Penggunaan MyDigital ID untuk log masuk ke aplikasi MyJPJ, yang asalnya dijadualkan bermula pada 10 Oktober 2024, telah dibatalkan secara rasmi oleh kerajaan Malaysia. Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengumumkan bahawa orang ramai tidak perlu risau tentang penggunaan aplikasi MyJPJ selepas tarikh tersebut kerana aplikasi itu boleh terus digunakan seperti biasa tanpa perlu menggunakan MyDigital ID.
MyDigital ID pada mulanya diperkenalkan sebagai satu bentuk pengenalan digital yang akan memudahkan pengesahan identiti dalam transaksi dalam talian. Ia dirancang untuk digunakan secara meluas dalam sektor awam dan swasta, termasuk dalam aplikasi seperti MyJPJ yang membolehkan pengguna memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan serta memeriksa sijil pemilikan kenderaan mereka.
Walaubagaimanapun, pengumuman yang dikeluarkan sebelum ini melalui notis “pop-up” dalam aplikasi MyJPJ telah menimbulkan kekeliruan dan kebimbangan di kalangan pengguna, memandangkan terdapat laporan aplikasi tersebut sering menghadapi masalah teknikal seperti kelembapan dan gangguan penggunaan.Menurut Anthony Loke, notis tersebut bukanlah satu pengumuman rasmi daripada Kementerian Pengangkutan atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia telah dihapuskan serta-merta bagi mengelakkan lebih banyak kekeliruan di kalangan pengguna. Beliau turut menekankan bahawa walaupun kerajaan menyokong penggunaan MyDigital ID, proses integrasi teknologi ini dengan aplikasi MyJPJ perlu dilakukan di bahagian belakang sistem (back-end) untuk memastikan kelancaran log masuk dan penggunaan aplikasi.
Anthony Loke juga menjelaskan bahawa matlamat utama pengenalan MyDigital ID ialah untuk memastikan pengguna MyJPJ tidak menghadapi sebarang masalah ketika menggunakan aplikasi itu, dan kerajaan akan mengambil masa yang diperlukan untuk memastikan integrasi ini dijalankan dengan lancar tanpa mengganggu pengalaman pengguna.
Keputusan ini hadir setelah pelbagai maklum balas diterima daripada pengguna, khususnya di media sosial, yang menyuarakan kebimbangan mereka tentang keperluan menggunakan MyDigital ID. Pada masa ini, MyJPJ mempunyai lebih daripada 10.5 juta pengguna di seluruh negara.