BEKERJA & BELAJAR CARA ORANG TUA-TUA

Team KepochiCoretan ZRA9 months ago2K Views

Selalu saya kembali ke pasar; malah, pasarlah yang mengilhamkan buku "Pasar ke Pasar" yang diterbitkan tahun lalu.

Semasa usia 14 tahun (1981); saya bekerja dengan Pak Ishak — jiran di kampung Jalan Lumpur dan penjaja buah-buahan Pekan Rabu, Alor Setar.

Aruah dikenali dengan nama Pak Ark.

Saya mula belajar dari bawah rumahnya — cara peram buah mangga Siam; hinggalah cara menjual buah limau, langsat dan manggis.

Banyak petua saya pelajari; paling terperinci ialah — mengatur kiraan hari serta ‘hayat’ langsat dan rambutan.

Setiap bakul buah yang sampai, kena hitung hari jualan; tiga hari hayat niaganya.

Hari pertama buah memang nampak segar dan cantik; tapi, uraian gula belum matang. Kalau langsat; memang kuning segar, tapi takkan manis isinya.

Hari kedua, buahnya baru masak; rasanya manis. Tapi awas… hari ketiga, walaupun buahnya ranum dan isinya sangat manis, warna kulitnya mulai terjejas.

Walaupun isinya manis, pelanggan akan anggap; buahnya rosak kerana kulitnya melebam.

Saya belajar juga, cara melihat uraian gula pada kulit buah limau. Tips untuk mengenal tahap manisnya. Urat uraian gula, dapat dilihat pada jalur kulitnya.

Tapi, ilmu paling besar ialah pesan Pak Ark: “Kalau ada orang tua yang nampak miskin, mai beli buah; jangan kedekut — sedekahlah sebiji dua.”

Saya tak pernah bertanya mengapa? Saya budak 14 tahun dan Pak Arq, orang ‘tua-tua’ — lewat 40an usianya.

Cuma; nasihatnya kekal dalam ingatan: “Orang miskin… bawa rahmat kita meniaga.”

Pak Ark sendiri bukan kaya; tahun 80an — rumahnya hanya binaan kayu lama beratap zink.

Dia tak ada kenderaan; dari rumahnya ke Pekan Rabu; hanya menumpang beca.

Sebagai penjaja; tiap jualan setelah ditolak harga pemborong, serta gaji kami yang bekerja — untungnya tidaklah seberapa.

Tapi, dia percaya; orang miskin — ada mulianya.

DI PASAR CHOW KIT

Dari Pekan Rabu; saya merantau sampai ke Pasar Chow Kit (1984).

Sebagai budak pasar malam; setelah direkemen Bang Man Bunga; saya bekerja menjual pisang dengan Kamal Batu Kurau.

Bermulalah hidup remaja di Pasar Chow Kit.

Kamal tubuhnya kecil — tapi, sikapnya sangat keras (maksud saya, orangnya tak takut bergaduh).

Usianya 30an waktu itu — kalau ‘naik angin’, Kamal boleh saja meluru laju, dan sekelip mata sudah meninju muka orang.

Kamal membesar dengan ‘tangan keras’ orang pasar; ganasnya susah nak dibawa bercerita.

Tapi, dia juga sayangkan orang tua.

Selepas 40 tahun — pasar Chow Kit sudah berubah. Abang Kamal sudah lama kembali kerahmatullah. Saya tumpang foto di gerai pisang di luar pasar.

MAKCIK MINANG DARI SEMENYIH

Selama mula bekerja di gerai Kamal dalam pasar; tiap pagi Jumaat, Sabtu dan Ahad — ada seorang wanita tua, akan datang dan tumpang menjaja.

Pagi-pagi, dari kampungnya di Semenyih — makcik tua ini naik bas sampai ke pasar Chow Kit.

Dibawanya lemang yang sudah dipotong-potong; diletakkan atas kotak limau.

Makcik ini akan tumpang menjaja di tepi kedai pisang tempat saya bekerja.

Agak kasihan; dia hanya berani duduk bertenggek di birai simen tepi kedai.

Wajahnya jelas dimakan usia; berkerubung nipis dan tubuhnya kurus.

Wanita tua yang pendiam dan hanya berserah pada orang yang lalu-lalang — kalau ada yang sudi bertanya lemangnya.

