KALAU SAYA BERANI KETUK PINTU 46 TAHUN LALU (1979)

Team KepochiCoretan ZRA10 months ago2K Views

Berehat di Panorama Hillstay Napoh, Jitra. Pemiliknya Wan Arif rupanya kawan kelas saya di Sekolah Rendah Sultan Ahmad Tajuddin.

Ketika usia saya 12 tahun dan tinggal di Berek MADA Batu 13 — hidup seharian terasa sangat sunyi.

Ada jiran sebaya — tetapi mereka anak-anak yang baik. Keluarga Mak Endon dan Pak Omar — dua anaknya hampir sebaya. Azizan dan adiknya yang rajin belajar.

Jiran saya Pak Aziz — anak-anak lelakinya sudah senior dan berkerja.

Tapi, saya masih sesekali ke rumahnya, kerana anaknya yang sulung, Bang Nan — seorang penggemar muzik.

Saya menumpang dengar album Carefree dan Black Dog Bone dari kaset miliknya.

Saya habiskan masa bergaul dengan kawan-kawan Melayu di kawasan berek. Anak keluarga Syed di Berek Haiwan dan Nizam dari Berek JKR.

Tahun 1979 — tapak Hospital Jitra masih kebun getah. Agamnya bangunan Giat Mara sekarang — asalnya dulu hanya bangunan kayu Komplek Belia yang kecil.

Bergambar di depan rumah ketika saya tinggal di Berek MADA.

MAYA

Saya lupa sama ada nama samaran gadis ini kami reka dari lagu Sudirman atau dari watak siri Space 1999.

Dia gadis cantik dari Taman Kemuning sebelah Berek JKR.

Dia bersekolah di Sekolah Sultan Ahmad Tajuddin; tapi saya tak berani melihatnya di sekolah kerana pelajar baru tak mungkin bertindak ‘daring’.

“Zamri…,” kata saya: “Jomlah, kita lalu depan rumah Maya….”

Zamri baik dengan saya walaupun dia nakal dan aktif. Kami selalu merayau di sekitar berek-berek yang ada; atau memancing di bawah sungai berdekatan MADA Workshop.

Maya sangat cantik — dan keluarganya orang baik-baik.

Kerana rumahnya bersebelahan Berek JKR; kami boleh saja berpura-pura bermain di sekitar padang bola, tetapi mata mengintai rumahnya.

Sesekali — dia akan keluar rumah dan duduk di buaian atau bermain basikal. Cuma, dia takkan pernah keluar dari pekarangan rumahnya.

Tubuhnya kecil, kulitnya putih dan rambutnya sangat ikal keriting serta panjang. Sesuatu yang sangat jarang kita lihat pada anak gadis lain sebayanya.

Zamri kawan saya, sifatnya sangat mendorong: “Jom, kita pi depan rumah Maya. Kita siul waktu dia keluar main depan rumah.”

“Aku tak beranilah…,” jawab saya.

Dunia budak lelaki memang nakal; kita boleh rempuh dan redah apa saja — belukar, malah kebun orang.

Kalau datang hari yang nakal; kita masuk kebun orang dan ambil buah tembikai. Atau panjat pokok rambutan tanpa peduli tuannya.

MAYA TAMAN KEMUNING

Kami budak berek; kalau pun bukan isu kasta dan kufu; mana mungkin kita berani menegur gadis dari taman dan keluarganya orang baik.

Tahun 70an — hanya orang yang berada mampu tinggal di taman perumahan.

Selebihnya, anak-anak taman biasanya sangat rajin belajar; waktu mereka lebih banyak berada di dalam rumah.

Maya sebaya dan sekolahnya sama di SSAT. Tapi, di sekolah — menjelingnya pun saya tak berani.

Pada tahun 2010 — saya menulis kisah Maya dalam cerpen “Estet & Kuaters Batu 13”. Cerpen ini menerima Hadiah Sastera Utusan.

Panelnya, sasterawan terkenal — Dr. Lim Swee Tin pernah bertanya pada saya: “Cerpen ini sangat istimewa… siapa sebenarnya gadis itu?”

Saya baik dengan Dr. Lim; ibarat adik abang. Saya jawab: “Gadis yang cantik… ibarat sebuah puisi yang hidup.”

Dr. Lim Swee Tin ketawa. Ini kejadian tahun 2021 ketika kami berbual-bual — dan dia teringat kisah Maya.

