ASAL POMEN KAMPUNG KINI KE BENGKEL STAILO
Ada berapa kali video Shinji Nagato (Mohd Norezam) melintas di reel Facebook.
Saya selalu terpesona mendengar perkisahannya mengenai pekerjaan sebagai pomen bengkel.
Saya tak celik motorsikal — kerana tak reti menunggang; sesuatu yang dilarang aruah ibu sejak remaja.
Tapi — saya tetap ralit mendengar pesan dan tips mengenai penjagaan jentera.
Bukan tipsnya yang saya faham; tapi — nada Shinji Nagato yang sentiasa positif ketika berkomunikasi dengan generasi muda.
Budaya disiplin berkerja dan fokus dalam mengendalikan kualiti servis; diajarnya sebagai ‘jenama’ utama bagi membina personaliti seorang pomen.
Dalam bahasa mudah; cara Shinji Nagato sangat mengaspirasikan anak muda.
Dari pondok bumbung plastik di depan rumah kampungnya di Mersing — Shinji Nagato kini berjaya mengusahakan bengkelnya di Jalan Kedidi, Taman Scientex, Pasir Gudang.
Saya pernah mengembara di lebih 30 universiti di Australia, New Zealand, Turkiye, Mesir, Jordan dan Indonesia.
Memenuhi jemputan dalam sesi perkongsian dengan lebih 8 ribu pelajar Malaysia di luar negara sekitar 2013 hingga 2016.
Tugas utama ialah menyampaikan aspirasi ‘mengenai pentingnya pendidikan terbaik’ diperolehi di perantauan dan kembali ke tanahair demi berkhidmat pada negara.
Banyak pengalaman dipelajari dari generasi kampus. Cuma — tiada pernah berkesempatan dengan generasi TVET.





SHINJI NAGATO & STAIL KASUAL
Cuma — kekaguman pada Shinji Nagato ialah fokus kandungannya. Dia relatif pada anak-anak muda awam yang mahu berjaya dalam bidang ‘lay man’.
Walaupun generasi muda dengan bekal pendidikan terhad — Shinji Nagato mengaspirasikan; betapa potensi kemahiran rencam boleh dibina sebagai asas profesionalisme.
Anak muda TVET tidak perlu merasa rendah diri dengan bakat dalam bidang teknikal dan vokasional.
Hampir 80 peratus anak muda kita lepasan SPM tidak ke menara gading.
Pendidikan TVET ada — tapi, untuk melangkah jauh — anak muda perlukan panduan praktikal.
Shinji Nagato memulakan kerja bengkelnya selepas berasa bosan makan gaji sebagai pekerja mekanikal dalam industri kilang dan pemprosesan.
Dia hilang motivasi kerana mahukan kerjaya mandiri.
BUKA BENGKEL DI KAMPUNG
Shinji Nagato anak Mersing, Johor — memulakan usaha dengan bengkel kecil membaiki motorsikal di kampungnya.
Dari budak ‘punk’ dan ‘mat motor’ pada usia remaja. Mudah bagi Shinji Nagato memahami ‘generasi’ muda lepasan TVET.
Dia tahu — juniornya perlukan dorongan untuk berani memulakan kerjaya mandiri.
TAK SAMA NARATIF KAMPUS & FOKUS ASPIRASI ANAK MUDA TVET
Dalam naratif kampus; kita berhujah mengenai pentingnya konsep ilmu disertakan dengan nasionalisme.
Itu cara berkongsi idea bagi memujuk graduan terbaik kembali berkhidmat di tanah air.
Ada keletihan apabila berdepan pelajar Sarjana dan PHD; ketika menjelaskan pentingnya kembali ke tanahair dan berkhidmat dengan semangat memajukan negara bangsa.
Saya berdepan kata-kata celaan pada negara ketika berdialog secara tertutup kumpulan kecil. Sesi bersama pelajar-pelajar hebat di luar negara.
Kehebatan ilmu selalunya datang bersama kesombongan.
Cuma — tugas saya; ialah menjelaskan konsep pembinaan negara bangsa mengikut saran dan konsep Imam Al Ghazali.
Bahawa — negara bangsa yang hebat dibina para cendekia yang memiliki cita-cita ‘memerdekakan’ tanahair dari kebergantungan kepada kepakaran asing.
Shinji Nagato pula — menggunakan video-videonya dipelbagai platform media sosial bagi mengaspirasikan generasi TVET untuk memiliki mentaliti mandiri.
Dia konsisten dengan klip dan videonya yang kasual — tapi sangat mendidik.
Satu ruang kandungan yang mengisi vakum kosong bagi membantu remaja dan anak muda kita menghargai bakat mekanikal dan teknikal yang ada.
DENIM SEBAGAI GAYA HIDUP
Shinji Nagato ada aura; dia berkongsi tips dan pengalaman — tanpa caj komersil.
Klip dan videonya silih berganti; dengan muatan OOTD ala Shinji Nagato — digabungkan dengan motivasi kerja dan gaya hidup denim.
Satu pendekatan penuh aura: “Bahawa — fesyen tidak datang dengan gaya hidup nol.”
Tetapi, sebaliknya — biar pun ‘rugged’; keutamaan ialah ‘bina kerjaya’ sebagai stail kehidupan yang mapan.
Kita punya ramai sifu dan motivator untuk bisnes ‘modal ratus ribu atau juta-juta’.
Anak muda TVET takkan melihat kandungan begini sebagai relevan dengan keadaan mereka.
Shinji Nagato memulakan bengkel kecil depan rumah. Mendisiplinkan diri dengan waktu bekerja awal pagi hingga lewat petang.
Satu isyarat — betapa kerja kuat ialah kunci kekuatan kerjaya.
Seperti ‘tebal denim’ yang digayakannya — Shinji Nagato mendidik generasi muda sekarang untuk faham: “Kesasaan itu satu personaliti — bagi yang mahu melihat kaitan fesyen dan mentaliti profesional”.
Sekalipun hanya berkerja sebagai pomen bengkel.
SELAMAT MAJU JAYA ANAK MUDA
Saya sentiasa berharap; sekalipun tanpa ‘title’ sifu atau master — Shinji Nagato akan terus fokus pada misi sosialnya demi generasi muda.
Mengekalkan reel stail gaya hidup denimnya; setara dengan motivasi kepada anak-anak muda untuk kekal membina nilai kerja yang berpretij.
Kandungan reel dan klipnya percuma; tapi, isinya besar dalam membina daya saing anak-anak muda untuk bangkit mengisi tanggung jawab pada negara bangsa.
TVET bukan lambakan; tapi, armada bangsa untuk membangunkan negara.
Awal pagi tadi pun; saya terus menonton kandungan reel Shinji Nagato. Perihal mengendalikan masalah pendikit.
Walaupun saya tak faham mengenai kaburator, piston atau jentera mekanikal.
Saya tetap belajar dan teraspirasi; pada semangat dan disiplin kerjanya.
Besar kecil manusia bukan ditentukan kehebatan populariti; tetapi, kemahuan berkongsi aspirasi.
Hidup anak Mersing; fesyen bukan soal gaya pada tubuh — tetapi, kesasaan personaliti dan mentaliti!