
Pada tahun 2000 — tiada lagi wartawan diterima bekerja tanpa diploma.
NTV7 pada tahun yang sama; telah menetapkan standard wartawan baru mestilah graduan sarjana muda.
Maka, kisah Azizul Azwa Abdul Syukur satu kes istimewa.
Pada usia 30 tahun — Azizul diterima bekerja sebagai wartawan NTV7 berbekalkan STPM tahun 1987.
Lebih unik — sebelum itu, dia hanya memulakan kerjaya sebagai wartawan Harian Watan pada 1992.
Tapi, Azizul berminat menjadi wartawan TV.
Tanpa pilihan — dia mulakan kerjaya sebagai wartawan sambilan televisyen pada 1997.
Berbekalkan pengalaman tiga tahun sebagai ‘penjual berita’ dari stesen ke stesen TV — Azizul memiliki pengalaman ‘street smart’.
Apa itu ‘street smart’ Azizul dalam isu kerjayanya?
Kekuatan semangatnya! Serta skop pilihannya dalam mencari bahan berita.
Azizul takkan pergi menghulur mikrofon ke ‘mulut’ menteri untuk mendapatkan bahan laporan.
Itu kerja lazim; semua wartawan arus perdana buat kerja yang sama.
Azizul tahu — dia takkan dapat menjual beritanya kalau bekerja cara biasa.
Fokus Azizul; ketika wartawan bertali leher tidur — dia mula berkerja.
Bahan beritanya di jalanan; di ceruk gelap kehidupan manusia — atau mengintai liputan kes jenayah selepas tengah malam.
MACAMANA KENAL AZIZUL?
Pada tahun 2000, ketika bertugas sebagai Penolong Pengurus dan Penerbit Kanan Edisi Siasat — saya dibenarkan mengambil dua wartawan baru.
Azizul bekerja sebagai (stringer) berita NTV7. Mudahnya — wakil wartawan. Komitmen kerjanya dibayar dengan harga sekitar RM150 per berita yang tersiar.
Kalau beritanya ditolak; kerja hariannya jadi sia-sia.
SAYA ‘OFFER’ AZIZUL
Saya ada masalah dengan imej wartawan bertali leher. Atau, mentaliti graduan yang mengharapkan kerja liputan berita — sebagai: ‘Tulis apa saja orang kata!”
Azizul mahir dengan liputan siasatan jenayah; dia pandai mengendap berita dalam gelap.
Cuma, dia hanya ada sijil STPM.
Saya hanya ada satu pilihan. Jumpa COO, Sreedhar Subramaniam; rayu kelonggaran khas supaya Azizul diterima bekerja.
Pujuk punya pujuk — COO setuju.
ORANG KREATIF MEMANG SUKAR DIKAWAL
Azizul tak suka masuk kerja waktu pagi; dia datang selepas tengahari.
Dia tak suka masuk mesyuarat, tak suka diarah-arah dan banyak karenah.
Cuma, saya kena sabar kendalikan masalah ini.
Lagi pun, saya bukan mahu mukanya ada di pejabat waktu pagi. Saya pun tak perlukan ideanya dalam mesyuarat.
Aset pelaburan utama: Azizul ada ‘niche skill’; dia wartawan penjejak berita dalam gelap.
Dia sentiasa bersemangat menggelidah maklumat kes jenayah atau skandal korupsi.
Isu mesin kuda, penipuan lesen curi pasir, penyeludupan besi buruk di perairan negara — itu kemahiran dan minatnya.
Dia akan jadi lebih bersemangat, kalau berlaku isu penghalauan dan langkah pihak berkuasa meruntuhkan rumah setinggan. Itu akan jadi perjuangannya!
Azizul akan pergi dan menyiarkan berita; tanda perlawanan seorang wartawan.

KES ROBOH RUMAH SETINGGAN
Kes nasib setinggan antara isu paling saya kagum pada semangat Azizul.
“Aku dapat kesan penipuan cek,” katanya.
Saya tanya: “Tipu apa?”
