
Selama 3 kali menziarahi Beirut, Lubnan pada November 2023, April & Ogos 2024, saya kerap habiskan malam hari dengan bergelandang di jalanan mencari pelarian Syria.
Tidak sukar menemui mereka; ada lebih 1.5 juta pelarian Syria di Lubnan yang penduduk asalnya hanya 5.5 juta orang.
Di Beirut — hidup tak mudah. Kadar inflasi 148 peratus menjadikan sepinggan nasi putih mencapai USD3.
Sekiranya diberikan USD15 kepada keluarga pelarian Syria (tiga atau empat anaknya) — ia hanya cukup sehari makan.
Harga makanan mahal; USD15 cukup buat beli tumpukan timum patah, salad terbuang, karet tersisa, selonggok lemon dan 3 plastik roti.
Timun dan karet patah akan dipotong bersama salad lesu lalu dibalut dalam kulit roti nipis dan digulung.
Itu makanan ruji bagi keluarga pelarian Syria.
JUAL BUNGA ATAU BELON
Sejak Arab Spring pada 2011 — dan ketegangan melanda ruang udara di sekitar Lubnan — negara itu mulai lumpuh.
Tiada pelancong dan krisis ekonomi mulai parah. Sekitar 2020 — Lubnan berada diambang muflis.
USD1 bersama 500 Liban (matawang Lubnan).
Ertinya RM9 bersama sejuta Liban.
Pelarian Syria terutama ibu dan anak kecil tidak bekerja; suami biasanya menjadi buruh rencam bergaji kecil.
Ibu-ibu muda akan berada di celah jalanan mengemis; demi makanan kerana tiada pilihan.
Anak-anak kecil — seawal usia 6 tahun akan melewar di sekitar kawasan jalanan sambil menjual bunga.
Ironinya… bunga yang dijual ialah ros layu yang dikutip setelah dibuang kedai-kedai bunga.

FOTO BELON PLASTIK BERLAMPU

Ini antara pekerjaan anak Syria di jalanan Lubnan.
Cuma, siapa akan membelinya?
Sejak Oktober 2023 — selepas Lubnan tegang kerana krisis negara jirannya; ruang udaranya sentiasa dinyalakan “kuning”.
Atau tanda: “Tidak selamat.”
Justeru, pelancong menyusut dan hampir tiada penerbangan dari Asia dan Eropah bagi tujuang percutian.
Tanpa pelancong luar dan diburukan lagi dengan krisis ekonomi domestik; menjual belon dan bunga di jalanan — lebih kelihatan sebagai “berusaha bagi jualan yang sukar mendapatkan pembeli.”
Tapi anak-anak Syria tiada pilihan. Bergelandangan di jalanan dan mengejar wajah orang asing dan merayu jualan bunga — antara pilihan yang ada.
FOTO PENJUAL BUNGA

Ini antara wajah kanak-kanak yang kemas pakaiannya; tapi masih jelas sukar mandi.
Mereka tinggal di bilik-bilik sempit; dan sejak petang hingga larut malam akan berada di jalanan mencari rezeki.
Kalau kita singgah membeli bunga; dalam sekelip mata — puluhan anak-anak seusia 6 hingga 15 tahun akan mendekati kita; mempelawa bunga-bunga atau gula-gula.
Jenuh jadinya. Tapi, itu realiti yang mesti difahami. Tiap perut menanggung beban kelaparan tersendiri.
DOAKAN SYRIA BARU
Setelah 13 tahun Syria bergulat dengan krisis; sejak 8 Disember 2024 — ia berubah menjadi negara baru.
Moga 6 juta rakyatnya yang menumpang di diaspora Arab dan Eropah dapat kembali ke kampung halaman.
Moga Allah mudahkan; merahmati Syria baru — bunda tanah Syam yang penuh dengan sejarah dan dijanjikan barakah.