Saya membiarkan saja; kerana sejak lebih sebulan bekerja — makcik ini memang datang tumpang menjaja setiap hujung minggu.

KAMAL PUN MENGAMUK

Sejak mula bekerja; saya perasan — Kamal tidak pernah datang awal ke pasar Chow Kit.

Pada usia 30an — dia suka berjaga malam dan tidur terlajak hingga kesiangan.

Gerainya banyak; dua di Pasar Chow Kit dan dua lagi — di tepi jalan sekitar Batu Caves.

(Gerai pada tahun 80an — dibina di tepi-tepi jalan dengan pacakan tiang dan berbumbung tarpan saja).

Entah macamana — satu hari — Kamal muncul di pasar awal pagi.

Saya sibuk menjaja pisang; Kamal berdiri tercegat depan saya — tegak lurus bercekak pinggang.

Kemudian dengan langkah simpati; dia menyisi dan mendekati Makcik Minang: “Dah laku berapa jual lemang?”

Makcik tua berusia sekitar 60an itu; hanya senyum dan geleng kepala.

Apa yang berlaku selepas itu sangat mengejutkan saya.

Kamal kembali berdiri tegak: “Kau ni!”

Tinggi suara Kamal menjerkah saya.

Saya toleh; nampak jelas sepasang mata terjegil marah.

Dia memerhati kembali pada Makcik Minang yang nampak macam tak selesa.

Saya berdiri tegak kejang tak tentu hala.

“Kenapa kau tak tolong makcik ni?” Katanya: “Letaklah lemangnya atas meja pisang. Bila orang datang… kau pelawa beli!”

Saya terkedu; pasar yang riuh terasa dibekukan waktu. Saya punyalah rasa bersalah; Allah saja yang tahu.

Itu saya belajar dari sikap Kamal Batu Kurau; orang yang ganas pun — tak tega melihat wanita tua diabai begitu saja.

Kamal buat saya berasa: Sikap diri macam tak guna; kerana membiarkan orang tua tak berdaya — meniaga tanpa dibantu apa-apa.

(Meniaga dalam pasar, saya menjaja sambil menjerit: “Pisang! Pisang! Pisang!

Bercampur-baur dengan suara jerit-pekik rakan-rakan penjaja ikan, ayam dan sayur — memang membingitkan pasar jadinya).

Sejak itu, sedarlah saya — makcik tua takkan mampu bersuara menjaja lemangnya.

Dia takkan terlawan suara kami yang lantang kerana usia muda belaka.

Lebih menyedihkan — orang takkan nampak lemangnya, di atas kotak kayu yang terperuk di tepi gerai saya.

“PISANG TAK BERBUAH DUA KALI”

Sejak hari itu — tiap hujung minggu; saya akan bantu Makcik Minang; lemangnya disusun di atas meja pisang.

Sebaik saja dia tiba — saya atur lemangnya; sama kemas seperti menyusun tandan dan sikat pisang jajaan.

Sambil jual pisang, saya pelawa pelanggan beli lemang. Tidaklah susah; sebelum 12 tengahari — Makcik Minang sudah boleh pulang.

Teguran Kamal, saya anggap pelajaran besar; cara memuliakan orang tua yang turut bertarung mencari rezeki yang tidak seberapa.

Apa yang saya tulis ini moralnya mudah: “Orang tua pendiam macam Pak Ark… atau orang yang keras dan ganas macam Kamal Batu Kurau… tetap memuliakan orang tua.”

Tiap bos ada kekurangan; tapi, belajarlah dari kebaikan mereka.

Dari Pekan Rabu ke Pasar Chow Kit — saya belajar: “Apa itu bekerja dan ada ketua.”

(Sampai ke tahun 90an hingga bersara 2020 — saya terus belajar apabila bekerja di sektor korporat.

Cara bekerja Tan Sri Johan Jaaffar, skil pemasaran Datuk Seri Shazalli Ramly dan strategi mengurus Datuk Bukhari Che Muda.

Tiap kita ada kelemahan; tapi, setiap ketua pasti banyak kelebihan.

Kalau kita terlalu melihat buruk orang; takkan jumpalah kelemahan diri).

Masa mula strim dulu (2022) saya pernah live dalam pasar; bercerita mengenai Pasar Chow Kit dekad 80an.

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...