Tahun 2002 — tak ada ‘apps’ secanggih sekarang. Tapi, mata liarnya tajam mengesan — ada perbezaan tandatangan pada cek pampasan.
Mudahnya: Cek asal nilainya lebih tinggi. Penguasa kuropsi keluarkan cek dengan pampasan rendah dengan meniru tandatangan asal.
Skandalnya; tunaikan cek asal (atur konspirasi); buat cek baru yang lebih kecil nilai pampasan — bayar pada mangsa yang diarahkan pindah.
Bakinya — disapu geng yang tidak bertanggungjawab.
CEK INI SATU PERLAWANAN
Kes penipuan cek sampai ke Menteri Besar dan Timbalan Perdana Menteri.
Azizul beri kata dua: “Beri pelayanan baik pada mangsa yang hidup dalam sisa runtuhan; atau, kes dibawa ke SPRM dan jadi isu jenayah!”
Ini percaturan bijak Azizul. Pihak berkuasa akan gelabah kalau dikaitkan dengan rasuah.
Wartawan seperti Azizul pula mahukan kemenangan segera pada setinggan yang sedang menderita kerana ditipu bayaran pampasan.
Laporan ke SPRM akan ambil masa siasatan; sedangkan anak setinggan sudah ada yang menderita denggi kerana kawasan runtuhan dipenuhi dengan nyamuk aedes.
Dalam sisa runtuhan juga; bekalan letrik dan air sudah dipotong. Setinggan hidup dalam kemah plastik.
RAKYAT MARAH
Memang visual laporannya sangat menyedihkan; rakyat jadi marah.
Tersiar saja laporan — semua yang terbabit jadi gelabah.
Pegawai dikenakan siasatan dalaman; rundingan baru dijalankan dengan penduduk.
Akhirnya, setinggan menang dengan pampasan yang dibayar pada kadar munasabah.
AZIZUL SUKAR DIKAWAL
Orang seperti Azizul jangan diatur macam budak sekolahan.
Dia anti disiplin klise; tapi, fokus pada perjuangan kerjanya.
Saya pun tak berminat menjaga waktu kerjayanya. Saya mahukan hasil beritanya.
Azizul degil dan selalu punya idea sendiri. Saya tak perlu marah; kerana otaknya sentiasa berjalan.
Maka, tak penat saya nak fikir: “Kerja kau hari ini… bla bla bla.”

ADUAN KE HR
Ada staf (unit lain) mengadu kepada HR; kerana tak suka cara saya longgarkan waktu kerja Azizul.
Saya jawab ketika disiasat HR: “Kita tak tanam bunga, siram waktu pagi, tapi layu petang hari!
Saya jelaskan. Azizul masuk kerja 1 tengahari, tapi — lepas bawa kamera — dia berada lokasi 2 atau 3 hari; bekerja tanpa henti.
Durasi kerjanya lebih 50 jam seminggu. Laporan beritanya selalu rating nombor satu!
HR faham.
Moral ceritanya: wartawan hebat tidak datang dari ladang; ditanam, disiram dan dituai begitu saja.
Wartawan sebenarnya laksana helang; terbang sendirian dan pantas menyergap nilai berita.
Ini cara Azizul menewaskan ‘penjahat’ dalam negara.
AZIZUL ‘THE LAST MAN STANDING!’
33 tahun dalam industri, Azizul kekal relevan sampai sekarang. Kini, dia Penerbit Kanan di stesen terkenal.
Pelbagai siri pengurangan pekerja senior bergaji besar dilakukan; Azizul tetap dikekalkan.
Pada usia 56 tahun; dia mengutamakan prinsip melatih dan mengendalikan wartawan bawahan bekerja.
Jangan jadi ‘bunga dalam pasu’; datang pejabat sekadar perhiasan.
Gunakan laporan berita untuk mengubah nasib rakyat jelata; perangi rasuah tak kira siapa mereka.
Dia ‘spesis akhir’; bukti harga STPM.
Kita dibayar kerana perjuangan.