
(Dalam kerjaya, kita boleh berdebat dengan ketua, tapi mesti ada had — dan sikap hormat).
Ini pengalaman saya bekerja dengan Tan Sri Johan Jaaffar (Johan), Ketua Pengarang Kumpulan Utusan (1992 – 1998) dan Tokoh Wartawan Negara (2019).
Satu hari tahun 1995 — seorang balu dengan baju lusuh kelabu; berdiri di tepi pondok pengawal bangunan Utusan Melayu.
Waktu itu, pejabat Utusan masih di tapak lama; No. 46, Jalan Chan Sow Lin, KL.
Melihat wanita itu kelihatan sugul; Johan bertanya kepada pengawal.
“Kenapa dengan wanita ini?”
Pengawal menjawab: “Dia datang mahu mengadu, wang KWSP aruah suaminya lesap,” kata pengawal.
Johan menjemput wanita itu ke biliknya; saya dipanggil masuk kemudian dan melihat — ada tamu duduk di sofa.
Wanita itu menundukkan muka; tanda hidupnya sedang memikul beban.
“Begini,” kata Johan.
Sebaik saja tamu mengangkat muka; Johan berpaling pada saya yang masih tercegat di pintu biliknya.
Suaranya serius mengeluarkan arahan:
“Puan ini datang jauh dari Selayang dan saya yakin… cek miliknya telah ditunaikan orang lain. Kau siasat sampai selesai!” Katanya.
Wanita itu nampak lega.
Belum pun saya melangkah keluar — Johan keraskan lagi nada arahan: “Aku beri kau tempoh seminggu… duit haknya mesti dapat balik.”
Saya faham nada suara Johan sebagai arahan dan ada unsur bujukan.
Arahan pada saya — ‘kes mesti diselesaikan’.
Nada bujukan pula — supaya kesedihan wanita itu sedikit terubat.
Setelah mendapat maklumat terperinci; saya tahu — di mana punca penipuan.
Cek ini telah ditunaikan secara salah tetapi sistematis. Seseorang telah mengambilnya — dan bekerjasama dengan pegawai bank di kaunter.
Ini skandal jahat!

NADA KETUA NADA KITA
Saya telefon ibu pejabat bank terbabit. Nada Johan — kini jadi nada kita.
Saya bertegas kepada Pengerusi Bank.
“Saya ada semua dokumen bukti, kalau tak dapat balik hak mangsa, saya siarkan sebagai berita… skandal ini kecuaian bank!”
Pengerusi Bank menjawab: “Siarkan saja, supaya kes ini terbuka… dan kami akan tangani dengan bukti yang kamu ada….”
“SEMINGGU!” KATA JOHAN
Ketua arahkan dalam tempoh seminggu — kes mesti selesai. Saya perlu bekerja mengejar waktu.
Saya faks ke pejabat Pengerusi Bank; semua detils dokumen yang dibekalkan mangsa.
Malah, saya tulis berita dan minta Johan bantu dapatkan paparan muka depan.
Ini strategi ‘menekan’ pihak bank.
Akhirnya, siasatan bank selesai — memang wanita itu jadi mangsa penipuan — melalui salinan tandatangan.
Pengerusi Bank maklumkan — cek ganti rugi telah disediakan dan dihantar secara kiriman terus kepada mangsa.
Saya terus ke bilik Johan; dan maklumkan kes sudah selesai.
Sekitar pukul 4 petang hari yang sama; Johan ajak saya minum di kantin.
Selepas setahun bekerja; itu kali pertama, kami duduk minum petang berdua.
Saya ingat ringkasan perbualan: “Nasihat aku pada kau… lakukan apa saja, selagi itu harapan orang pada kita.”
BERDEBAT BOLEH SAJA… TAPI KATA KETUA TETAP ARAHAN
Setelah dipindahkan ke meja Mingguan Malaysia — banyak tugasan perlukan saya melapor terus kepada Johan.
Selalunya, keputusan bagi pengisian ruangan wawancara khas satu muka — untuk siaran Mingguan Malaysia.
Menguruskan wawancara khas ini; kami kerap bercanggah idea. Saya beri pandangan — Johan pun ada pandangan.
Masa diskusi, kita boleh melawan. Tapi, ada hadnya — sebelum ketua membuat keputusan.
Apabila ketua putuskan; itu kata akhir dan patuhlah arahan. Prinsipnya mudah: Apa yang sudah muktamad — tak perlu lagi perdebatan.