Kawasan Batu 13 dan sekitar Taman Kemuning sentiasa hidup dengan aktiviti kanak-kanak dan remaja; kami merayau sepanjang siang dan bermain bola pada waktu petang.

Saya selalu melepak di Berek JKR; sebab bersebelahan dengan Taman Kemuning. Dari rumah Zamri — kami keluar dan hanya perlu mengintai Maya di seberang jalan.

Kalau dia keluar rumah ke pekarangan rumahnya — pasti nampak jelas, susuk kecilnya duduk di buaian; atau bermain basikal di laman rumah.

Kalaulah dulu saya berani ketuk pintu rumah Maya; apalah agaknya akibat yang diterima.😄😄😄😄

TERAWIH BULAN RAMADAN

Kerap juga saya terawih di Masjid Syarifah Fatimah; waktu itu hanya binaan papan. Sekarang sudah jadi masjid besar yang indah binaannya.

Lepas terawih kanak-kanak bermain mercun atau saling kejar mengejar sekeliling pekarangan masjid.

Saya dan Zamri, sesekali akan singgah di MADA Workshop kerana ayah saya bekerja sebagai Watchman.

Saya dan Zamri suka bagi makan seekor anjing yang datang berkeliaran di depan guardhouse.

(Ayah saya kemudian pelihara anjing ini jadi penjaga workshop. Anjing ini pula, selalu mengekori ayah pulang sampai ke rumah. Ibu saya sangat marah; tapi, anjing ini hanya suka berteduh di bawah pokok durian Belanda di belakang rumah).

Kalau bosan dan rasa ralat kerana sukar melihat Maya; saya beralih arah. Pergi ke Estet Batu 13 dan berkawan dengan rakan-rakan India.

MAIN BOLA DALAM ESTET

Kalau ada perayaan Thaipusam, kawan-kawan estet bawa saya masuk ke Kuil Sri Urga Batu 13.

Tahun 1979 — dengan persekitaran pelbagai kaum; di Jitra tiada batas pergaulan.

Kami berkawan dengan budak-budak estet tanpa prejudis. Ibu saya selalu pesan: “Jangan buat nakal dalam kuil.”

Kalau bosan lagi; saya suka main wau sendirian. Buat layang-layang petak dengan buluh dan plastik. Cukup untuk terbang tinggi di padang lapang dalam kawasan Komplek Belia.

Setiap kali saya terhidu bau rumput yang segar; saya pasti rindukan suasana bermain layang-layang.

Dalam kawasan komplek ini — ada pohon ara yang besar. Saya makan nasi bekal bawah teduhan pokok ara, kalau asyik bermain wau dari pagi hingga petang pada hari cuti sekolah.

Kalau wau terbang tinggi; saya ikat pada ranting pohon renet. Saya berbaring meniarap; duduk berdiam-diam sambil mengendap burung sintar. Sangat kerap juga — saya dapat melihat kelibat kucing hutan.

Saya juga belajar menangkap pokka (sejenis cicak hutan renet). Caranya mudah; pokka akan bertenggek di ranting pokok renet.

Kita hanya perlu berdiri tegak; sebaik saja pokka mengalihkan pandangan — cepat-cepat tangkap ekornya.

Haiwan kecil ini garang; kerap menggigit tapi tidak berbahaya. Pegang saja 20 saat; segera lepaskan. Pokka akan bertempiaran lari dengan melompat dari ranting ke ranting.

Jitra ada dua dunia; dunia riuhnya tatkala bermain dengan kawan-kawan.

Dunia sunyi pula akan terisi dengan bermain wau, atau mengintai kucing hutan. Sesekali bertekun di tengah belukar renet dan menangkap pokka.

Walaupun hanya dua tahun tinggal di Jitra; banyak kenangan mengisi usia kanak-kanak.

Hari ini, saya kembali melawat Jitra kerana di sinilah, saya melalui tahun-tahun terindah sebagai kanak-kanak.

Momen yang meninggalkan banyak kenang-kenangan.

Terima kasih kawan-kawan di Jitra yang telah mengisi dunia masa kecil.

Waktu pergi begitu pantas; tapi, kenangan sentiasa hidup dalam ingatan.

Bertemu dan mengopi dengan kawan-kawan lama. Maya tiada dalam foto ini🤭🤭😄😄

Previous Post

Next Post

Follow
Search
Loading

Signing-in 3 seconds...

Signing-up 3 seconds...