
Pada 2011 — wilayah Mindanao di Selatan Filipina masih dipenuhi krisis keganasan.
Walaupun, Abu Sayyaf sudah kehilangan Khadafi Janjalani (2006) dan Aburajak Janjalani (1998) — krisis ancaman tebusan masih digeruni.
Apabila TV Al Hijrah memulakan operasi; iltizam pertama saya ialah meletakkan standard wartawan wanita ke tahap ‘meneroka garisan bahaya’.
Risikonya tinggi; pedalaman Mindanao satu garis tegang dan penuh dengan krisis persenjataan. Ini bukan tugas mudah bagi wartawan wanita.
Cuma, tanpa memberikan ruang pada mereka; bagaimana standard kewartawanan gender dapat dibuktikan tidak dikuasai budaya patriaki (penguasaan lelaki)?.
Kebetulan Syafinah Othman pada waktu itu — sudah hampir 10 tahun (sejak 2002) bekerja dengan saya di Edisi Siasat NTV7.
Nora Zainal pula sudah enam tahun bekerjasama — apabila memulakan kerjaya produksi dengan menyertai syarikat FM Astro Production.
Syafinah lebih mudah dirundingi walaupun ada sikap melawannya. Nora Zainal memang ‘penentang’ yang tegar tiap kali ada mesyuarat.
Memandangkan saya kurang pengalaman mengendalikan wartawan wanita; kerapkali hubungan kerja jadi tegang. Namun, budaya patriarki harus dielakkan.
Mengarahkan wartawan ke garisan krisis; kita tak boleh cagar dengan kesombongan: “Aku orang lama… aku lebih tahu semuanya?”
Perubahan tidak boleh dilaksanakan dengan ‘ugutan pengalaman’.
PANGGIL INA
“Kau pergi Mindanao; masuklah ikut mana pun… sama ada Cotabato atau Zamboanga. Rakam perjuangan wanita dalam MILF.”
(Moro Islamic Front Liberation).
Ina terus senyum; nampak sangat teruja. Tapi, saya harus jelaskan bahayanya.
Walaupun dua saudara Janjalani sudah tiada, pada 2011 dan 2012 — Abu Sayyaf masih memiliki kekuatan lebih 1,000 anggota. Kubu utamanya di Jolo dan Sulu.
Tetapi, rangkaian sokongannya ada di seluruh Minadanao. Kes penculikan ada di mana saja; dari Zamboanga ke Davao.
Tanpa pengalaman dan keberanian; Ina takkan mungkin masuk ke kawasan MILF. Walaupun ini kumpulan pejuang yang diiktiraf — dan bebas dari rekod jenayah penahanan tebusan.
Saya jelaskan bahayanya; tapi, saya terangkan juga: “Ini masa memulakan standard baru bagi kewartawanan wanita di garis bahaya”.
Abu Sayyaf masih aktif; ketua baru, Isnilon Hapilon waktu itu — sudah berjaya menyusun semula struktur operasi pasukannya.
Sekalipun MILF mesra dengan wartawan; tapi, kawasan di sekitar perkampungan pejuangnya — masih zon berisko tinggi.
Perjalanan ke kawasan pedalaman Mindanao masih boleh dipintas pihak lain; termasuk samun dan culik oleh penjenayah bersenjata.
“Saya OK untuk pergi,” kata Ina.
Nora pula diarah menjejak kehidupan wanita Islam di sekitar Manila.
Dia kelihatan bersemangat; mereka berusia awal 30an; sudah bersedia dengan tagline: “Dimana wartawan lelaki melangkah, apakah ia zon larangan bagi wartawan wanita?”
Akhirnya mereka dilepaskan pergi; mengetuai operasi memasuki zon pejuang MILF dengan arahan: “Rakamkan kehidupan pejuang wanita di sana. Serta, paparkan kisah hidup umat Islam Filipina”.
Saya nekad; bahaya bukan saja milik lelaki. Wanita harus membuktikan standard tersendiri sebagai katalis menghapuskan stigma gender.
Saya teringat jasa wartawan CNN, Christian Amanpour; dalam membela nasib umat Islam Bosnia ketika perang 1992.
Saya mahu Ina dan Nora — setara jasa wartawan Arwa Damon yang sentiasa membela nasib umat Islam di Asia Barat.
INA & NORA KE ZON KRISIS
Setelah mereka berlepas pergi; saya tak menghubungi mereka selama berada di Cotabato dan Manila.
Saya sendiri tak pernah tahu; apa pergerakan mereka di sana. Saya serahkan kebebasan bergerak mengikut cara mereka.
Saya bayangkan; kalau mereka berani berdiri melaporkan suasana tegang di pasar atau berkeliaran di zon ‘separa bahaya’ — itu sudah memadai.
Ini pengalaman pertama mereka; kita tak boleh berharap banyak kejutan luar biasa.