Sekitar empat atau lima siri wawancara disiarkan; saya pilih untuk patuh semua keputusan selepas perdebatan.
Satu hari — Johan panggil saya ke biliknya. Wajahnya serius, tapi bahasa tubuhnya ada isyarat.
Saya yakin… akan mendapat sedikit kemenangan.
“Kenapa tak buat ikut kehendak kau masa wawancara Tan Sri Azman Hashim?”
Saya kata: “Pilihan soalan bos lebih tepat, temu bual yang baik bagi milionaire Melayu ialah: Melihat kejayaan dari sudut didikan ibu bapa.”
Johan pilih untuk diam.

SAYA DAPAT SAYAP KEBEBASAN
Saya masih ingat; hari itu sepatutnya kami berbual mengenai pengisian wawancara (Tun) Daim Zainuddin.
Johan sebelum ini sudah putuskan: Soal jawabnya mesti sudut ekonomi.
Melihat ada kelonggaran — saya nekad bertegas: “TPM Menteri kewangan (waktu itu Datuk Seri Anwar)… kalau siar pandangan ekonomi (Tun) Daim… nanti kita jadi macam batu api.”
“Dah tu… apa cadangan kau?” Tanya Johan; memberi ruang untuk saya menyatakan pandangan.
“Elok (Tun) Daim bercakap soal pembangunan Lembah Kelang. Pemaju menggila teroka tanah tinggi… rumah dijual pada harga mahal — sedangkan ia merosakkan alam sekitar.”
Johan angguk kepala tanda setuju; saya keluar dari biliknya dengan rasa gembira.
Itu tahun-tahun awal (1994 hingga 1996) saya bekerja sebagai wartawan; dan belajar mengendalikan perbezaan pandangan dengan ketua.
Jurang jawatan sangat jauh; Johan, Ketua Pengarang — saya wartawan Gred D.
Rencana wawancara (Tun) Daim pun tersiar; pembaca menerima saranan: “Pembangunan hartanah di Lembah Kelang, satu ancaman!”
Esoknya, Johan ajak saya minum di kantin.
Sejak itu, dia bebaskan saya untuk menentukan sendiri; siapa tokoh yang mahu ditemu bual.
“Cuma,” katanya: “Kau jumpa aku… kita bincang mengenai pengisian.”
(Dalam perbualan privasi sampai sekarang… Johan selesa dengan ‘kau aku’. Saya kekal dengan panggilan hormat ‘saya dan tuan’. Sekarang, walaupun jadi kawan — kalau berbual saya kekal hormat; bahasanya ‘saya dan Tan Sri’)
Sejak tersiar wawancara Tun Daim, walaupun saya kekal merujuk pada Johan, tetapi dia memilih untuk tidak lagi berdebat.
Dia mendengar dan hanya menambah baik — mana yang kurang.
MENJADI KETUA “EDISI SIASAT”
Saya tinggalkan Utusan pada 1996 ke Astro; kemudian 1999 menyertai NTV7 dan mengasaskan Edisi Siasat.
Sebagai Penerbit Kanan — saya gunakan formula Johan: Setiap permulaan idea baru, kita mesti asuh budaya berdebat dengan wartawan.
Setelah mereka buktikan kebolehan; kita wajar berikan sayap kebebasan.
Ini cara kita menghormati rakan bawahan.
Kita mungkin ada kuasa; tapi, nilai profesional yang baik — dibina dengan menghormati kebolehan orang lain.
Setiap manusia ada kelemahan; kita lagilah banyak kekurangan.
Tapi, dalam kerjaya — yang utama — sikap profesionalisme.
Dari kisah Johan yang suka berdebat; saya bekerja pula dengan Datuk Seri Shazalli Ramly (CEO NTV7 1998 – 2005).
Dia sangat tegas; saya sangat keras. Pernah sekali, kami kelahi teruk — suara bertekak kedengaran di ruang tingkat Tiga.
Saya angkat barang, terus keluar pejabat. Saya fikir — sudah pasti kena pecat.
Esok pagi; kami minum kopi di kantin NTV7 — kes selesai.
Saya kembali bekerja; dan hubungan menjadi lebih baik. Apa pun, kami masih kerap berdebat.
Tapi, kalau ada masalah penting mengenai kerja — kami bertemu dan selesaikan walaupun pukul 2 pagi.
(Nanti saya tulis bab ini).