YANG LUCU

Apabila keadaan ekonomi semakin baik (1997), saya minta isteri berhenti kerja.

“Kita hidup cara lama saja,” kata saya: “Sekarang awak hamil anak kedua… elok di rumah jaga anak-anak kita.”

Isteri setuju. Tahun 1997 — bila saya ke Astro dengan gaji lebih baik; isteri jadi suri rumah sepenuh masa.

Tahun 2005, saya ditugaskan ke Ethiopia. Selama bekerja, isteri tak pernah tahu; “Ke mana saya pergi dan bila akan kembali?”

Ketika itu, isteri tak tahu saya ke Ethiopia — pada masa sama, ada gempa bumi besar di Pakistan.

Isteri menangis kerana saya tak mengirim khabar berita.

Nasib baik ada Norzie Pak Wan Chek — teman sekerja: “Akak… abang Nal di Afrika… Pakistan yang gempa.”

Isteri pun berhenti menangis.

Sejak saya tahu kisah ini; saya ubah perangai. Saya maklumkan lokasi dan tarikh pulang setiap kali berpergian.

Ini saja foto-foto yang ada. Kami jarang berfoto sebab tak selalu keluar bersama.

BAHAGIA ITU SEADANYA

Saya anti euforia; jadi, tiada sambutan ulang tahun perkahwinan dan tiada sambutan hari jadi.

Ini terpakai untuk seisi keluarga. Cuma, saya tak halang isteri raikan dengan anak-anak. Tetapi, saya takkan bersama.

Alasan saya seadanya: “Aku menyintaimu setiap hari tanpa perlu ada tarikh untuk mengingatinya….”

Terima kasih Mem… menemani saya selama tiga dekad. Sedikit bahagia telah saya beri; selebihnya saya berhutang dengan nyawa yang ada.

Saya sentiasa bertangguh waktu untuk membalasnya; takkan pernah lengkap kecuali tiba masanya.

Kita telah memilih; “Bahagia itu seadanya”.

Tapi, saya telah menerima kebaikan isteri dengan pengorbanannya yang besar; hingga tiada kata-kata untuk menyatakannya.

Maka, saya cagarkan dengan seluruh hidup hingga terhentilah nyawa.

Kita takkan mungkin mampu mengambil seluruh erti bahagia; seperti kata-kata jenaka anak muda: “Kau ambillah bumi yang ada”.

Setelah tiga dekad bersama; saya pun menulis dengan harapan: “Catatan ini bernada — bahagia itu seadanya”.

Dia banyak bersabar; tapi, itulah wanita.

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...