Rupanya, Ina nekad menjelajah hutan berbahaya; berjalan meredah belukar Mindanao menuju ke kubu MILF.
Mereka berjaya merakamkan pejuang wanita MILF; siang memasak dan menjadi suri rumah.
Malam hari berlatih menggunakan pelbagai senjata moden; malah, bazooka.
Wanita Mindanao pada waktu siang — kelihatan mengisar ubi dan rajin memasak; rutin kaum ibu dan isteri.
Tapi — di sebalik kerudung dan kain batik; wanita Moro siap ke medan juang sebagai barisan pertama.

INA & NORA PULANG
Sekitar sepuluh hari di Mindanao; Ina dan Nora pulang; muka selamba.
Saya fikir: “Hmmm… dapatlah agaknya video rakaman di pasar; beli ubi dan ulam-ulaman.”
Sebaik saja melihat previu rakaman perjalanan di hutan banat Mindanao; saya terkesima.
Rakamannya luar biasa; masuk ke garisan tempur dengan senjata berleluasa seperti mainan kanak-kanak di pasar malam.
Saya tak puji apa-apa; tapi, Ina dan Nora tahu: “Mereka meletakkan standard tinggi dalam laporan garisan krisis; yang belum tentu — wartawan lelaki mampu melakukannya.”
NORA YANG MELAWAN: “ITU ZAMAN GAJAH BANG!”
Saya ada kesombongan tersendiri; sesekali sikap ini ada kekuatannya.
Cuma, satu hari sekitar tahun 2016 — saya sudah tinggalkan meja wartawan.
Ina pilih kekal sebagai pasukan penerbitan.
Nora pilih mengikuti saya ke Jabatan Jualan Media — menyertai tugas baru yang berbeza dari rutin kewartawanan.
Kerja pemasaran dan jualan media pada dekad itu sedang mengalami kemelesetan; pengaruh media TV sudah menuju era ‘matahari terbenam’.
Saya pula selalu tertekan; melatih 70 peratus tenaga baru dari kerja ‘back office’ ke garis utama menjana pendapatan iklan.
Saya kendalikan mesyuarat. Ada sekali, kerana kerap menekan staf dengan sasaran jualan — saya selalu ulangi kata-kata: “Dulu… masa zaman aku….”
Pada satu hari — kerana bosan dan tertekan; Nora hilang sabar dengan dialog membandingkan: “Dulu dan sekarang’.
Terus dipintasnya cakap saya. Suaranya lantang dan ada deraman kemarahan.
“Itu zaman bila? Itu zaman gajah, bang?”
Saya terdiam.
NORA MENGAJAR SAYA
Walaupun waktu itu — saya ada 22 tahun pengalaman; penentangan Nora cetuskan kesedaran:
“Pencapaian masa lalu, kini sudah jadi sejarah. Cerita 20 tahun dulu — simpan saja dalam saku baju.”
Nora banyak menyedarkan saya: “Jurang antara bos dan tim kerja, tak boleh diandalkan pada pengalaman.”
Sejak itu; tiap kali mesyuarat — saya minta setiausaha sentiasa jemput Nora.
Walaupun dia sentiasa menentang saya; tapi, suaranya ‘cermin terbaik’ melihat realiti.
Malah, mesyuarat terasa hilang makna — tanpa perlawanan dan bantahan Nora.
Apabila dia melawan; fikiran kita sebagai ketua — mula meninjau keadaan secara lebih terbuka.
“Pengalaman hanya sejarah,” kata hati saya: “Dengar saja ceramah realiti sebenar dari Nora.”
Saya tak ada isu dan tak percaya pada stigma gender. Saya hormati pandangan keras dari wanita.
Apabila mereka menentang idea kita — bukan ertinya melawan ketua.
Mereka juga belajar dari pengalaman; dan punya radius pengetahuan.
‘PENGARUH’ NORA
Sekarang pun… setelah lima tahun meninggalkan kerjaya TV — kesannya masih ada.
Kalau terlintas idea baru untuk kerja strim saya; akan muncul stigma suara Nora.
Penentangannya sentiasa memburu saya; kerana perlawanan wanita satu katalis: “Lelaki mungkin berkuasa; tapi, belum tentu betul sepanjang masa!”
Nora sentiasa melawan; mengubah persepsi dan mentaliti saya — mengenai ‘kuasa wanita’.
Tak sia-sia, saya hantar dia ke garis bahaya; merakam perjuangan wanita Moro.
Dia jadi pelawan yang bermakna; mengisi ketegangan mesyuarat dan menjadikan saya lebih sedar:
“Cari wanita yang melawan… idea lelaki akan lebih relevan!”
Kini kedua mereka masih bekerja; kami jarang berjumpa. Saya doakan Nora dan Ina berjaya.
