“Kau mana boleh menyanyi… suara tak sampai bilik air!”
Ayat itu sering keluar daripada mulut Selamat Asrin (SA) sendiri setiap kali topik vokal diperkatakan. Kedengaran sinis, tetapi di situlah terletaknya kejujuran SA seorang penyanyi jalanan yang tidak pernah mengejar kesempurnaan, hanya mahu suaranya didengar seadanya.
Ayat itulah akhirnya menjadi judul album yang mencipta sejarah.
Siapa Selamat Asrin?
Selamat Asrin, atau lebih dikenali sebagai SA, merupakan figura unik dalam landskap seni jalanan Malaysia. Seorang penyanyi jalanan yang hidup dengan spektrum autisme, SA telah menghabiskan lebih empat dekad menyanyi di ruang awam, menjadikan jalanan sebagai pentas dan sekolah kehidupannya. Dengan gaya vokal tersendiri (kedengaran seakan menjerit), kejujuran dalam persembahan dan disiplin versinya sendiri, SA akhirnya mencipta sejarah apabila muncul sebagai antara artis autisme pertama di Malaysia yang mempunyai album fizikal dipasarkan secara rasmi, menerusi album Suara Sampai Bilik Air. Pencapaian ini bukan sekadar tentang muzik, tetapi tentang pengiktirafan, kepercayaan dan ruang yang diberikan kepada seorang insan untuk hidup dan berkarya mengikut dunianya sendiri.
Tepat jam 9 malam, 31 Disember, sesi strim pelancaran album Suara Sampai Bilik Air bermula. Album terbitan Ammal Bellamy ini mengandungi 10 buah lagu dan diterbitkan dalam edisi terhad hanya 100 keping CD fizikal. Dalam tempoh kurang enam hingga 10 minit, kesemuanya habis terjual.
Bukan kerana hype semata-mata. Tetapi kerana perjalanan hidup yang panjang, konsisten dan jujur.
“Aku menyanyi bukan untuk jadi hebat. Aku menyanyi sebab itu cara aku hidup.” — Selamat Asrin
42 Tahun Di Jalanan, Bukan Sekadar Menyanyi
Bagi Tuan Haji Zainal Rashid Ahmad (ZRA), sahabat yang mengenali SA sejak 1987, album ini bukan kejayaan segera. Ia adalah hasil 42 tahun menyanyi di ruang awam dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
Kaki lima, medan selera, stesen bas, tepi pusat beli-belah dan arked menjadi pentas. Jalanan adalah sekolah. Penonton datang dan pergi. Ada yang menghargai, ada yang memandang sepi.
Namun SA tetap menyanyi.
“Dia sentiasa ada kemahuan untuk terus hidup. Itu yang saya paling hormat.” — Zainal Rashid Ahmad
SA bukan insan yang berbual tentang impian besar atau azam tahun baharu. Dunia dan minatnya kecil, tetapi cukup jelas. Dia hidup dengan caranya sendiri, dengan alamnya sendiri.
Di Sebalik Album: Hujan, Rehat dan Disiplin Versi SA
Bagi Ammal Bellamy, pemuzik, penerbit bebas dan Naib Juara Akademi Fantasia, merealisasikan album Suara Sampai Bilik Air bukan sekadar projek muzik, tetapi satu tanggungjawab kemanusiaan. Ammal yang sudah lama bergerak dalam dunia seni independen memahami bahawa bekerja dengan Selamat Asrin memerlukan empati, kesabaran dan kefahaman terhadap rutin hidup SA. Persiapan album ini bermula secara teknikal sehari lebih awal dan diperhalusi pada petang sebelum majlis, namun cuaca hujan lebat memaksa perubahan pelan saat akhir. Setup terpaksa diubah, pasukan teknikal perlu bertindak pantas, dan keputusan dibuat dalam masa singkat. Di tengah kekalutan itu, SA kekal tenang kerana bagi dirinya, rehat adalah sebahagian daripada disiplinnya.
“Mal, aku nak tidur nak rehat. Kang suara tarik tak sampai, mana aku nak letak muka aku ni? Kau juga yang marah.” — Selamat Asrin (berseloroh)
Ammal tidak melawan. Dia memahami dunia SA. Hampir dua hari SA berehat sepenuhnya, hanya keluar untuk makan sebelum kembali tidur. Bagi SA, menjaga suara bukan soal teknikal semata-mata, tetapi tentang keseimbangan mengikut caranya sendiri. Di situlah Ammal memilih untuk menyokong, bukan mengarah.
Malam Pelancaran: Santai, Jujur dan Penuh Warna
Pada hari kejadian, SA kekal santai. Walaupun hujan lebat melambatkan persiapan, dia mendengar arahan dengan fokus.
Team ZRA Strim tiba selepas maghrib. Tetamu mula memenuhi ruang. Penjualan album dan buku bermula sekitar jam 8 malam. Peminat hadir bukan sahaja dari Lembah Klang, malah dari Johor dan negeri lain.
SA keluar dari ‘holding room’, menyapa peminat, bergambar, memberi autograf dan mengambil alih spotlight dengan caranya sendiri.
Sesekali dia berlagak kecil sambil ketawa:
“Aku top sekarang.”
Gelak tawa menjadi bahasa malam itu. Rakan-rakan seperjuangan seusia dan sezaman hadir menyaksikan detik yang mungkin tidak pernah mereka bayangkan puluhan tahun lalu, SA kini mempunyai album fizikal sendiri.
Persahabatan, Fleksibiliti dan Sebuah Pelajaran Hidup
Selepas hampir empat dekad berkawan, ZRA memilih pendekatan: fleksibiliti. Tidak mengajar, tidak menceramah, tidak memaksa.
“Di mana ada bahagia, kita lepaskan dia terbang ke langit impiannya.” — Zainal Rashid Ahmad
Bagi SA, berbasikal adalah terapi. Lebihan tenaga perlu dilepaskan. Kalau ada duit, dia berkayuh ke banyak destinasi sarapan di Kajang, singgah Pasar Seni, kemudian merayau di Bukit Bintang bertemu rakan-rakan penyanyi jalanan.
Itu bahagian hidup yang dia pilih.
Dan dari SA, ZRA belajar satu perkara yang sangat sederhana tetapi mendalam:
“Kita boleh marah dan kecewa. Tapi esoknya, kita bangun dan berjuang lagi. Tak perlu kesedihan berpanjangan.”
Lebih Daripada Sebuah Album
Suara Sampai Bilik Air bukan sekadar album. Ia adalah simbol kepercayaan bahawa individu autisme bukan kekurangan, tetapi insan yang memerlukan ruang, masa dan sokongan yang betul.
Ammal Bellamy tidak sekadar menerbitkan album. Dia berjalan bersama SA, memahami ritmanya, dan menghormati dunianya.
Dan malam itu, sejarah tercipta bukan dengan sorakan besar, tetapi dengan suara yang jujur, lahir dari jalanan, dan akhirnya… sampai ke hati ramai orang.